1.APAKAH Pandangan Syariat berkaitan sambutan Maulidur Rasul?

Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang diadakan sempena hari kelahiran baginda Rasulullah SAW, menurut pandangan sebahagian ulamak seperti Imam al-Suyuti beliau menyatakan bahawa amalan tersebut adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya, kerana bertujuan melahirkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya”. (Riwayat Muslim)

Salah satu tanda seseorang itu menyayangi Rasulullah SAW adalah dirinya merasa gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW, serta berbangga dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Amalan baik

2.Apakah amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul?

Antara amalan yang boleh untuk dilakukan adalah berpuasa. Diriwayatkan dari Abu Qatadah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab:

“Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku”. (Riwayat Muslim)

Hadis di atas memberikan isyarat bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin bagi mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari tersebut. Maka, jika Rasulullah SAW sendiri berpuasa pada hari Baginda dilahirkan begitulah juga yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari  ini, sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana diutuskan Rasulullah SAW.

Berselawat juga antara amalan yang digalakkan pada sambutan Maulidur Rasul. Menurut pandangan Syeikhul Islam Sayid Dahlan menyatakan bahawa selawat dan berdiri kerana membesarkan Nabi adalah amalan baik lagi mulia. Perbuatan berhimpun di masjid atau di surau, di samping dapat solat fardu berjemaah.

Demikian juga amalan berzanji yang dimaklumi mengandungi pujian tertinggi kepada Nabi Muhammad SAW dan diikuti dengan selawat kepada baginda tidak dapat dinafikan mengandungi banyak kebaikan di dalamnya. Sabda Baginda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali Allah SWT berselawat ke atasnya 10 kali” (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Ini antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul. Meskipun sambutan tersebut merupakan perkara yang baik, namun mestilah dipastikan ianya menepati syariat Islam baik dari sudut akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah.  

Perkara baharu

3.Terdapat pandangan yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul termasuk di dalam perkara bidaah yang mesti dielak?

Imam al-Suyuti meriwayatkan daripada Imam Baihaqi dalam kitab Manaqib al-Syafii. Imam al-Syafii berkata: Perkara-perkara baharu yang diadakan terbahagi kepada dua bentuk :

i.Perkara yang diadakan menyalahi al-Quran, al-Sunnah, pandangan ulamak salaf dan ijmak, maka ia adalah bidaah (perkara baharu) yang sesat.

ii.Jika perkara yang diadakan itu ada kebaikan yang tidak bertentangan dengan mana-mana daripada al-Quran, al-Sunnah, pandangan Ulamak Salaf Dan Ijmak, maka ia adalah bidaah (perkara baharu) yang tidak tercela.

Oleh itu, berdasarkan pandangan ini sambutan Maulidur Rasul tidak termasuk di dalam perkara bidaah (perkara baharu) yang menyesatkan. Selagimana ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Zaman sahabat

4.Mengapa tiada sambutan Maulidur Rasul pada zaman Sahabat dan golongan salaf?

Ketika masyarakat Islam semakin jauh dari zaman Rasulullah SAW, maka umat Islam juga semakin jauh dari ilmu dan sirah yang menceritakan tentang kehidupan Rasulullah SAW. Juga kesan dari perkembangan ilmu barat yang menghakis nilai-nilai Islam sehingga tersebar pandangan-pandangan songsang seperti fahaman Liberalisma, Pluralisma dan fahaman-fahaman lain. Maka muncul para ilmuwan Islam yang ingin memupuk rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan meletakkan tarikh kelahiran baginda sebagai hari sambutan Maulidur Rasul.

Adalah tidak wajar menilai sesuatu dengan hanya beralasan para salaf tidak melakukan adat dan tradisi sambutan Maulidur Rasul tanpa melihat perbezaan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam antara dua zaman yang berlainan dalam memupuk kecintaan kepada Rasulullah SAW dalam masyarakat.