PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) terus ghairah memperkuatkan Singa Utara bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019  selepas mengikat beberapa pemain termasuk bekas penyerang Selangor, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PKNS FC, Safee Sali.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad berkata, pihaknya berterima kasih kepada Safee yang bersedia memperkuatkan pasukan itu dalam mengharungi saingan liga.

"Kehadiran Safee yang memiliki reputasi dan pengalaman dalam Liga Malaysia sebelum ini pastinya ditagih untuk memastikan Singa Utara kembali digeruni.

"Safee akan memperkuatkan pasukan bagi tempoh setahun dan kami yakin kemampuan dimilikinya, " jelasnya pada sidang media memperkenalkan Safee di Hotel Tenera, Bangi, hari ini.

Selain Safee, PFA turut berjaya mendapatkan khidmat tiga bekas pemain kebangsaan iaitu Mohd Badhri Radzi, Amirizdwan Taj Tajuddin, dan Mohd Khyril Muhymeen Zambri (PKNS FC), selain Fahrul Razi Kamaruddin dari kelab Sime Darby FC yang telah menarik diri daripada Liga Malaysia susulan masalah kewangan.

PFA sebelum ini mengumumkan pelantikan bekas jurulatih kelab bola sepak Kementerian Kewangan (MOF FC), Manzoor Azwira Abdul Wahid sebagai pengendali baharu skuad itu pada musim depan.

Manzoor bukanl nama asing untuk pasukan utara tanah air berkenaan kerana pernah membantu pasukan itu muncul juara Liga Super 2005 selain Piala Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada 2004 dan 2006.

Untuk rekod, Perlis gagal mara ke separuh akhir Piala FAM 2018 setelah menduduki tangga tercorot dalam kumpulan B dalam saingan pusingan awal pertandingan berkenaan.