PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM), disaran supaya lebih bertegas terhadap segelintir persatuan bola sepak negeri atau kelab yang liat menjelaskan tunggakan gaji pemain sebelum bermulanya saingan Liga-Malaysia (Liga-M).

Bekas pemain Harimau Malaya, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, FAM sebagai badan induk bola sepak negara yang berprofesionalisme seharusnya tidak berkompromi dengan persatuan atau kelab yang culas dalam isu kebajikan pemain ini.

"Apabila sesuatu hukuman diputuskan oleh sesebuah jawatankuasa, hukuman itu kena tegas tiada kompromi terhadap persatuan atau kelab yang culas membayar tunggakan gaji pemain.

"Persatuan atau kelab harus diberikan dateline untuk jelaskan tunggakan, andai mereka tidak patuhi dateline diberikan mereka wajar singkirkan dari saingan liga.

"Saya bimbang, jika persatuan atau kelab ini terus diberikan peluang beraksi dalam saingan liga, berkemungkinan mereka tidak dapat melangsaikan hutang lama sebaliknya menambah hutang baharu yang akan membebankan mereka kemudiannya menjadikan pemain mangsa," katanya kepada Sukan Sinar.

Tambahnya lagi, isu tunggakan gaji pemain di Liga-M tidak sepatutnya berlaku ketika arena bola sepak negara berada pada tahap profesional.

Menurutnya, setiap persatuan atau kelab harus lebih bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu yang melibatkan kebajikan pemain berkenaan.

"Sesiapa sahaja yang mengetuai kepimpinan persatuan atau kelab janganlah berpemikiran amatur sebaliknya harus lebih profesional bertanggungjawab menyelesaikan setiap tunggakan yang berlaku walaupun tunggakan ditinggalkan kepimpinan terdahulu.

"Dalam isu gaji ini saya puji cara pengurusan kelab JDT (Johor Darul Ta'zim) dan PBNP (Persatuan Bolasepak Negeri Pahang) yang bersistematik dalam menguruskan soal gaji pemain mereka," katanya.

Pada masa sama, Jamal Nasir juga meminta persatuan atau kelab yang bertanding dalam saingan liga musim ini mengukur baju di badan sendiri dalam perkara berkaitan pengambilan pemain supaya tidak berlaku masalah pembayaran gaji pada di hujung musim.