KERJA dakwah tidak akan berhenti. Ia warisan para rasul. Bermula dari Adam AS hinggalah rasul terakhir, Muhammad SAW. Seterusnya disambung oleh generasi sahabat dan generasi berikutnya hingga ke hari ini.

Apa yang disampaikan oleh mereka semua? Apa intipati dakwah mereka? Sebenarnya dari dahulu hingga sekarang, dakwah Islam tetap membawa mesej yang sama. Menyeru manusia agar menyembah dan mengabdikan diri hanya kepada ALLAH. Meninggalkan syirik.

ALLAH berfirman menjelaskan peranan semua rasul: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah ALLAH dan jauhilah Taghut…"(Surah al-Nahl: 36).

Apa yang berbeza adalah syariat yang dibawa oleh rasul berbanding rasul yang lain. Hingga akhirnya, syariat Islam ini dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ia telah sempurna dengan wafatnya baginda. Tiada lagi wahyu yang diturunkan.

Para sabahat dan sesiapa sahaja selepas itu yang menyampaikan dakwah mesti membawa mesej isi kandungan al-Quran dan sunnah. Tidak boleh mengabaikan dua sumber utama ini. Jika tidak, dakwahnya akan tempang. Justeru, intipati mesej dakwah tidak berubah. Ia tetap sama kerana ia perlu dirujuk kepada sumber yang sama dan dengan melihat suri tauladan yang sama, iaitu Rasulullah SAW.

Fleksibel dalam cara

Namun, apakah kaedah dan strategi dakwah juga sama? Dari dahulu hingga sekarang tidak berubah? Sudah pasti tidak! Ini kerana berbezanya zaman, situasi, sasaran dan tempat. Perbezaan di dalam strategi dakwah ini bukanlah perkara baharu. Rasulullah sendiri telah menggunakan pendekatan yang berbeza di dalam menyampaikan mesej Islam.

Lihatlah contoh yang banyak di dalam sirah. Contohnya, di dalam beberapa hadis diriwayatkan baginda ditanya oleh para sahabat tentang apakah amalan yang paling baik? Soalan yang sama sebegini ditanya oleh beberapa sahabat di dalam situasi yang berlainan. Namun, walaupun soalan mereka sama, kepada Rasul yang sama, tetapi baginda memberikan jawapan yang berbeza.

Adakah Rasulullah tidak tetap pendirian, lalu mengubah-ubah jawapannya? Pastinya tidak! Tetapi, inilah yang dikatakan hikmah dalam dakwah. Baginda menggunakan cara yang berbeza dalam situasi yang berbeza kepada sasaran yang berbeza.

Contoh lain, ketika baginda ditanya oleh seorang lelaki tua tentang hukum mencium isteri pada siang hari di bulan Ramadan. Baginda menjawab: “Boleh!” Kemudian datang pula seorang pemuda lalu bertanya hal yang sama. Tetapi Baginda menjawab: “Tidak boleh!”

Para sahabat yang berada di situ kehairanan melihat dua jawapan Rasulullah yang berbeza. Sedangkan soalannya sama. Lalu Rasulullah menjelaskan: “Sesungguhnya lelaki tua itu mampu mengawal dirinya sendiri (daripada terlajak melakukan perkara yang dilarang di siang Ramadan).

Dua sasaran yang berbeza. Dua konteks yang berbeza. Maka Rasulullah memberikan dua jawapan yang berbeza. Hal inilah yang patut diberi perhatian oleh para pendakwah. Dalam konteks Malaysia, negara yang berbilang bangsa dan agama, berbeza adat dan budaya, pentadbiran negara dibawah sistem demokrasi berparlimen, memerlukan kepada pendekatan dakwah yang sesuai. Tidak boleh mengimport secara total strategi dakwah di negara lain, lalu dipraktikkan terus di sini. Ditambah pula dengan cabaran setempat yang ada di sini, kemungkinan tidak sama dengan yang di luar sana.

Interaksi dengan pesalah

Contoh yang lain dapat kita perhatikan bagaimana baginda Nabi menggunakan pendekatan berbeza ketika berinteraksi dengan mereka yang melakukan kesalahan yang melibatkan dosa individu dengan ALLAH. Kisah yang selalu kita dengar, bagaimana Nabi seolah-olah tidak mahu mendengar pengakuan dosa zina orang yang datang mengadu kepadanya, dengan isyarat agar beliau hanya perlu bertaubat dan memohon ampun terus dari ALLAH. Tidak perlu untuk dibuat pengakuan dan didedahkan kepada orang ramai.

Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “ALLAH telah tutupi keaibanmu (alangkah baik) jika engkau menutupi (keaiban) dirimu”. Nabi SAW tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi.

Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman ALLAH (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah ALLAH Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi ALLAH, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Namun, dalam situasi yang lain, baginda menunjukkan interaksi yang berbeza apabila kesalahan yang dilakukan melibatkan kepentingan negara dan orang ramai. Contoh jelas, ialah bagaimana baginda bertindak tegas dan bersungguh-sungguh menyiasat tindakan membocorkan rahsia negara yang dilakukan oleh Hatib bin Abi Balta’ah.

Saidina Ali menceritakan: “Rasulullah telah mengutuskan aku, al-Zubair bin al-‘Awwam dan Abu Marthad al-Ghanawi (kami semua adalah penunggang kuda). Baginda bersabda: Pergilah kamu semua sehingga sampai ke Raudah Khakh. Sesungguhnya di sana ada seorang wanita dari kalangan musyrikin. Dia membawa bersamanya surat daripada Hatib bin Abi Balta`ah kepada musyrikin. Maka kami pun mengejarnya. Dia menaiki unta seperti yang dikatakan oleh Rasulullah SAW. Kami berkata kepadanya: Manakah surat yang bersama engkau!. Dia menjawab: Kami tidak membawa sebarang surat. Maka kami pun mendudukkan dan memeriksa wanita itu.

Namun, kami tidak jumpa sebarang surat. Kami berkata: Rasulullah tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut atau kami akan telanjangkan engkau! Apabila dia melihat kesungguhan kami maka dia pun terus mendapatkan simpulan kainnya. Dia pun mengeluarkan surat tersebut, lalu kami terus membawa surat itu kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda (kepada Hatib): Apa yang mendorong tindakanmu? Kata Hatib: “Demi ALLAH, bukan aku tidak beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA SAW. Aku tidak menukar dan mengubahnya. Tetapi aku ingin mendapatkan bantuan daripada kaum (Quraisy). Dengannya ALLAH akan menyelamatkan keluarga dan hartaku. Tidak ada seorang pun di kalangan sahabatmu yang tidak mempunyai kaum kerabat di sana di mana dengannya ALLAH selamatkan keluarga dan hartanya. Sabda baginda: Dia benar! Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang baik. (Riwayat al-Bukhari).

2018 dan tahun mendatang memperlihatkan banyak perubahan yang berlaku. Perubahan besar, cabarannya juga besar. Perubahan pucuk pimpinan membawa kepada perubahan beberapa polisi. Isu-isu yang perlu didepani juga berbeza dan berubah.

Jadi, dalam keadaan perubahan yang berlaku, adakah dakwah masih menggunakan pendekatan yang sama? Atau apa jua pun isu yang dihadapi, adakah cukup dan semudahnya menggunakan pendekatan untuk menghukum dan terus menghukum si pelakunya?