SURAH Yasin memberi khabar gembira bagi orang yang memperjuangkan keselamatan dalam hidup. Mengajak orang untuk balik ke rumah dengan selamat, Get Home Safe, ia bukan sahaja rumah malah membawa ke syurga.”

Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata demikian dalam perkongsian ilmu pada sesi #SpiritualHour bertajuk “Making Safety A Way of Life” di Hotel Pullman Kuala Lumpur, 5 Disember lalu.

Beliau bertadabbur Surah Yasin ayat 1 hingga 12 dalam pendekatan kerohanian bagi membina Budaya Keselamatan Tenaga (TSC) di TNB, syarikat gergasi penjanaan, penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik di seluruh negara.

“Ini adalah mesej penting dalam Surah Yasin agar orang yang membacanya setiap berfikiran positif kepada ALLAH SWT. Berdasarkan empat nilai TSC iaitu Menilai, Patuh, Teguh dan Prihatin merupakan pakej daripada al-Quran. Terdapat lebih 800 tempat dalam al-Quran berkaitan nilai tersebut,”katanya.

Program sehari ini dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memberi pendedahan kepada pihak pengurusan tertinggi dan anggota kerja bukan berteras TNB dan anak syarikat TNB berkaitan keselamatan melalui pendekatan rohani.

TNB yang berslogan “Get Home Safe” memperkenalkan TSC untuk menjadikan organisasi yang selamat untuk bekerja. TSC menekankan kepada empat tingkah laku utama iaitu Menilai, Patuh, Tegur dan Prihatin untuk menjadikan kemalangan sifar di tempat kerja.

Lebih 120 peserta diperdengarkan bacaan Surah Yassin ayat 1 hingga 12 oleh Jurutera Projek Elektrikal yang juga Johan Tilawah Al-Quran TNB Peringkat Kebangsaan 2017, Mohamad Fahmy Ismail.

 Perjuangan keselamatan

Fazrul berkata, sepanjang 35 program TSC dan #SpiritualHour anjuran HSE, 12 ayat pertama dari Surah Yasin diterapkan untuk memastikan karakter dan budaya dapat dibina dengan lebih mendalam di TNB agar keselamatan menjadi subjek utama di organisasi ini.

“Surah Yasin ayat 1 hingga 4 mempunyai nilai yang penting apabila kita berinteraksi dengan mana-mana keadaan. Kita perlu bijak menilai apa yang sedang berlaku. Jika tempat itu berbahaya, perlu diambil perhatian.

“Keselamatan merupakan legasi para rasul yang memperjuangkan umat untuk selamat masuk ke syurga. Sebenarnya kita adalah orang yang ingin mengikut kepada rasul yang membawa mesej iaitu “Get home safe to heaven”.

“Oleh itu kita perlu selamat pulang ke rumah dan membimbing keluarga masuk ke syurga. Kita perlu memimpin orang di bawah jagaan untuk memastikan selamat di dunia dan akhirat. Sebagai ketua keselamatan, kita memperjuangkan keselamatan di rumah dan organisasi agar semua selamat masuk syurga,” ujarnya.

Beliau menambah, ayat 5 bermaksud al-Quran diturunkan oleh ALLAH yang Maha Berkuasa dan Penyayang. Ini bermakna ALLAH mempunyai penegasan dan kuasa, namun pada masa sama, ALLAH memberi kasih sayang.

Kuasa dan kasih sayang berpandukan al-Quran perlu seiring sebagai pendekatan prihatin dalam memperjuangkan keselamatan. Itulah nilai yang ingin ditanam ke dalam lubuk hati untuk mengajak tenaga kerja untuk menjaga keselamatan.

Ayat 6 hinggal 8 menjelaskan tugas rasul untuk memberi nasihat, menegur dan memperingatkan kepada kaum. Teguran tersebut diberikan kepada orang yang lalai dan tidak percaya untuk mematuhi langkah keselamatan.

“Nilai TSC seterusnya iaitu patuh merujuk kepada ayat 9 hingga 12. Orang yang patuh dan takut kepada ALLAH akan mendapat keampunan dan ganjaran yang mulia. Dua ciri yang ingin dibina TNB adalah warga kerja yang patuh kepada prosedur keselamatan dan takut kepada Ar-Rahman bil ghaib, Tuhan yang tidak nampak.

“Diharapkan panduan dari langit (al-Quran) masuk ke lubuk hati warga kerja untuk dilaksanakan di tempat kerja dan kehidupan seharian. Semoga TNB terus maju dan mendapat kebaikan serta rahmat ALLAH. ,” katanya.  

Panduan hidup

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, al-Quran mempunyai nilai keselamatan tinggi yang boleh dijadikan budaya kerja kalangan warga TNB.

“Untuk berjaya perlu ada visi yang jelas. “Get home safe to heaven” menjadi visi kita, iaitu masuk syurga. Jika tidak faham al-Quran, maka tidak ada roh al-Quran yang boleh membentuk kerangka fikir dan akhlak yang mulia.

“Jika semua syarikat korporat, badan kerajaan, sekolah dan keluarga mengambil panduan daripada al-Quran, ia mampu menjadi kita ummah yang berjaya.

Beliau turut menekan agar kita perlu bertanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk memastikan keselamatan, kebahagiaan dan keharmonian keluarga, seterusnya membawa keluarga masuk ke syurga.

Turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd, Ketua Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar TNB, Venudran Raman; Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Ho Peng Choong, dan Pengurus Projek Pembangunan HIRARC, HSE, Muhamad Rafiz Ibrahim.

APA KATA MEREKA

Ketua Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar TNB, Venudran Raman

“Budaya kerjaya yang selamat perlu dipraktikkan dari jiwa dan minda. Pepatah menyebut mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru budaya mencegah harus diterapkan di hati kita dengan program #SpiritualHour yang membawa ke segmen lebih total. Ia merupakan pendekatan kerohanian dalam perkara keselamatan kerja. Saya percaya dengan kombinasi konvensional dan kerohanian, setiap anggota kerja lebih menjiwai intipati apakah keselamatan dalam erti sebenar.”

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Ho Peng Choong

“Aspek spiritual boleh membantu staf untuk digunakan sebagi panduan berkaitan keselamatan. #SpiritualHour memberi kefahaman kepada warga TNB khususnya mereka yang beragama Islam. Untuk mendapat impak berkesan, kita juga boleh menggunakan pendekatan kerohanian untuk mereka yang bukan Islam mengikut agama masing-masing.”

Pengurus Kanan Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE), Mohd Yusre Mohd Yusoff

“Sebelum ini, kita mengadakan 21 sesi #SpiritualHour di jabatan kami, yang melibatkan 1,200 staf bermula 16 Oktober lalu. Kita berharapkan konsep #SpiritualHour untuk dikembangkan dan diamalkan ke jabatan lain. Apa jua permasalahan organisasi, kita kembali kepada agama. Agama itu akan menjadi jalan penyelesai terbaik. Kini TNB mempunyai 36 ribu staf dan 15 ribu pekerja kontraktor. Ini bermakna TNB mempunyai keluarga yang besar dalam prasarana negara.”