“Katakanlah: Sesungguhnya kematian yang kamu melarikan diri daripadanya itu tetap akan menemui kamu, kemudian itu kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata. Maka Dia akan memberitahu kamu akan apa yang pernah kamu kerjakan.” (Surah Al-Jumu’ah : 8).

Tiada seorang pun di dunia ini yang mampu dan berjaya lari daripada kematian. Sama ada kaya atau miskin, berpangkat atau tidak, sihat atau sakit, tua atau muda. Semuanya bukan jaminan panjang atau pendeknya umur seseorang. Oleh kerana itu Rasulullah berpesan kepada umatnya agar memperbanyakkan mengingati kematian. Sabda Rasulullah SAW:

“Perbanyakkanlah mengingati perkara-perkara yang menghapuskan kelazatan dunia iaitu maut.” (Riwayat At-Tirmizi dan An-Nasaie).

Berkata Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya ‘Al-Bidayah’: Ketahuilah bahawasanya maut itu tidak menyerang anda pada waktu yang tertentu, atau pun pada keadaan yang tertentu. Akan tetapi maut itu tetap akan menyerang anda pada waktu yang tiada diketahui, maka menyediakan diri untuk maut adalah lebih utama daripada menyediakan diri untuk dunia.

Teka-teki

Suatu hari Imam Al-Ghazali berkumpul bersama murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya kepada muridnya enam pertanyaan. Pertama Imam Al-Ghazali bertanya, “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?” Muridnya memberikan pelbagai jawapan. Ada yang menjawab ibu bapa, guru, kawan-kawan dan kerabat. Beliau menjawab, “Semua jawapan adalah benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah ‘kematian’ kerana ALLAH berfirman:

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali Imran : 185 ).

Kemudian beliau bertanya lagi, “Apa pula yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?” Muridnya menjawab China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Imam Al-Ghazali menjelaskan jawapan muridnya semuanya benar akan tetapi yang paling benar adalah ‘masa lalu’. Walau secanggih mana kenderaan yang kita ada, kita tetap tidak boleh kembalikan masa lalu. Oleh itu kita haruslah menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang.

Soalan ketiga Imam Al-Ghazali bertanya, “Apa yang paling besar di dunia?” Muridnya menjawab matahari, gunung dan bumi. Semua jawapan tersebut adalah benar kata Imam Al-Ghazali. Namun yang paling besar di dunia ini adalah nafsu. Maka haruslah berwaspada dengan nafsu agar nafsu itu tidak membawa kita ke neraka.

Seterusnya beliau bertanya, “Apa yang paling berat di dunia?” Jawab muridnya gunung, batu dan besi. Beliau menjawab, “Semua jawapan kamu betul tetapi yang paling berat adalah memegang amanah.”

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah Al-Ahzab:72).

Pertanyaan yang kelima adalah “Apa yang paling ringan di dunia?” Muridnya menjawab, kapas, angin dan debu. Imam Al-Ghazali membenarkan semua jawapan kemudian dia menjawab, “Yang paling ringan di dunia adalah ‘meninggalkan solat’. Kerana kesibukan kerja di dunia, ramai yang dengan mudahnya meninggalkan solat. Sedangkan solat itu tiang agama.”

Soalan yang terakhir ditanya Imam Al-Ghazali kepada muridnya, “Apa yang paling tajam di dunia?” Semua menjawab serentak, “Pedang!” Imam Al-Ghazali menjawab, “Benar, tetapi yang paling tajam adalah ‘lidah manusia’. Kerana dengan lidah, manusia dengan senang menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.”

Beringat sebelum terlewat

Di sebalik pertanyaan Imam Al-Ghazali kepada murid-muridnya terkandung banyak nasihat buat kita semua. Umur kita di dunia hanya diberikan sekali sahaja. Tiada peluang kedua setelah tibanya saat kematian. Dan tiada ruang untuk meminta penangguhan. Ingatlah firman ALLAH SWT:

“Dan belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu, sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya,  maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang-orang yang soleh ".Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan ALLAH Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Munafiqun:10-11).

Dalam suatu peristiwa, Rasulullah SAW pernah ditanya tentang siapakah gerangan orang yang bijak. Lalu Baginda SAW memberitahu bahawa orang yang bijak adalah orang yang banyak mengingati mati dan sentiasa bersedia untuknya. Mereka meninggalkan dunia dengan penuh penghormatan dan tiba di akhirat dengan penuh kemuliaan.

Memperbanyakkan mengingati kematian banyak faedah dan manfaatnya. Antaranya adalah menjadikan kita seorang yang zuhud di dunia, merasa cukup dengan apa yang dimiliki, serta melazimkan diri dengan mengerjakan amal kebaikan dan menjauhkan diri daripada perbuatan jahat dan keji. Mereka yang sedar bahawa ajalnya itu sangat hampir, pastilah tidak akan menangguhkan diri untuk bertaubat kepada ALLAH daripada segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan.

Begitulah sebaliknya. Jika seseorang melupakan terus tentang kematian dan kehidupan selepas kematian. Lalu memanjangkan angan-angan dan harapannya di dunia. Pastilah dia akan mencintai dunia sepenuhnya. Berusaha sepenuh daya untuk mengumpul segala habuannya, berseronok-seronok dengan syahwat dan kelazatannya, bermegah dengan perhiasannya, malas atau berat untuk melakukan kebaikan dan akan sentiasa menangguhkan untuk bertaubat daripada dosa dan kesalahan.

Mereka pasti akan menyesal saat kematian yang dilupakan itu datang secara tiba-tiba. Sedang mereka tidak bersedia dan tidak punya bekalan amal kebaikan untuk dibawa.Namun kesedihan dan penyesalan itu tidak berguna. Firman ALLAH SWT:

Apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Surah Al-Mu’minun : 99-100).