MASYARAKAT hari ini ramai yang bijak memanfaatkan teknologi. Ada yang berjaya mengambil peluang kemudahan yang ada untuk menjana pendapatan sampingan. Medium seperti media sosial dan aplikasi tertentu dapat membantu penggunanya memasarkan produk dan servis yang ditawarkan.

Ramai yang mampu menjana pendapatan lumayan secara atas talian. Di kalangan remaja sendiri ada yang menjadi orang yang berpengaruh di media sosial, mempunyai pengikut yang ramai dan meraih pendapatan hasil daripada mempromosikan produk pelanggannya.

Namun ramai yang tidak menyedari, pendapatan yang mereka perolehi itu sebenarnya tertakluk kepada kewajipan berzakat jika ianya telah mencapai syarat wajib.

Zakat pendapatan bukan hanya semata-mata ke atas mereka yang berkerjaya dan mempunyai pendapatan tetap sahaja. Tetapi turut dikenakan ke atas pendapatan daripada sumber-sumber lain. Antaranya pendapatan daripada rumah yang disewakan, servis seperti pemandu sambilan, komisyen ejen atau ‘dropship’,  jual beli secara atas talian dan banyak lagi.

Segala bentuk pendapatan tersebut perlu dikira untuk menentukan sama ada jumlahnya melebihi nisab yang mewajibkan zakat atau pun tidak. Sepertimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 267, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan ALLAH ) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya ALLAH  Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”

Di dalam ayat yang lain pula ALLAH  SWT berfirman:  Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan infak (berzakat atau bersedekah) sebahagian daripada apa yang telah Kami rezekikan kepada kamu. Sebelum tiba hari kiamat yang tidak ada jual beli padanya, tidak ada kawan atau teman (yang dapat memberi manfaat) serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir itulah golongan yang zalim. (Surah Al-Baqarah : 254).

Disebabkan kelekaan kita atau tidak mengetahui tentang perihal zakat, mungkin ada di kalangan masyarakat yang tidak mengendahkannya. Umum mengetahui bahawa zakat itu adalah rukun di dalam agama Islam.

Di dalam Al-Quran juga terdapat ayat-ayat yang mengingatkan kita tentang balasan orang yang dengan sengaja enggan mengeluarkan zakat.

Firman ALLAH  SWT: “Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (daripada kebenaran), Dan yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya). Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (Surah Al- Ma’aarij : 17-22).

Andai ada zakat kita yang belum atau terlepas menunaikannya, maka hitunglah ia serta keluarkanlah zakat tersebut dengan segera. Agar kita tidak dikira berhutang dengan ALLAH  SWT. Daripada Aisyah RA berkata; “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda;

Tiada suatu harta yang bercampur dengan zakat (yang tidak dikeluarkan daripadanya) melainkan ia akan merosakkannya.” (Riwayat Ash-Syafie).

Hadis ini menerangkan bahawa harta yang tidak dizakatkan akan berkurang, binasa atau hilang keberkatannya. Kerana zakat itu sifatnya melindungi harta dan juga pemiliknya daripada kebinasaan.

Taksir Dan Bayar

Menyedari betapa besar tanggungjawab kita terhadap rezeki yang ALLAH  kurniakan kepada kita, maka hendaklah kita menghitung dan menaksirkan zakat ke atas harta kita. Zakat pendapatan boleh dikira dengan menggunakan kalkulator zakat yang disediakan di laman sesawang Pusat Pungutan Zakat. Sila layari www.zakat.com.my. Pertanyaan lanjut berkenaan zakat juga boleh diajukan melalui talian zakat di 1-300-88-5757.

Secara asasnya zakat dikenakan ke atas harta yang jumlahnya melebihi nisab tahunan. Nisab bagi tahun 2018 di Wilayah Persekutuan adalah RM 14,772. Justeru sekiranya jumlah pendapatan selama setahun yang diperolehi sama ada daripada pekerjaan utama ataupun sambilan telah mencukupi atau melebihi nisab, maka wajib dikeluarkan zakat ke atasnya dengan kadar sebanyak 2.5%.

Bayaran zakat boleh dibuat sama ada dengan membayar di kaunter-kaunter yang berdekatan, atau secara atas talian melalui perbankan internet.

Tunaikanlah kewajipan ini sebelum terlewat. ALLAH SWT mengingatkan di dalam Al-Quran:

Dan belanjakanlah (pada jalan ALLAH) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh." (Surah Al-Munafiqun : 10).

Kelebihan Berzakat

Zakat membawa keberkatan di dalam kehidupan. Orang yang menunaikan zakatnya akan sentiasa mendapat perlindungan daripada ALLAH  SWT dan mendapat doa daripada para malaikat. Daripada Abi Hurairah RA Nabi SAW bersabda,

Setiap pagi setelah terbit matahari, akan ada dua malaikat turun di sisi manusia. Berkata salah satu daripada malaikat, “Ya ALLAH! Ya Tuhanku! Kurniakanlah ganti terhadap orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH .” Dan berkata yang lain pula, “Ya ALLAH! Ya Tuhanku! Berilah kemusnahan terhadap orang yang bakhil dan menahan hartanya (dibelanja pada jalan ALLAH). (Hadis Muttafaq ‘Alaih).

Yakinilah bahawa berzakat tidak mengurangi harta sebaliknya menambah keberkatan pada harta kita.