APA yang dikatakan sebagai harta sepencarian?

Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan.

Pada dasarnya tidak terdapat dalil khusus di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan kedudukan Harta Sepencarian dalam Islam. Pemakaiannya diambil dari segi kaedah ‘uruf. Dalam perundangan Islam, apabila sesuatu ‘uruf diakui kebaikannya dan diberi pengiktirafan undang-undang, maka ia bertukar menjadi suatu peraturan yang mesti diikuti.

Berdasarkan Seksyen 2, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, “harta sepencarian” ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Bagaimana undang-undang tentukan harta sepencarian?

Fahami kehendak undang-undang, harta sepencarian itu boleh wujud dalam tiga keadaan iaitu:-

1)    Harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’, dengan usaha bersama mereka;

2)    Harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’, dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu; dan

3)    Harta yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’ oleh pihak yang satu itu atau dengan usaha bersama suami isteri.

Bagaimana menuntut harta sepencarian?

Tuntutan harta sepencarian boleh dipohon di Mahkamah Syariah dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.

Manakala Seksyen 23(10)(b), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan.

Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya berlaku kematian, namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 18 April 2005 telah memutuskan:  

1.Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di Negeri Selangor boleh dibahagikan kepada suami atau isteri sebelum difaraidkan termasuk setelah dilepaskan tanggungan si mati.

2.Pembahagian harta sepencarian tersebut hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua belah pihak.

3.Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah mahkamah.

Harta sepencarian akan dinilai melalui dua perkara berikut:

(a)Sumbangan secara langsung

Sumbangan secara langsung bermaksud pihak-pihak kepada perkahwinan itu telah sama-sama memberikan sumbangan mereka dalam memperoleh aset dan harta berkenaan. Pasangan ini sama-sama mengeluarkan modal dan wang bagi membeli aset dan harta berkenaan. Sebagai contohnya, pasangan suami isteri mempunyai kerjaya masing-masing, telah sama-sama membeli aset dan harta berkenaan secara ansuran yang pihak suami telah membuat bayaran pendahuluan dan pihak isteri pula membuat bayaran ansuran bulanan. Mereka berkongsi bersama-sama dan memberi sumbangan wang, modal dan sebagainya secara langsung daripada pendapatan mereka bersama.

(b)Sumbangan secara tidak langsung

Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu sumbangan yang bukan berbentuk wang atau benda tetapi mendatangkan dan menghasilkan harta atau aset tertentu. Sumbangan ini, sama ada melalui idea, dorongan, nasihat, memberi semangat, menjaga keselesaan, menimbulkan ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha secara langsung dan berjaya mendapatkan harta dan aset itu. Sebagai contohnya, pihak suami bekerja dan berpendapatan tetap bulanan telah dapat membeli beberapa aset dan harta secara bayaran ansuran manakala pihak isteri tidak bekerja tetap tetapi memberikan sumbangan dengan menjaga keluarga, membina rumah tangga, memelihara anak-anak dan menunaikan tanggungjawab perkahwinan mereka sehinggakan pasangan ini telah berjaya memiliki aset dan harta tersebut. Walaupun pihak isteri tidak memberikan sumbangan modal tetapi pihak isteri ini dianggap telah memberikan sumbangan secara tidak langsung terhadap pemilikan aset dan harta tersebut.

Perintah pembahagian boleh dibuat dengan pelbagai cara iaitu:

(a) Sulh/pengantaraan – Cara pengakuan dan penyerahan hak kepada satu pihak lagi seperti si suami mengaku bahawa rumah itu adalah harta sepencarian tetapi dia tidak mahu menuntut, sebaliknya melepaskan haknya terhadap rumah itu kepada bekas isteri dan anak-anaknya;

(b) Bayaran balik – Iaitu apabila diakui sebidang tanah ialah harta sepencarian tetapi si suami atau si isteri mahu memiliki terus tanah itu maka siapa yang ingin terus memiliki tanah itu hendaklah memulangkan semula wang pihak satu lagi yang telah dibayar semasa pembelian tanah itu;

(c) Secara penjualan – Si suami dan si isteri tidak mahu memiliki sesuatu harta/aset tetapi mahukan bahagian masing-masing, maka mahkamah akan memerintahkan harta aset itu dijual dan pembahagian mengikut kadar sumbangan terhadap harta/aset itu;

(d) Dibahagi dua – Dalam keadaan kedua belah pihak suami dan isteri telah sama-sama menyumbang dalam memperoleh harta itu;

(e) Pertimbangan mahkamah dengan mengambil kira kadar yang munasabah dan takat sumbangan pihak itu.

Kadar pembahagian berdasarkan takat sumbangan dan ditentukan juga oleh mahkamah:

(a)takat sumbangan yang dibuat oleh pihak-pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja dalam memperoleh harta tersebut;

(b)apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat kebaikan mereka bersama (usaha bersama sahaja);

(c)keperluan anak-anak yang belum dewasa dalam perkahwinan itu.