WAHAI orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita (Yahudi) dan ahli-ahli agama (Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan ALLAH (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan ALLAH, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah At-Taubah : 34)

Di dalam ayat ini terkandung peringatan buat orang-orang beriman, agar tidak menyerupai perbuatan golongan ahli kitab dan tidak hanya semata-mata mengumpul dan menyimpan kekayaan, namun enggan mengeluarkan zakat. ALLAH SWT telah menyediakan azab yang berat bagi mereka yang melakukannya.

Sabda Nabi yang bermaksud, “Apabila kamu memiliki 200 dirham dan telah cukup haul, diwajibkan zakatnya sebanyak 5 dirham. Dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat kecuali mempunyai 20 dinar.Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakat sebanyak setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah. Dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun. (Riwayat Abu Daud)

Nabi SAW telah memberi ketetapan kepada kita jumlah simpanan yang perlu dikeluarkan zakat dan berapa kadar yang diwajibkan. Berdasarkan hadis ini, maka ulama menentukan nisab bagi zakat simpanan dan adalah mengikut nilai 85 gram emas. Baginda SAW menetapkan setiap 20 dinar, zakatnya sebanyak setengah dinar. 1 dinar beratnya bersamaan 4.25 gram. Dan setengah dinar daripada 20 dinar kadarnya adalah menyamai 2.5%.

Justeru sekiranya seseorang yang mempunyai simpanan yang telah cukup ataupun melebihi nisab, maka wajib ditunaikan zakatnya setelah cukup setahun haulnya.

Andai kita masih mahu berkira-kira untuk memberi apa yg diperintahkan ALLAH dan RasulNya, renunglah firman ALLAH SWT;

(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (Surah At-Taubah : 35).

Dalam ayat lain ada disebut;

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan ALLAH kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi ALLAH jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (Surah Ali-Imran:180).

Zakat Wang Simpanan

Seorang sahabat bertanya berkenaan zakat wang simpanan. Jika selama 10 tahun menyimpan wang di dalam saham amanah, namun belum pernah dikeluarkan zakat ke atasnya. Adakah wajib dikeluarkan zakat? Bagaimana pula zakat wang simpanannya yang telah lepas. Persoalan seperti ini sebenarnya banyak berlegar di dalam masyarakat.

 Mereka mempunyai simpanan wang namun setelah berlalu tempoh yang lama, baru disemak baki akaun yang ada dan melihat jumlah yang terkumpul sudah melebihi nisab. Kadang kala jumlahnya telah mencecah puluhan dan ratusan ribu. Kemudian barulah terfikir tentang zakat dan yang menjadi persoalan mereka biasanya adalah bagaimana cara untuk mereka tunaikan zakat.

Bagi simpanan yang telah berlalu haulnya beberapa tahun, maka pemilik harta perlu menyemak semula baki simpanannya pada setiap tahun haul. Baki tersebut boleh disemak pada penyata bank atau buku bank. Sekiranya jumlah simpanan pada setiap tahun haul ketika itu melebihi nisab, maka wajib keluarkan zakat untuk tahun tersebut. Pemilik harta juga perlu menyemak nisab zakat pada tahun-tahun yang telah lepas kerana kadar nisab setiap tahun berubah mengikut nilai purata 85 gram emas.

Sebagai panduan, zakat dikenakan sebanyak 2.5% daripada simpanan yang telah mencukupi nisab. Pemilik harta perlu membuat taksiran satu persatu wang simpanan yang dimiliki mengikut tahun-tahun haul yang telah lepas. Kemudian dijumlahkan dan dikeluarkan sebagai qadha’ zakat bagi haul-haul yang telah lepas. Untuk pengiraan yang lebih jelas, para pembaca boleh merujuk kepada Pusat Zakat Negeri-Negeri berkenaan pengiraan zakat wang simpanan.

Pulangan dan Keuntungan

Di antara kelebihan bersedekah dan membelanjakan harta pada jalan ALLAH SWT adalah diberikan pahala yang berganda. Sehinggakan orang yang bersedekah itu pada hari kiamat kelak akan mendapati pahalanya menjadi sebesar gunung.

Berdasarkan hadis Nabi SAW;

Barangsiapa yang bersedekah dengan nilai sebiji tamar daripada hasil usahanya yang halal dan ALLAH tidak menerima melainkan daripada sumber halal, sesungguhnya ALLAH SWT akan menerimanya, kemudian ALLAH SWT akan menjaganya dan membiakkannya, sepertimana seseorang daripada kamu menjaga anak kuda, sehinggalah (pahala) menjadi sebesar gunung. (Riwayat Bukhari).

Dan apa yang kita berikan ketika kita hidup, ganjarannya akan berterusan sekalipun kita telah meninggal dunia.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Riwayat Muslim dan lain-lainnya).