JASIN - Bayi lelaki berusia setahun dua bulan ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam baldi berisi air di dalam tandas rumahnya yang terletak di Jalan Pangkalan Lambak Sungai Rambai di sini.

Mangsa, Muhammad Arash Zahrain Osman ditemui dalam keadaan tidak bergerak dan terlangkup dengan kedua belah kaki ke atas manakala bahagian kepala di dalam baldi mengandungi air.

Kejadian disedari ibu mangsa yang berusia dalam lingkungan 30 tahun kira-kira jam 1 petang sebaik terdengar bunyi air di dalam tandas berkenaan dalam keadaan terbuka.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, ayah dan ibu mangsa sedang makan tengahari di bahagian belakang rumah manakala tiga abangnya yang lain berusia 10, tujuh dan dua tahun sedang bermain di bilik tidur.

"Sebelum itu, ibu mangsa dikatakan baharu sahaja menggunakan tandas berkenaan untuk membersihkan abangnya yang berumur dua tahun selepas membuang air besar namun menyatakan dia yakin ketika itu tiada air di dalam baldi.

"Ibu bapa mangsa kemudiannya membawa bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai namun disahkan telah meninggal dunia selepas beberapa usaha dilakukan untuk menyelamatkannya," katanya.

Arshad berkata, siasatan mendapati tiada sebarang unsur perbuatan jenayah dilakukan terhadap mangsa dan kes di klasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk proses bedah siasat.