“IBU TUNGGAL? Mungkin ada buat dosa kepada suami, tak pandai jaga suami atau tak pandai masak…”

Itulah tanggapan kalangan masyarakat apabila melihat wanita yang berpisah hidup dengan suami sebagai golongan kelas kedua, berbanding dengan ibu tunggal yang kematian suami.

Ini secara langsung menambahkan stres kepada wanita yang sedang menggalas dua tugas dalam satu masa. Dialah ibu dan dialah ayah. Bagaimanakah ibu tunggal mendepani kehidupan yang serba mencabar?

Ketua Pegawai Penyelidik, Fazrul Ismail berkata, menurut konsep dalam al-Quran, ibu tunggal ini termasuk kehilangan suami kerana meninggal dunia; hilang hubungan kerana bercerai atau hilang fungsi ayah sebagai ketua keluarga; dan hilang kerana meninggalkan keluarga untuk tempoh sementara atau lama.

Al-Quran merakamkan kisah Siti Maryam, Siti Hajar dan Asiah (isteri Firaun) yang boleh menjadi inspirasi kepada golongan Hawa yang bertakwa. Surah Maryam ayat 16 hingga 35 menceritakan kisah Siti Maryam mempunyai anak tanpa bersuami. Ini menunjukkan tanda kebesaran ALLAH SWT yang Maha Pencipta.

“Kisah Siti Hajar mencari air untuk anaknya, Nabi Ismail AS antara Bukit Safa dan Marwah. Walaupun dia tidak tahu di mana sumbernya, apa yang penting adalah berusaha. Selepas itu, ALLAH SWT mempertemukan air (zam zam) tersebut dan ia barakah sampai sekarang.”

“Asiah memberi inspirasi bagi wanita yang tetap berjuang berbuat amal soleh dan berdoa kepada ALLAH untuk mendapat rumah di syurga, meskipun bersuamikan orang yang zalim. Beliau telah mengambil anak angkat, Nabi Musa AS yang menjadi penyejuk mata.”

Beliau menambah, wanita yang tiada suami di sisi sama ada hidup atau meninggal dunia, perlu melaksanakan tugas sebagai ayah dan ibu untuk membesarkan anak. Tidak dinafikan pelbagai cabaran dan ujian yang dihadapi ibu tunggal.

Jika ingin mendapatkan khidmat nasihat daripada keluarga, rakan mahupun pakar, pilihlah orang yang menggunakan pendekatan al-Quran, dan bukan jalan yang membawa kerosakan diri.

“Ibu tunggal bukan kelas kedua, namun fahaman jahiliah dalam masyarakat hari ini apabila melihat wanita tanpa suami sebagai kelas bawah. Sedangkan Islam memuliakan kedudukan wanita sebagai dinyatakan dalam Surah Al-Nisa’.

“Idea perkahwinan dalam Islam bukan sekadar menjaga isteri, malah ibu dan ayah si si isteri sebagaimana ibu dan ayah sendiri. Pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak adalah wali iaitu ayah.

“Sekiranya ayah ‘hilang’, tanggungjawab tersebut berpindah kepada datuk, dan bapa saudara sebelah ayah,” katanya.

Jadi diri sendiri

Pensyarah dari Jabatan Psikologi & Kaunseling , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Samsiah Mohd Jais berkata, mengikut Banci Penduduk dan Perumahan 2010, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWKM) mengambil kira ibu tunggal berdasarkan beberapa kriteria berikut (KPWKM, 2015).

Pertama, perempuan yang menjadi Ketua Isi Rumah, seorang balu atau janda (bercerai) / berpisah tetap dan mempunyai anak yang belum berkahwin dalam isi rumah yang sama.

Kedua, perempuan yang menjadi Ketua Isi Rumah tetapi mempunyai suami (suaminya tidak sihat dan tidak berkemampuan untuk bekerja) dan mempunyai anak yang belum berkahwin dalam isi rumah yang sama.

Ketiga, perempuan yang menjadi ketua isi rumah, tidak pernah berkahwin tetapi mempunyai anak (anak angkat atau anak tidak sah taraf).

Beliau berkongsi maklumat tersebut dalam Program Santuni Ibu Tunggal: Urus Stres Kita Bahagia bertajuk “Kesihatan Mental Sepanjang Hayat”, di Masjid Puncak Alam, Shah Alam, 4 November lalu.

“Stigma masyarakat terhadap ibu tunggal sebagai kelas kedua dan dipandang sinis boleh menyebabkan tekanan mental kepada golongan tersebut. Ditambah dengan tekanan ekonomi dan sosial seperti kesempitan hidup, kesunyian dan tidak mampu sara hidup untuk membesarkan anak. 

“Kebanyakan kita menganggap penyakit mental jarang berlaku dan berlaku kepada orang lain, tetapi hakikatnya, ia berlaku dengan meluas berdasarkan maklumat peningkatan bilangan kes masalah kesihatan mental di Malaysia. Tetapi masih ramai yang belum mengetahui atau mendiamkan diri disebabkan stigma peribadi dan masyarakat.”

Tambah beliau, antara gejala fizikal yang boleh dialami oleh mereka yang murung ialah seperti rasa letih dan lesu, berubah selera makan dan waktu tidur, sakit kepala dan pening, loya dan mulut kering, perut tidak selesa, sembelit atau cirit-birit, sakit otot, degupan jantung yang laju, sesak nafas, menggeletar, tapak tangan berpeluh, kebas atau semut-semut, dan resah.

Ibu tunggal yang mengalami kemurungan atau kecelaruan mental perlu mengambil inisiatif untuk mendapatkan bantuan daripada kaunselor dan pakar psikologi. Kesihatan mental adalah penting sebagai asas pemikiran, komunikasi, pembelajaran, daya tahan, keyakinan diri dan hubungan sejahtera.

“Ibu tunggal tidak perlu membandingkan dirinya dengan orang lain. Anda boleh menjadikan ibu tunggal yang berjaya dan berinspirasi. Namun, buatlah ikut tahap kemampuan diri agar tidak stres.

“Untuk menghadapi cabaran sebagai ibu tunggal, senaraikan keutamaan dalam hidup anda seperti anak dan buat terbaik untuk mereka. Fikirkan diri mampu melakukan dan kongsikan pengalaman dengan orang yang dipercayai. Jika perlu,  minta bantuan kepada orang yang berkelayakan dan berpengalaman,” katanya.

Kes 1

“Akibat terlalu tertekan, saya duduk dalam kubur. Dari situ saya dapat kekuatan daripada ALLAH. Inilah perjalanan hidup saya terakhir. Bila difikir-fikirkan semula, saya bersyukur sebab ALLAH bagi ujian. Dengan ujian, ia membuatkan saya kuat. Bila ada masalah, saya cari orang yang ada pegangan agama sebagai rujukan. Kita perlu sentiasa bersyukur, berfikiran positif dan ikhlaskan diri. Kekuatan kita adalah ALLAH SWT. Kita hidup jangan bergantung kepada orang lain. ALLAH tidak akan menguji kecuali kita mampu. Hidup tak akan berubah melainkan diri sendiri. Suami dan anak hanya pinjaman. Saya selalu ingatkan diri bahawa ALLAH tidak akan tinggalkan kita. - Puan Imah, 47 tahun

Kes 2

“Pada awalnya saya tertekan apabila diuji anak sakit misteri seperti gangguan halus, ditambah suami telah meninggal dunia sejak lapan tahun lalu. Jika tiada keimanan, mungkin boleh terjun dari pokok. Alhamdulillah, setiap kesusahan ALLAH akan gantikan lebih baik. Sebagai ibu tunggal, kita dipilih menjadi orang istimewa. Kitalah ibu, kitalah ayah. Saya berlapang dada dan ikhlas dengan ujian ALLAH. Dalam Islam, tiada istilah putus asa kerana kita mesti bergantung kepada ALLAH SWT sebagai sumber kekuatan untuk membela diri dan keluarga. Bersolat, berdoa dan mengaji adalah amalan terbaik untuk mendekatkan diri dengan ALLAH.” - Puan Asiah, 60 tahun

Kes 3

“Bercerai hidup lebih sukar bila kita memulakan hidup daripada ‘zero’. Pada mulanya, saya rasa rendah diri dan hina bergelar janda. Kesilapan besar saya apabila bergantung sepenuhnya kepada suami. Perpisahan membuatkan saya tersedar. “Ya ALLAH, hanya Engkau tempatku bergantung.” Saya bersama empat anak keluar rumah sehelai sepinggang dan menumpang di belakang kedai dobi selama 6 bulan. Selepas terima lafaz cerai, saya nekad untuk mulakan hidup baru bersama anak yang masih kecil. Saya bermesyuarat dengan anak dan melantik diri sendiri sebagai ketua keluarga. Dengan bantuan keluarga dan kawan, saya mampu bangkit meneruskan kehidupan dan menyara hidup dengan melakukan lima kerja dalam satu masa.” - Puan Ani, 48 tahun