PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan akan  mendapatkan khidmat bekas pemain Phnom Phen Crown FC (PPCFC), Yuka Suzuki yang beraksi pada saingan Liga Kemboja bagi memperkuatkan Kelantan menjelang saingan Liga Premier musim depan.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya bakal mengikat pemain berusia 28 tahun dari Jepun itu selama semusim untuk membantu pasukan The Red Warriors (TRW).

"Majlis menandatangani kontrak dengan pemain berkenaan akan berlangsung dalam masa terdekat dan dijangka pemain itu akan menyertai  latihan bersama pasukan pada 1 Januari  depan.

"Kita harap Suzuki dapat menggunakan pengalamannya beraksi di Liga Kemboja untuk membimbing barisan muda Kelantan nanti," katanya ketika dihubungi di sini,hari ini.

Suzuki merupakan pemain import kedua Kelantan selepas Kafa hanya mengekalkan seorang pemain import musim ini iaitu Cassio Francisco De Jesus dari Brazil yang bermain di posisi pertahanan.

Bibi Ramjani berkata, Suzuki akan bermain di posisi tengah yang akan bergandingan bersama  Nik Akif Syahiran Nik Mat.

"Kedua-dua pemain import ini ditaja oleh penaja kami  bagi membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh persatuan ketika ini.

"Bagi pemain tempatan, kami sudah mencukupi kuota yang diperlukan selepas sudah menandatangani kontrak bersama beberapa pemain tempatan dari luar Kelantan dan mengekalkan 80 peratus  pamain muda musim lepas," katanya.

Sebelum ini, Kafa mengesahkan mendapatkan khidmat pemain bekas pemain Melaka United (MU), Fauzi Roslan dan Mohd Saufi Muhammad bagi mengisi posisi penyerang dan pengaja gol. - Bernama