SYRIA CARE meneruskan komitmen mencari sumber dana bagi memenuhi keperluan dan meringankan derita pelarian Syria. Pelbagai pendekatan dilakukan tidak hanya tertumpu kepada kaedah biasa.

Majlis Makan Malam Amal Kemanusiaan, antara pendekatan yang diketengahkan. Ia bukan setakat sekadar majlis makan-makan, pengisian halwa telinga dan mata, bahkan lebih daripada itu.

Malam Amal Kemanusiaan “Eyes2Heart”  yang dianjurkan merupakan salah satu inisiatif Syria Care dengan kerjasama Rabbani Productions, NAR Records, Our Records dan Restoran Terapung D’Saji KL Titiwangsa. Malam amal ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian bersama kumpulan nasyid terkenal tanah air; Rabbani, Khai Bahar, Azhar Hilmi, adik Jay Nazif dan Suffian Amrin sebagai pengacara majlis.

Fokus utama penganjuran adalah mengumpul dana sumbangan bagi Bantuan Musim Sejuk 6.0 (BMS6.0). Selaku pemegang amanah yang menjaga kebajikan pelarian Syria di negara itu dan di beberapa negara lain, Syria Care menyedari tugas yang digalas amat berat. Bahkan turut melalui pelbagai dugaan dan cabaran besar.

Makan malam amal turut diisi sesi bidaan sebuah lukisan. Lukisan tersebut telah berjaya dibida oleh Mejar Bersekutu (PA) Hj Zaini Hj Aboo Hassan, Pengerusi Malaysia Thailand Halal Food Festival (MATHAF) dengan nilai harga sebanyak RM6,000.

Lukisan itu kemudiannya dihadiahkan kepada isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhamad. Sementara wang hasil bidaan disalurkan pula terus ke tabung BMS6.0 ini.

Kelab peminat Khai Bahar iaitu Khai Bahar Empire, Malaysia dan Singapura serta Ustazah Latifah juga turut menyerahkan sumbangan untuk BMS6.0.

Atas prinsip rezeki tidak akan datang bergolek, Syria Care sentiasa kreatif  untuk mencari sumber dana. Malah pengurusan Syria Care sentiasa terbuka kepada sebarang cadangan untuk tujuan berkenaan selama mana ia menepati kehendak syarak dan etika amal kebajikan.

Bantuan Musim Sejuk

Baru-baru ini buat pertama kalinya sejak Januari lalu, konvoi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), diberi kebenaran untuk memasuki Kem Rukban, selepas lebih dua minggu terputus bekalan makanan dan ubat-ubatan kerana  disekat tentera regim Bashar al Assad.

Lebih 60,000 pelarian kebuluran. Sepanjang tempoh dua minggu sekurang-kurangnya empat kes kematian kanak-kanak dilaporkan kerana kekurangan zat makanan dan ketiadaan ubat-ubatan.

Berdasarkan laporan agensi PBB, keadaan di situ masih dhaif. Wabak penyakit seperti campak masih menjadi ancaman meskipun lebih 10,000 kanak-kanak di situ menerima vaksinasi.

Sebahagian besar mereka terpaksa melarikan diri dari kawasan Deir Az Zour dan Raqqa yang jatuh ke tangan IS dan kemudiannya menjadi sasaran serangan besar-besaran dua penjuru iaitu Amerika Syarikat dan tentera regim.

Mereka berlindung di tengah padang pasir yang tandus. Bina tempat berlindung daripada lumpur dan cebisan khemah. Bagaimanapun lewat bulan lepas sebahagian besar tempat berlindung  tersebut musnah akibat hujan air batu, ribut pasir dan banjir.

Begitu juga di Idlib, Azabnya sama. Terdapat lebih 3.5 juta pelarian dan mangsa konflik di situ. Berbeza dengan kem Rukban, melalui enam rakan kongsi, Syria Care berjaya menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Keadaan semakin sesak ditambah dengan pelbagai ketegangan.Meskipun diisytihar sebagai Zon Bebas Tentera (DMZ), serangan masih berlaku dan perbalahan sesama kumpulan juga berterusan.

Pertambahan pelarian

Pertambahan pelarian beribu kali ganda juga menjadi satu lagi ujian kepada Syria Care untuk melipat ganda usaha khususnya pengumpulan dana dan pengagihan bantuan. Sebahagian besar mereka ketika berpindah dari Timur Ghoutah, Homs, Yarmouk dan beberapa lokasi lain hanya dengan sehelai sepinggang.

Mereka tiada pakaian, selimut atau alat pemanas, ketika berhadapan dengan musim sejuk. Justeru, Syria Care mengalu-alukan sumbangan untuk membantu mereka, agar tidak mati kesejukan dan kelaparan.

Sumbangan

Bantuan Musim Sejuk 6.0 boleh disalurkan terus ke Syria Care melalui telefon 011 3703 0900 atau akaun nombor:

Affin Islamic – 105990040004

Maybank Islamic – 562106653575

CIMB Islamic – 8601894560

RHB Islamic – 26225000021775