GEORGETOWN - Seorang anggota polis dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Timur Laut maut selepas terjatuh dari tingkat empat di sebuah pasar raya di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa berpangkat koperal maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 4.45 pagi selepas mangsa, Sofian Shahari menyambut hari jadi rakannya yang diadakan di salah sebuah pusat hiburan di bangunan tersebut, pada jam 12.30 tengah malam.

"Polis menerima panggilan kecemasan dari salah seorang pekerja hotel yang sedang bekerja di hotel di bangunan itu mengatakan ada orang terjatuh.

"Pemeriksaan selanjutnya mendapati, mangsa didapati tidak bernyawa kerana kecederaan di kepala, dada dan patah tangan kanan.

"Siasatan awal di tempat kejadian juga mendapati, beg dan selipar sebelah kiri yang dipakai mangsa berada di tingkat dua iaitu di hadapan sebuah klinik pergigian.

"Manakala di tingkat empat, terdapat kesan koyakan pada langsir di kaki lima pusat hiburan berkenaan. Sehingga kini, tidak dapat dipastikan mangsa terjatuh dari tingkat dua atau empat," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, mangsa berusia 47 tahun dan telah berkhidmat sebagai anggota polis selama lebih 19 tahun.

"Pemeriksaan mendapati, dompet termasuk kad kuasa dan telefon bimbit mangsa hilang. Dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mangsa terjatuh pada jam 4.23 pagi.

"Bedah siasatan yang dijalankan pada 10.30 pagi tadi mendapati, mangsa meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala dan dada akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan lima anak yang mana empat daripadanya masih bersekolah.