SOALAN: Bolehkah hibah dengan bersyarat?

JAWAPAN:  Pembahagian harta secara hibah dilihat dapat membantu mengurangkan masalah kelewatan tuntutan dan pembahagian harta pusaka seseorang si mati. Hibah merupakan satu alternatif pengurusan harta yang boleh memupuk kasih sayang dan mengukuh ikatan silaturrahim dalam keluarga.

Sesuatu hibah diiktiraf dan menjadi sah sekiranya memenuhi rukun hibah yang ditetapkan oleh jumhur fuqaha’ iaitu pemberi hibah, penerima hibah, barang yang dihibah dan sighah (ijab dan qabul).

Secara umumnya, terdapat dua jenis hibah yang wujud dalam pasaran iaitu hibah mutlak dan hibah bersyarat.

Hibah mutlak ialah apabila seseorang menghibahkan hartanya dalam bentuk yang biasa dan tanpa ditetapkan sebarang syarat untuk menguatkuasakan hibah tersebut. Ia akan memberikan tiga kesan berikut:

a.Harta yang dihibahkan berpindah milik kepada penerima hibah berkuatkuasa serta-merta;

b.Hak milik penerima hibah adalah kekal dan tidak dihadkan tempohnya; dan

c.Hilangnya hak milik penghibah terhadap ‘ayn dan manfaat harta yang dihibahkan.

Hibah secara mutlak adalah mudah kerana secara konstruktifnya, sesuatu harta yang telah dihibahkan itu jelas telah dipindahmilik dan tidak tergolong sebagai harta pusaka.  

Namun, terdapat sesetengah hibah yang meletakkan syarat penghibah ingin memanfaatkan harta tersebut selagi dia masih hidup. Ia dilakukan kerana pada kebiasaannya untuk menjamin kedudukan penghibah pada masa hadapan walaupun harta miliknya telah dihibahkan kepada orang lain. Konsep ini dibuat kerana penghibah khuatir mungkin penerima hibah akan mengabaikannya apabila semua harta telah dihibahkan.

Hibah, di mana penghibah mensyaratkan bahawa dia masih berhak ke atas manfaat harta termasuk dalam kategori ‘hibah al-muqtarinah bi shart’ atau hibah dengan bersyarat. Dari segi perspektif muamalah Islam, pemberian dengan meletak syarat (termasuklah syarat mengekalkan manfaat harta hibah) adalah termasuk dalam kategori akad yang disertakan atau terikat dengan syarat atau secara mudahnya disebut sebagai muqayyad.

Terikat syarat

Dalam akad muqayyad, pihak-pihak yang berakad terikat dengan syarat yang dipersetujui sepanjang tempoh akad. Pemasukan syarat berbentuk taqyid ke dalam sesuatu akad bermaksud meletakkan satu atau beberapa obligasi (iltizam) ke dalam akad yang tidak dikenakan dalam keadaan biasa (mutlaq). Syarat taqyid ini merangkumi pemasukan syarat oleh pihak yang mengadakan kontrak berdasarkan kehendak dan keperluan mereka serta dipersetujui oleh kedua-dua pihak (yang melakukan ijab dan qabul).

Dalam hal ini, Perkara 83, Majallat al-Ahkam al-Adliyyah memperuntukkan bahawa, “Diwajibkan memenuhi syarat sekadar yang boleh.”

Dalam konteks hibah, taqyid berlaku apabila penghibah meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama akad hibah bagi melaksanakan pemberiannya itu sama ada syarat itu menepati muqtada al-hibah atau sebaliknya. Perlu diingat bahawa taqyid ini hanya akan berlaku apabila mendapat persetujuan daripada penerima hibah.

Hukum taqyid ini adalah bergantung kepada status syarat yang dibuat sendiri, sama ada syarat yang harus (al-shart al-ja’iz) ataupun syarat yang rosak (al-shart al-fasid). Mengikut undang-undang Islam, al-shart al-fasid dalam hibah berlaku apabila penghibah menetapkan syarat yang bertentangan dengan kehendak akad hibah (shart ma yunafi muqtada al-hibah).

Jika ini berlaku, syarat tersebut dihukumkan batal manakala hibah tetap sah. Akad hibah disifatkan tidak batal dalam keadaan ini kerana hibah merupakan sejenis akad sukarela (‘uqud al-tabarru’at) yang tidak batal dengan pemasukan syarat-syarat yang fasid.

Pemegang amanah

Mengikut prinsip asal, apabila seseorang itu menghibah hartanya kepada seseorang dan diqabd oleh orang itu, maka ini dengan sendirinya bermaksud penghibah melepaskan semua haknya terhadap harta tersebut. Ia secara langsung memberi maksud bahawa penghibah sudah tidak berhak lagi ke atas sebarang manfaat harta yang dihibahkan. Walau bagaimanapun, boleh dikatakan kebanyakan penghibah masih lagi ingin menikmati manfaat fizikal atau ekonomi daripada harta yang telah dihibah.

Begitu juga dalam produk hibah yang melibatkan pemegang amanah, penghibah masih lagi ingin dan boleh menikmati manfaat harta yang dihibahkan selagi dia hidup berdasarkan sekiranya terma tersebut diletakkan dalam Surat Ikatan Amanah (trust deed). Rasional daripada amalan ini ialah harta hibah pada ketika itu telah dimiliki (dipegang) oleh pemegang amanah dan pemegang amanah tertakluk kepada perjanjian yang dibuat dengan penerima hibah bahawa penerima hibah masih lagi berhak ke atas manfaat harta yang dihibahkan.

Apabila wujudnya dokumen perjanjian yang jelas berdasarkan kerelaan dan kehendak kedua-dua pihak iaitu pemberi hibah dan penerima hibah maka unsur-unsur haram dalam muamalah terutamanya gharar telah dapat dihapuskan. Oleh demikian, dengan menetapkan syarat supaya penghibah masih lagi dapat menikmati manfaat harta hibah tidak mempunyai masalah di sisi syarak dilihat dari segi ketiadaan unsur-unsur gharar, maqasid perjanjian tersebut dan juga sifat hibah yang merupakan akad tabarru’.

Kongsi manfaat

Hal ini dikuatkan lagi dengan kenyataan bahawa pendapat daripada mazhab Hanbali yang mengatakan bahawa adalah sah menghibahkan harta dengan mengecualikan manfaatnya selama tempoh yang diketahui. Oleh itu, jika seseorang menghibahkan rumahnya, dan mensyaratkan supaya dia berhak untuk tinggal di dalamnya selagi dia hidup atau selama tempoh yang ditetapkan, maka hibah dan syarat ini adalah sah mengikut pandangan ini.

Jika kaedah mengecualikan manfaat harta yang dihibahkan ini boleh diterima, maka penghibah yang mensyaratkan penerima manfaat untuk ‘berkongsi’ manfaat tersebut bersama-sama dengan penghibah juga boleh diterima. Mekanisme ini memberi kelebihan kepada penghibah yang menghibahkan satu-satunya rumah yang dimiliki namun ingin mendiami rumah tersebut untuk satu-satu tempoh yang ditetapkan.

Perlu ditegaskan bahawa keharusan bagi penghibah memperoleh manfaat harta tersebut adalah tertakluk kepada jenis harta itu sendiri. Ia hanya boleh dilaksanakan bagi harta yang masih kekal walaupun telah digunakan, terutamanya harta tak alih.

Jika harta yang dihibahkan berupa wang simpanan, penggunaan manfaat bermaksud menggunakan wang tersebut untuk sesuatu tujuan dan ini tentulah akan menyebabkan harta yang dihibahkan itu tidak lagi sama sifatnya seperti ketika ia dihibahkan (sama ada berkurangan atau tiada lagi) untuk digunakan oleh penerima hibah.