DAN SESUNGGUHNYA Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak. Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati ALLAH (dengan zikir dan tasbih), tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. Oleh itu, Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit (Surah As-Saffaat: 139-145).

Di dalam Al-Quran ALLAH SWT merakamkan kisah Nabi Yunus AS yang diuji oleh ALLAH SWT terpenjara di dalam perut seekor ikan yang besar. Nabi Yunus AS ketika itu berada di dalam tempat yang sempit dan terlalu gelap. Di dalam kegelapan tersebut Nabi Yunus AS sentiasa bertasbih dan berdoa kepada ALLAH SWT. Firman ALLAH SWT;

Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya ALLAH)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri". Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia daripada kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami). (Surah Al-Anbiya’: 87-88).

Setiap manusia akan melalui pelbagai dugaan dan ujian daripada ALLAH. ALLAH SWT juga mengajar manusia agar mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang disebut di dalam Al-Quran. Ketika mana kita diuji, maka bertasbihlah dan pohonlah doa kepada ALLAH SWT agar dilepaskan daripada kesusahan tersebut.

Doa Itu Ibadah

Berbicara berkenaan doa, terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut berkaitan doa dan memerintahkan agar orang beriman banyak berdoa kepada ALLAH SWT. Antaranya firman ALLAH SWT;

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan suara yang perlahan. Sesungguhnya ALLAH SWT tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah ALLAH menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan penuh harapan (supaya diterima). Sesungguhnya rahmat ALLAH itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya ( Surah Al-A’raf:55-56).

Berdoa kepada ALLAH SWT merupakan suatu ibadah. Rasulullah SAW telah mengajar kita doa-doa yang perlu dibaca dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Bermula daripada bangun tidur sehinggalah sebelum tidur. Hikmahnya adalah supaya kita sentiasa bergantung harap dan mengingati ALLAH dalam setiap pekerjaan dan perbuatan kita. Sesungguhnya doa itu adalah ibadah.

Sepertimana firman ALLAH yang bermaksud, “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina” ( Surah Al-Ghafir: 60).

Rasulullah SAW juga bersabda, yang bermaksud,  “Bahawasanya tiada seorang yang memohon kepada ALLAH SWT melainkan dikabulkanNya. Sama ada Dia menyegerakan pemberian atas apa yang dipohon, ataupun Dia menolak daripadanya sesuatu bencana yang lebih besar daripada apa yang dipohonnya itu, ataupun Dia menyimpan untuknya sehingga Hari Akhirat kelak sesuatu yang lebih utama dan lebih sempurna daripada apa yang dipohonnya di dunia dahulu. (Riwayat Ahmad).

Maka hendaklah kita sentiasa berdoa kepada ALLAH tidak kira ketika senang ataupun susah, kaya ataupun miskin. Dan janganlah kita merasakan bahawa doa kita lambat dikabulkan Tuhan sehingga kita berputus-asa daripada terus memohon kepadaNya. Kerana setiap yang ALLAH tentukan buat hamba-hambaNya pasti tersembunyi hikmah atau kebaikan yang barangkali belum kita ketahui.

Mintalah apa sahaja yang dihajati daripada ALLAH SWT sama ada berkaitan dengan urusan akhirat mahupun dunia. Asalkan yang dipohon itu termasuk di dalam perkara yang diredai ALLAH SWT. Berkata Ibnu ‘Atho’illah Assakandari di dalam kitab Hikamnya, “Perkara terbaik yang kamu (sepatutnya) minta daripada ALLAH ialah apa yang Dia tuntut daripada kamu”.

Doa Yang Terhalang

Kemudian Rasulullah SAW menyebutkan pula tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh, rambutnya kusut berdebu, mengangkat kedua tangannya ke arah langit bermohon, “Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedangkan makanannya daripada yang haram, minumannya juga daripada yang haram, serta pakaiannya daripada yang haram, perutnya pula diisi dengan makanan yang haram. Bagaimana doanya akan dikabulkan ALLAH Taala?” (Riwayat Muslim).

Oleh itu, peliharalah diri kita daripada perkara yang diharamkan oleh ALLAH SWT. Kerana perkara yang haram itu menjadi penghalang doa kita daripada diterima ALLAH SWT. Pohonlah keampunan daripada ALLAH SWT serta keselamatan daripadaNya di dunia dan akhirat.

Menyebut mengenai doa, kita semua selalu berdoa. Pelbagai hajat yang diminta dari ALLAH. Manusia punya keinginan yang pelbagai dan mereka akan berusaha serta berdoa supaya apa yang diingini diperolehi. Namun, apakah kita memahami apa sebenarnya konsep doa dan apa sepatutnya yang perlu kita minta?

Manusia selalu meminta apabila berada dalam keadaan terdesak iaitu ketika dalam kesusahan dia akan minta senang. Ketika sakit dia minta untuk sihat. Kebiasaannya kita akan meminta ketika kita sememangnya berada dalam keadaan yang memerlukan. Namun adakala setelah kita telah memperolehi  apa yang kita inginkan kita sering terlupa saat kita merayu agar kita diberikan apa yang kita mahukan.

Doa adalah senjata bagi orang beriman

ALLAH berfirman, mintalah padaKu, aku akan perkenankan. Namun sesetengah manusia malas untuk berdoa. Mereka hanya mengharapkan sepenuhnya kepada usahanya semata. Dia meletakkan kejayaan bergantung sepenuhnya kepada usahanya sahaja.

Ini merupakan satu bentuk pemikiran bermazhabkan fahaman qadariah iaitu meletakkan segala manfaat atau suatu mudarat itu adalah di tangan makhluk sendiri. Di mana makhluk yang menentukan sesuatu hasil sama ada ianya berjaya atau sebaliknya.

Kita diajarkan oleh Baginda Nabi SAW agar sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT. Dalam setiap perbuatan kita, kita diajarkan doa-doa khusus. Jika kita menghayati dan memahami doa-doa yang diajarkan, semuanya adalah meminta kepada kesejahteraan di dunia dan akhirat.