MACAM mana saya nak teruskan hidup tanpa suami?”

“Ada suami tapi macam tak ada suami…”

“Kasihan anak-anak Pak Long dibesarkan tanpa ayah”

Inilah dilema yang dihadapi oleh sebahagian wanita yang bergelar isteri atau ibu apabila tiada pasangan di sisi untuk membina keluarga bahagia. Dia berasakan hidup kekurangan tanpa ketua keluarga

Sinar FB Live Resolusi Keluarga 1440H Siri 3 menampilkan tajuk “Peranan ibu bila ayah hilang” pada 9 November untuk dikupaskan oleh Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein, Pakar Keluarga dan Kasih Sayang, Dr Rozita Shaari atau dikenali Ibu Rose, manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, “Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi SAW menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi SAW menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi SAW menjawab, ‘Kemudian ayahmu.'” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Fazrul berkata hadis tersebut menunjukkan keutamaan ibu apabila Rasulullah SAW menyebut tiga kali sebelum ayah untuk berbakti. Sebagaimana diketahui, ayah sebagai ketua keluarga memainkan peranan penting untuk memimpin keluarga masuk ke syurga.

“Jika ayah hilang, apakah ibu perlu menggelabah? Apakah peranan ibu sekiranya ketua keluarga tiada disebabkan tiada di rumah, kurang upaya atau tidak ambil peduli dengan tanggungjawab?

“Namun apakah peranan ibu dalam membina sesebuah keluarga jika ayah hilang dari segi fizikal, intelektual, emosi dan spiritual?” soalnya.

Ibu Rose berkata ayah hilang yang dimaksudkan adalah ayah yang tiada di sisi ibu dan anak. Dari segi fizikal, ayah hilang kerana pergi ke luar kawasan yang diketahui dan tidak diketahui.

“Terdapat golongan ayah yang ada di rumah tetapi tiada pertalian emosi dengan keluarga. Dari segi intelek pula, ayah tidak kisah perkembangan dalam mengemudi hala tuju keluarga yang sepatutnya membawa ke syurga.

“Ayah sebegini tidak mengambil peduli apa yang berlaku dalam keluarga. Ini menyebabkan anak dan ibu tidak berasa kasih sayang daripada si ayah. Golongan ibu yang hilang suami disebabkan meninggal dunia atau keluar kawasan atas tugasan tertentu, mampu mengendalikan keluarga.

“Namun ibu yang mempunyai suami yang hilang tanpa dikesan atau mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga menyebabkan mereka berasa tertekan.”

Bekalan anak, isteri

Fazrul menyatakan situasi hari ini berlaku apabila ibu dan anak yang ditinggalkan ayah tanpa bekalan atau persiapan bergantung kepada ALLAH (tauhid). Ini akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

Berdasarkan kisah Nabi Ibrahim telah berdoa kepada ALLAH sewaktu meninggalkan keluarganya sebagaimana disebut dalam Surah Ibrahim ayat 37. Inilah antara bekalan yang dilakukan oleh ayah untuk meninggalkan legasi yang bertakwa kepada ALLAH SWT.

Safri menambah, ketika Nabi Ibrahim meninggalkan anak dan isteri di lembah yang tandus, mereka telah dididik dengan tauhid, iaitu yakin dengan ALLAH SWT.

“Siti Hajar memahami suaminya meninggalkan dia dan anaknya atas perintah ALLAH. Ibu yang hebat seperti Siti Hajar walaupun ketiadaan suami di sisi untuk membesarkan anak, tetapi dia masih ada ALLAH.

“Wanita berjiwa kental ini berusaha mencari air dengan berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah. Ini bermakna si ibu yang tidak terlalu mengharapkan suami ketika susah, tetapi yakin dengan dengan ALLAH untuk tempat bergantung harap,” katanya.  

Ibu Rose berpendapat, apabila suami yang hilang cara baik atau sebaliknya, peranan si ibu adalah menjadi orang yang kuat bergantung kepada ALLAH SWT. Oleh itu si ibu tidak perlu cari alasan, sebaliknya meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “…Dan (ingatlah) sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH, maka ALLAH cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya ALLAH tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya…” (Surah At-Talaq: 3)

Beliau menambah, kekadang kita lalai atau lupa bahawa ALLAH SWT menjaga kita. Ujian yang mendatang dalam hidup kita adalah untuk kembali kepada ALLAH. Jika kita rasa sedih, lepaskan kesedihan dan mengadu kepada ALLAH yang Maha Pengasih.

“Mungkin boleh mendapatkan sahabat atau ahli keluarga yang boleh memberi semangat dan dorongan untuk ibu berkongsi kesedihannya.

“Para ibu turut diingatkan agar jangan sesekali memburukkan ayah kepada anak. Kita perlu mendidik anak kita agar menghormati ayah dan bertanggungjawab dengan diri sendiri untuk hidup. Apabila menjadi dewasa, anak boleh ambil tanggungjawab memimpin dan menjaga ibunya.

Kekuatan ibu

Safri menambah, dalam al-Quran mengisahkan kekuatan seorang ibu yang membesarkan anaknya seperti Maryam yang mengandung dan membesarkan anak dalam kesusahan tanpa suami. Begitu kisah Siti Hajar dan Asiah, isteri Firaun yang boleh dijadikan inspirasi kalangan wanita bergelar ibu dan isteri yang bertakwa.

“Si ayah yang ingin kembali di sisi keluarga perlu sedar dan insaf dengan tanggungjawabnya sebagai pemimpin keluarga. Lelaki ialah pemimpin kepada wanita sebagaimana disebut dalam hadis.

“Selayaknya ayah menjadi contoh yang baik kepada keluarganya. Untuk membentuk lelaki sebagai ayah dan suami yang hebat, ibu merupakan madrasah awal untuk  mendidik anak di peringkat awal.

“Ayah di luar sana tidak mahukah anda menjadi dambaan anak? Tidakkah anda teringin mendengar ucapan anak, ‘ayahku heroku’ atau ‘ayahku idolaku’? Mahukah anda menjadi hero di mata isteri dan anak?

“Wahai golongan ayah, kembalilah ke pangkuan keluarga untuk membimbing masuk syurga dengan panduan al-Quran.”

Fazrul dalam mengulas kupasan “Peranan ibu bila ayah hilang” berkata, ibu yang bijak, bertanggungjawab dan bertakwa tidak akan hilang kekuatan diri apabila ayah ‘hilang dari radar’.

“Berdoalah agar keluarga mendapat ayah dan ibu yang terus membimbing untuk masuk syurga. Panduan kita adalah al-Quran. Amalkan doa Nabi Ibrahim AS sebagai panduan dari langit untuk kita membumikan dalam kehidupan kita,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Sinar Live Resolusi Keluarga 1440H di https://www.youtube.com/watch?v=tS3K_UzdN74.