APAKAH hukum melakukan umrah berulang kali dalam satu perjalanan?

JAWAPAN: Dalam isu umrah berulang-kali dalam satu musim haji / sekali perjalanan ini, para ulama telah berbeza pandangan.

Pendapat Pertama

Sebahagian ulama menganggap umrah berulang-kali adalah bercanggah dengan amalan Nabi Muhammad SAW yang melakukan umrah empat kali dalam empat waktu berbeza:

“ Rasulullah SAW melakukan umrah sebanyak empat kali; umrah pertama ialah umrah Hudaibiyah; umrah kedua ialah umrah yang dipersetujui bersama sahabat untuk menangguhkan umrah pada tahun berikutnya; umrah ketiga umrah daripada al-Ji’ranah dan yang keempat ialah umrah yang digabungkan dengan haji.” Sunan Abi Daud (1993).

Diriwayatkan daripada Thawus yang berkata: Mereka yang melakukan umrah daripada Tan’im, aku tidak tahu sama ada mereka diberi pahala atau akan diazab (mendapat dosa). Ditanya kepadanya: “Mengapa mereka diazab?” Beliau menjawab: “Kerana dia meninggalkan tawaf di sekeliling Kaabah, dan keluar sejauh empat batu, dan kembali semula. Jarak dia berjalan itu sebenarnya menyamai jumlah tawaf sebanyak dua ratus pusingan. Setiap kali mereka tawaf sekeliling Kaabah, itu adalah lebih baik berbanding berjalan untuk urusan lain.

Perbuatan ini dimakruhkan menurut kesepakatan para salafussoleh dan tidak pernah dilakukan oleh mereka. Meskipun para fuqaha’ mazhab Syafi’e dan Hanbali mensunatkannya, namun menurut Imam Ibn Taimiyyah, hujah mereka tidak kuat dan hanya bersandarkan qiyas umum, iaitu atas dasar arahan supaya kita memperbanyakkan ibadat dan kelebihan-kelebihan umrah. (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, 26/270)

Imam Ibnu Qudamah pula menyatakan kemakruhan perbuatan demikian menurut zahir pandangan ulama’ salaf, di mana beliau menukilkan kata-kata Imam Ahmad yang menyebut apabila kita hendak mengerjakan umrah, hendaklah mencukur atau menggunting rambut, dan ia tidak mungkin terjadi melainkan dalam tempoh masa sepuluh hari. (Rujuk Al-Mughni, 3/220)

Pendapat Kedua

Manakala sebahagian ulama yang lain pula tidak menganggap umrah berulang kali dalam satu musim sebagai satu masalah. Menurut Imam al-Nawawi pula, tidak dimakruhkan melakukan umrah dua kali, tiga atau lebih dalam tempoh setahun atau sehari, bahkan disunatkan memperbanyakkan umrah di sisi ulama Syafi’iyyah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/147-148)

Sementara Ibn ‘Abd al-Barr pula menyatakan bahawa jumhur ulama berpandangan harus hukumnya memperbanyakkan umrah dalam masa sehari semalam, kerana ianya amalan kebajikan. Tidak wajib menghalangnya melainkan dengan dalil, dan tiada dalil yang menghalang memperbanyakkan umrah. (Rujuk Al-Istizkar, 4/113)

Imam Ibn Qudamah menyebut bahawa menurut mazhab Syafi’e dan Hanbali, tiada halangan untuk melakukan umrah berulang kali dalam tempoh setahun. (Rujuk Al-Mughni, 3/220)

Mereka juga berdalilkan melalui hadis-hadis kelebihan umrah, iaitu hadis riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tempoh waktu antara satu umrah dengan umrah yang seterusnya merupakan penghapus dosa, dan haji yang mabrur akan menatijahkan balasan syurga.” Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1349)

Tarjih

Kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan umrah berulang kali dalam satu perjalanan atau dalam satu musim haji. Hal ini bersandarkan kepada perintah umum untuk memperbanyakkan amal ibadah, dan inilah yang dipegang oleh para ulama’ mazhab Syafi’e dan sebahagian ulama mazhab Hanbali.

 Ini juga kerana jemaah yang datang dari jauh seperti jemaah Malaysia kadang-kadang peluang mereka untuk melakukan ziarah kali kedua ke Mekah adalah sukar. Justeru, masa yang berbaki ketika berada di Mekah bolehlah dilakukan umrah dengan syarat tidak membenarkan serta mengganggu amalan ibadat haji yang hampir tiba.