PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Asisten Komisioner Md Dali Wahid bersedia menerima sebarang kritikan membina daripada peminat bola sepak dalam menambah baik mutu pengadilan dalam saingan Liga Malaysia pada musim depan.

Beliau yang mengambil alih jawatan berkenaan daripada Subkhiddin Salleh yang melepaskan jawatan tersebut mengakui, jawatan tersebut merupakan satu tugas yang perlu dipikul sehabis baik memandangkan pengadil memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan terbaik sebarang situasi sesuatu perlawanan.

“Bagi saya, salah tetap salah dan kadangkala, kita kena terima kritikan daripada netizen dan kita buat satu penambahbaikan.

“Kami tahu sebagai pengadil, apa peranan kami dan jangan takut. Saya yakin, jika ikhlas, jujur dan tahu tanggungjawab, kami akan dapat laksanakan tugas tersebut dengan betul,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam tahunan pengadil dan penilai pengadil FAM bagi tahun 2018 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Dali mengakui ada segelintir pengadil yang membuat keputusan yang tidak tepat dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini, namun menasihatkan mereka supaya mengelak membuat kesilapan yang sama pada musim ini.

“Kami sentiasa cuba buat yang terbaik dan meminimumkan kesilapan untuk tugasan kami pada 2019 yang merupakan satu cabaran untuk pengadil di Malaysia.

“Saya tidak mengatakan pengadil kita ‘kelas rendah’ kerana tahap pengadil kita masih bagus, tapi kadangkala kesilapan itu tetap ada dan saya sudah bagi tau Ketua Unit Pengadil FAM (Bacha), kami cuba kurangkan kesilapan dan menambah baik khidmat kami,” jelas Md Dali.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jawatankuasa Pengadil FAM sudah memberi lampu hijau kepada 58 pengadil untuk mengadili saingan Liga pada musim depan, sambil menambah jumlah berkenaan mungkin akan bertambah mengikut jumlah perlawanan yang perlu diadili.

Subkhiddin sebelum ini membuat keputusan mengejut dengan melepaskan kesemua jawatan yang disandang dalam badan induk berkenaan termasuk jawatan exco berkuat kuasa serta-merta pada awal bulan ini.

Beliau dilaporkan membuat keputusan berkenaan susulan kecaman hebat daripada netizen terhadap anggota keluarganya berikutan pengadilan yang lemah oleh Suresh Jayaraman ketika aksi final Piala Malaysia 2018 antara Perak dan Terengganu FC (TFC) pada 27 Oktober lalu. - Bernama