Andai kita diberi peluang bertemu dengan Rasulullah, pastilah ia merupakan saat yang paling indah dan membahagiakan dalam hidup kita. Meskipun tidak pernah bersua muka hanya sekadar mendengar dan membaca sirah hidup Baginda SAW, telah membuat kita berasa sangat rindu kepada Baginda SAW.

Itulah kesayangan seluruh alam. Junjungan besar Nabi Muhammad SAW.  Antara perkara yang menjadi idaman para pencinta Nabi SAW adalah dapat bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW.

Daripada Abu Hurairah RA lagi katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang bermimpi melihat aku sesungguhnya ia akan melihat aku di waktu jaga atau seolah-olah ia melihat aku semasa jaga, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupaiku”. (Syaitan tidak dapat menjelma seperti Baginda Rasulullah SAW). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jasa Baginda SAW kepada ummatnya terlalu besar, pastilah kita tidak mampu membalasnya. Pengorbanan Baginda yang terlalu besar ini adalah kerana Baginda  sangat mencintai umatnya. Dalam peristiwa israk dan mikraj, Baginda SAW berulang kali bertemu dengan ALLAH SWT memohon agar ALLAH SWT dapat meringankan kewajipan buat umatnya kerana risaunya Baginda SAW umatnya tidak mampu untuk memenuhi tanggungjawab yang berat ini.

Ibadah solat yang pada awalnya diperintahkan ALLAH sebanyak 50 kali sehari, maka dengan rahmat ALLAH SWT, dikurangkan sehingga lima kali sahaja setiap hari. Begitulah betapa Baginda SAW sangat memikirkan umatnya.

Kerana cinta Baginda SAW yang sangat dalam kepada umatnya, maka kita sewajibnya membalas dan mencintai Baginda melebihi dari diri kita sendiri. Daripada Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda; “Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintainya melebihi daripada anaknya, bapanya, dan seluruh manusia.(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Mencintai Baginda SAW adalah satu kewajipan seluruh umat. ALLAH SWT berfirman,“Katakanlah:"Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu lebih daripada ALLAH dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai ALLAH mendatangkan keputusan-Nya". Dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”(Surah At-Taubah: 24).

Cinta kepada Rasul SAW adalah jalan yang membawa kepada cinta yang hakiki iaitu cinta kepada Yang Maha Pencipta. Cinta kepada Baginda  SAW menghidupkan jiwa dan melahirkan perasaan untuk mengikut jalan Baginda. Daripada cinta ini lahirlah para pejuang-pejuang agama yang berusaha mempertahankan dan memelihara agama yang dibawa Baginda SAW.

Benarlah cinta tidak semestinya bertemu dan bersama. Cinta adalah perasaan yang tidak dibatasi masa, jarak dan ruang. Semakin dalam kita mengenali Baginda, akan bertambah dalam perasaan cinta kita terhadap Baginda. Bagindalah nanti yang kita sangat mengharapkan syafaat daripadanya di akhirat kelak.

MAULIDUR RASUL
Kata orang tak kenal maka tak cinta. Benar, apabila kita mencintai seseorang, kita akan mengenali semua yang berkaitan dengan hidupnya. Terdapat banyak tulisan-tulisan tinggalan para alim ulama tentang sirah Nabi SAW. Antara yang masyhur adalah seperti kitab Sirah Ibnu Hisyam.

Bulan Rabiul Awal merupakan bulan yang sangat diingati para pencinta Rasul SAW. Menurut sirah, Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada bulan Rabiul Awal. Akan tetapi, ulama sejarah berbeza pandangan pada tarikh sebenar Baginda dilahirkan. Menurut pandangan yang masyhur adalah pada 12 Rabiul Awal. Pandangan lain menurut pengkaji sejarah menyatakan tarikh yang lebih tepat Baginda dilahirkan adalah pada 9 Rabiul Awal. Adapun hari Baginda SAW dilahirkan adalah hari Isnin berdasarkan hadis Nabi SAW.

Abi Qatadah menceritakan bahawa Rasulullah ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab; "Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutuskan (menjadi nabi) atau hari diturunkan wahyu kepadaku" (Riwayat Imam Muslim).

Baginda SAW dilahirkan pada Tahun Gajah. Tahun berlakunya suatu peristiwa di mana tentera bergajah Abrahah telah merancang untuk menyerang Kota Mekah dan meruntuhkan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS. Namun rancangannya telah digagalkan ALLAH SWT. ALLAH merakamkan kisah ini di dalam AlQuran iaitu di dalam Surah Al-Fiil.
Di kalangan masyarakat ada yang membincangkan tentang hukum sambutan Maulidur Rasul.

Ada yang bersetuju dan ada yang menegah. Ini kerana mereka berpandangan bahawa perbuatan ini menyalahi sunnah kerana Baginda Nabi SAW tidak pernah melakukannya ketika hayat Baginda. Namun sebahagian Ulama mengharuskannya. Kerana ia dianggap sebagai satu usaha untuk menyegarkan kembali rasa cinta kepada Baginda Nabi SAW dengan syarat sambutan itu tidak bercampur dengan perkara-perkara yang dilarang syarak.

BUKTI CINTA KEPADA RASULULLAH
Cinta bukan sekadar pada lafaz dan dakwaan semata-mata. Cinta yang mendalam terzahir pada perbuatan, ucapan dan ingatan orang yang mencintai. Para pencinta Rasul pasti akan berusaha melakukan apa sahaja demi Baginda SAW.

Mengikut segala tunjuk ajar Baginda, melakukan apa yang disukai Baginda dan mempertahankan Baginda SAW daripada cercaan orang-orang yang mencerca. Cinta inilah yang telah melahirkan orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada ALLAH SWT. ALLAH mengasihi hamba-hambaNya yang menuruti segala yang diajarkan oleh UtusanNya.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutilah daku, nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.( Ali-Imran : 31).

Baginda juga menyeru umatnya agar memperbanyakkan berselawat kepada Baginda SAW. Kerana Baginda ingin seluruh umatnya mendapat kelebihan daripada berselawat.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka ALLAH berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan ALLAH menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Nasai & Al-Hakim).

ALLAH juga memerintahkan umat manusia agar sentiasa berselawat kepada Baginda Nabi SAW. Firman ALLAH SWT.

Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzaab : 56).