SUMBANG mahram merupakan satu gejala yang semakin serius dan mendapat perhatian masyarakat dan pihak kerajaan pada masa kini. Masyarakat juga melabelkan kejadian ini sebagai “Haruan Makan Anak”. Kejadian sumbang mahram ini sebenarnya menunjukkan tanda-tanda kepincangan institusi kekeluargaan dalam masyarakat dan negara sedang mengalami kemelut gejala sosial yang meruncing.

Ada kes-kes yang tidak dapat diterima akal seperti datuk merogol cucu, cucu merogol nenek, abang merogol adik dan bapa yang sanggup merogol anak kandungnya sendiri. Dalam konteks kanak-kanak, sering kali mereka diingatkan supaya berwaspada dengan orang asing tapi nampaknya kini dengan terjadinya kes-kes sumbang mahram mereka lebih terdedah kepada perlakuan tidak elok dari ahli keluarga sendiri iaitu orang-orang yang mereka kenali.

Apa yang menyedihkan, pembabitan kaum Melayu mencatatkan jumlah tertinggi berbanding kaum lain. Hakikatnya manusia lebih takut pada undang-undang di dunia dan mereka yang melakukan kesalahan ini tidak takut langsung pada undang-undang yang ditentukan oleh Tuhan.

Hal ini kerana perbuatan ini antara seseorang yang ada pertalian darah atau nasab (keturunan) dengan mangsa atau hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan di mana perkahwinan antara mereka adalah tidak sah di sisi agama, undang-undang dan adat resam sesuatu budaya tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan mahram atau pertalian darah dan nasab tersebut, disebut di dalam firman Allah yang bermaksud:

“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya ALLAH adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisa’: 23).

Bak kata pepatah “Harapkan pegar, pegar makan padi” bersesuaian apa yang berlaku dalam masalah sumbang mahram ini. Ia memberikan kesan yang sangat besar dalam diri mangsa. Mangsa sumbang mahram adalah individu pertama sekali yang akan mendapat kesan dalam dirinya. Mangsa akan merasa terhina dan dicaci oleh masyarakat sekeliling walaupun hakikatnya mereka tidak bersalah.

Mereka akan hilang kepercayaan terhadap mahram yang lain dan ini menjadikan hubungan kekeluargaan semakin renggang. Kemesraan yang dulu sentiasa bertaut mungkin akan menjadi kebencian dalam hidup mangsa khasnya. Masalah sumbang mahram yang kebanyakannya melanda kaum Melayu memberi kesan yang tidak baik kepada pandangan masyarakat kaum lain.

Keruntuhan moral dan akhlak yang berlaku ini akan menyebabkan masyarakat kita menjadi tidak ada nilai peribadi yang baik. Wawasan negara untuk melahirkan masyarakat penyayang dan individu yang seimbang dari segi emosi, jasmani dan rohani tidak kesampaian sekiranya anak-anak yang tidak berdosa menjadi bahan cemuhan dan hinaan masyarakat

Pandangan Islam tentang sumbang mahram

Jika kita dalami dari sudut hukuman Islam yang mana ia berdasarkan kepada al-Quran, Hadis serta kata-kata dari jumhur ulama bahawa hakikatnya sumbang mahram ini lebih teruk jenayahnya daripada melakukan perbuatan rogol. Di dalam Islam, hukum jenayah sumbang mahram adalah haram dan salah satu daripada dosa besar. Kerana itulah Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitab az-Zawajir berkata: “Zina yang paling keji adalah berzina dengan muhrim (ahli keluarga).” Kejinya itu kerana seseorang yang sepatutnya melindungi ahli keluarganya telah mengambil langkah menganiaya ahli keluarganya sendiri.

Dalam Islam banyak ajaran-ajaran yang berkenaan dengan masalah seksual antaranya ialah tuntutan menjaga pandangan mata terhadap bukan mahram, larangan berkahwin sesama saudara kandung dan sesusuan, adat berhias bagi wanita, larangan berzina dan banyak lagi. Semua ini merupakan sebahagian daripada pedoman pendidikan seksual yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Oleh sebab itulah Islam menetapkan bahawa menjadi kewajipan oleh ibu bapa untuk menerangkan dan seterusnya menanamkan pengertian kepada anak-anak mereka tentang siapakah sebenarnya yang harus digauli secara baik dan siapa yang harus dihindari pergaulannya kerana syariat. Dengan ini tidak terjadilah masalah yang tidak diingini seperti sumbang mahram dan sebagainya.  

Hukuman sumbang mahram

Berikutan perbincangan fuqaha’ tentang zina atau nikah sesama mahram (Lihat Ma’alim As-Sunan, Imam Al-Khattabi, Dar kutub ilmiah, 1996,  juz 3, ms 284) Imam Maliki, Syafie dan Imam Hasan Al-Basri mengatakan sekiranya si pelaku tahu tentang pengharamannya, maka wajib dilaksanakan hudud ke atasnya (pendapat ini lebih kuat). Mengikut mazhab hanafi, tidak dikenakan Hudud, tetapi dikenakan hukuman terkeras dalam peruntukan Takzir, dan boleh mencapai tahap bunuh menurut mazhab Hanafi. Imam Ahmad, mazhab Hanbali dan Imam Ishak Rahawaih rh mengatakan pelaku mestilah dibunuh dan dirampas hartanya.  

Mangsa di dalam hal ini jika dipaksa serta teraniaya tidak dikenakan hukuman. Manakala pelaku yang melakukan secara sukarela wajib dijatuhkan hukuman hudud seperti kesalahan zina di atas perbuatannya itu. Jumhur ulama mengatakan bahawa hukuman terhadap jenayah sumbang mahram adalah hukuman ke atas jenayah zina.

Hukumannya adalah 100 kali sebatan jika sekiranya pelakunya masih lagi belum pernah merasai persetubuhan dari nikah yang sah. Jika sudah merasai persetubuhan dari nikah yang sah, hukumannya adalah rejam sehingga mati, firman ALLAH SWT bermaksud “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah setiap orang dari keduanya seratus kali sebatan, dan janganlah kamu dipengaruhi perasaan kasih belas terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama ALLAH jika kamu benar beriman kepada ALLAH dan kepada hari akhirat, dan hendaklah penderaan ke atas keduanya disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.” (An-Nur: 2).

Bagi hukuman rejam, berdasarkan hadis sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitabnya Sohih Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW memerintahkan hukuman rejam ke atas Maiz dan seorang perempuan daripada Bani Ghamid yang sabit dengan pengakuan mereka. Ijmak sahabat juga sudah pun berlaku tentang pensyariatan hukuman rejam terhadap penzina yang sudah merasai persetubuhan yang halal. Hukuman rejam disabitkan dengan hadis dan hukum sebat disabitkan dengan al-Quran.

Oleh sebab keterangan nas al-Quran mengenai hukuman ini merupakan nas mujmal (umum), sedangkan Rasulullah SAW telah menjatuhkan hukuman rejam ke atas penzina-penzina yang telah berkahwin, maka para ulama mengatakan bahawa hukuman sebat itu adalah hukuman khusus bagi penzina yang belum berkahwin.

Walau pun begitu terdapat juga pandangan dari sebahagian fuqaha’ bahawa hukuman ke atas pelaku sumbang mahram adalah bunuh tanpa dibezakan di antara yang sudah merasai persetubuhan yang halal atau belum. Pandangan ini diambil berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berzina dengan muhrimnya maka hendaklah dibunuh.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad dan Hakim di dalam Mustadrak).

Hadis ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah (2564) dalam kitab Al-Hudud. Di dalam sanadnya terdapat Ibrahim bin Ismail bin Abi Habibah Al-Anshari, dia seorang yang dha’if (lemah). Akan tetapi, ada yang menguatkannya, iaitu Hadis Ibnu Abi Khaitsamah dalam Tarikhnya dari Hadis Mu’awiah bin Qurrah, dari bapanya, dari datuknya," Bahawasanya Rasulullah mengutusnya kepada seorang lelaki yang menyetubuhi istri ayahnya, lalu ia memenggal lehernya dan mengambil 1/5 hartanya". Yahya bin Ma’in berkata, "Hadis ini Sohih".

Hukuman yang berat pada pandangan sebahagian ulama ini mungkin berpunca dari kejinya perbuatan tersebut dan betapa hinanya orang yang melakukannya.

Secara umumnya, berdasarkan kepada pandangan Islam terhadap jenayah sumbang mahram, dapatlah kita simpulkan bahawa jenayah ini adalah kesalahan yang amat berat di sisi agama. Hukuman yang dikenakan ke atasnya adalah setimpal dengan keji dan hinanya jenayah tersebut. Sebahagian pihak yang mahu agar hukuman ini diringankan atas dasar belas dan ihsan telah pun diperingatkan oleh ALLAH agar tidak sekali-kali melakukan demikian. Firman ALLAH yang bermaksud:

“… dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada ALLAH dan hari akhirat….” (Al-Nur: 2)

* Nurul Adilah Daud, Norsyazwani Zaini dan Murshidah Mohd Ramli, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)