DIJADIKAN  indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi ALLAH lah tempat kembali yang baik (syurga).” Surah Ali Imran, ayat 14.

Meskipun manusia sanggup korbankan apa sahaja untuk meraih kebahagiaan. Namun kebahagiaan hakiki itu bukanlah terletak pada harta yang banyak, pangkat yang besar, dan tingginya kedudukan. Ia hanyalah tipu daya dunia yang membuatkan manusia mudah leka dan lalai dengan tujuan sebenar sebagai khalifah di muka bumi.

Katakanlah, “Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?” Bagi orang-orang yang bertakwa (tersedia) di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniakan) isteri-isteri yang suci, serta reda ALLAH, dan ALLAH Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (iaitu) orang-orang yang berdoa, “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami benar-benar beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan lindungilah  kami dari seksa neraka.” Surah Ali Imran, ayat 15-16.

Ayat ini memberi peringatan bahawa kebahagiaan yang sesungguhnya adalah dengan iman dan amalan soleh, dengan bertakwa kepada-Nya. Bukan sekadar lafaz, tetapi iman itu suatu yang diyakini dengan hati, dilafazkan dengan lidah, dan dibuktikan melalui amalan.

Menurut pendakwah muda, Ustaz MK Azman, manusia perlu  mempercayai dan meyakini ALLAH SWT itu wujud dan berkuasa. Kemudian dengan lidah dilafazkan puji pujian dan membuktikan melalui perbuatan seperti melakukan semua tuntutan yang disuruh oleh ALLAH SWT serta menghindari segala larangannya.

“Terdapat banyak dalil di dalam hadis dan al-Quran, antaranya Surah Al-Mudaththir, ayat 31, dan orang yang beriman itu bertambah imannya. Namun, apabila kita menyebut tentang bertambah, pasti akan ada lawannya, iaitu berkurang. Namun menerusi Surah Maryam, ayat 73 ALLAH memberikan jawapan, ‘Dan ALLAH akan menambah petunjuk kepada mereka yang telah mendapat petunjuk.

“Ini bermakna setiap manusia itu dambakan taufik dan hidayah. Begitu juga mereka yang baru memeluk Islam. Setelah diberikan hidayah, mereka memerlukan taufik, iaitu petunjuk.

“Untuk selamat di dunia dan akhirat, sentiasalah berdoa, agar dipelihara iman, diberikan petunjuk dan hidayah. Serta berusaha mengenali dan mencurahkan segala kemampuan untuk mewujudkan pohon iman yang dipenuhi dengan ilmu dan amal. ”jelas beliau.

Iman turun naik

Beliau yang kini aktif menyampaikan dakwah dan pendidikan pra sekolah di pedalaman Sabah, menjelaskan, sebagai manusia biasa tidak akan dapat lari dari turun naiknya iman.

Justeru, kekuatan, kesabaran dan sentiasa bermuhasabah diri itu perlu, agar semangat untuk mendekatkan diri ke jalan ALLAH tidak akan  hilang dan luntur.

“ Dalam Surah Ali-Imran, ayat 31, diterangkan, ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’

“Ayat ini jelas menunjukkan seseorang yang mengakui mencintai ALLAH dan Rasul-Nya itu, perlu mengikuti akidah Rasulullah SAW dan meninggalkan segala bentuk kesyirikkan dan khurafat.

“Bahkan perlu juga meneliti kualiti ibadahnya, menjauhkan diri daripada kemaksiatan, tidak riak dan takbur, serta menjadikan solatnya itu solat yang sempurna,”katanya.

Tambah MK Azman, selain muhasabah diri, sentiasa beristighfar dan berzikir juga merupakan senjata ampuh untuk mengembalikan kekuatan.

“Seseorang yang diuji itu akan berasa kuat dan tidak akan lemah, apabila meletakkan ALLAH SWT pertama daripada segala-galanya. Kecintaan kepada ALLAH dan Rasul itulah yang menjadikan hidup lebih bahagia, serta kelazatan iman akan sentiasa mengiringi perjalanan hidupnya.

“Apa sahaja ujian dan halangan, ia hanya akan menambahkan darjat seseorang di dunia dan akhirat.

Selain itu, katanya lagi, ALLAH SWT tidak akan membebani seseorang sesuai dengan kemampuannya. Untuk mengekalkan keimanan itu, perlukan usaha, pengorbanan dan mujahadah. Serta sentiasa berdoa agar hidup dan mati sentiasa dikekalkan dalam iman.

3 tip raih manisnya iman.

1.ALLAH dan Rasul lebih dicintai daripada yang lain.

2.Segerakan solat, dan meletakkan ALLAH sentiasa yang utama.

3.Istighfar dan selawat setiap hari.

Bertambah Iman

1. Mengenal ALLAH SWT dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Semakin mengenal ALLAH, nama-nama, serta sifat-sifat-Nya, maka akan bertambah keimanannya.

2. Melihat ayat-ayat ALLAH SWT.

3. Melakukan kebaikan dan ketaatan.

4.Meninggalkan maksiat dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada ALLAH SWT.

Berkurangnya Iman

1. Berpaling daripada mengenal ALLAH, nama-nama, dan sifat-sifat-Nya.

2. Berpaling daripada melihat ayat-ayat ALLAH. Sehingga menyebabkan kelalaian dan kerasnya hati.

3. Kurang beramal soleh.

4. Melakukan maksiat.