SAUDARA baharu adalah merujuk kepada mereka yang baru memeluk agama Islam dan mereka dianggap sebagai “saudara baharu” dalam konteks kemunculannya dalam masyarakat Islam di mana setiap umat Islam itu adalah bersaudara.

Saudara baharu dan warisnya yang bukan beragama Islam adalah tidak saling mewarisi. Para ulama bersepakat dengan merujuk kepada hadis Rasulullah SAW. daripada Usamah bin Zayd RA yang bermaksud:”Orang Islam tidak mewarisi harta pusaka orang yang bukan Islam, dan orang yang bukan Islam juga tidak mewarisi harta pusaka orang Islam” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain, tegahan waris yang bukan Islam daripada mewarisi harta pusaka saudaranya yang beragama Islam juga boleh difahami melalui hadis Rasulullah SAW. daripada Abdullah bin Amru RA yang bermaksud: “Orang yang berbeza agama tidak akan mewarisi.”(Riwayat Abu Dawud)

Saudara baharu hanya mewarisi dan diwarisi dalam kalangan saudara-maranya yang bersamaan akidah dengannya, iaitu agama Islam. Dalam hal ini, kaedah pembahagian harta pusaka adalah sama iaitu “waris yang terdekat akan menghijab yang jauh”. Waris yang terdekat ini hendaklah yang beragama Islam dan jumhur fuqaha berpandangan, waris yang bukan Islam tidak berhak untuk menghijab waris Islam yang lain kerana mereka tidak dianggap sebagai waris yang sah di sisi hukum syarak.

Apabila seseorang waris yang bukan beragama Islam dihalang daripada mewarisi harta pusaka “saudara baharu”, maka dia juga terhalang daripada berfungsi sebagai penghijab. Justeru, sekalipun dalam kaedah umum hukum pusaka menyatakan bahawa waris yang jauh tidak akan mewarisi apabila wujudnya waris yang dekat, namun kaedah ini tidak diterimapakai pada waris yang bukan beragama Islam.

Saudara baharu

Dalam pelaksanaan pembahagian harta pusaka yang melibatkan “saudara baharu”, undang-undang di Malaysia tidak memperuntukkannya secara khusus dalam status pentadbiran Islam, tetapi secara umumnya ia adalah berdasarkan hukum syarak. Oleh itu, harta pusaka seorang “saudara baharu” yang meninggal dunia hanya akan diwarisi oleh warisnya yang beragama Islam sebagaimana telah dibincangkan sebelum ini, dan sekiranya tiada waris, maka baitulmal akan mengambil keseluruhan harta tersebut.

Fakta ini pernah diputuskan dalam kes Re Emily binti Abdullah @ Yeo Leng Neo (1996), di mana harta peninggalannya telah dibahagi sebagai harta sepencarian (1/2) dan juga diambil sebagai harta pusaka oleh suami (1/4) dan bakinya diserahkan kepada baitulmal (1/4) kerana tiada waris beragama Islam yang lain. Begitu juga dalam kes Re Zarina binti Abdullah @ Ooi Po Tsuan (2002), harta pusakanya telah diwarisi oleh suami, anak perempuan dan baitulmal kerana tiada waris Islam yang lain. Sementara dalam kes Re Zaiton binti Abdullah (1989), kesemua harta pusaka si mati diserahkan kepada baitulmal apabila ketiadaan waris hubungan darah yang beragama Islam. Dalam semua kes ini, waris yang bukan beragama Islam tidak berhak untuk mewarisi.

Hubungan biologi

Sekalipun faktor akidah menjadi sempadan dalam kelayakan pindah milik harta dengan pusaka, ia tidaklah menafikan daripada melakukan alternatif lain bagi memindah milik harta kepada waris yang bukan Islam. Ini kerana Islam tidak menafikan hubungan biologi yang wujud di antara mereka yang berhubungan darah dan tanggungjawab kewangan ke atas mereka. Oleh itu adalah wajar bagi “saudara baharu” untuk meninggalkan harta yang tertentu kepada anak, isteri, saudara dan ibu bapa walaupun mereka bukan beragama Islam bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

“Saudara baharu” dan waris yang bukan beragama Islam juga berhak untuk mendapat hak daripada tanggungjawab yang terhutang. Menurut Sayyid Sabiq, apabila isteri yang bukan Islam memeluk agama Islam dan suaminya tidak turut serta, hak isteri sebagai waris tanggungan seperti dalam pembiayaan nafkah masih tidak gugur. Walaupun suami dihalang daripada bersekedudukan dengan isterinya, halangan tersebut bukanlah daripada isteri atas keingkaran dan sebagainya, tetapi halangan itu kerana suami tidak mahu memeluk Islam.

Buat wasiat

Bagi melaksana tuntutan hak dan kewajipan ke atas waris tanggungan ini, “saudara baharu” diharuskan membuat wasiat atau memberikan sebahagian harta tertentu kepada warisnya yang bukan Islam, seperti melakukan pemberian (hibah). Pendapat ini adalah berdasarkan kepada firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Q60:8).

Malah, sistem perundangan di Malaysia juga tidak menyekat seorang Muslim daripada memberi wasiat kepada orang bukan Islam. Dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 misalnya, tiada syarat yang menyatakan bahawa setiap penerima wasiat mesti seorang yang beragama Islam. Syarat bagi benefisiari wasiat yang diperuntukkan dalam seksyen 7 adalah:

i. diketahui;

ii. mempunyai kelayakan untuk memiliki harta yang diwasiatkan; dan

iii. jika ditentukan, dia hendaklah wujud ketika wasiat dibuat dan jika tidak ditentukan, benefisiari tidak disyaratkan wujud sama ada ketika wasiat itu dibuat atau ketika pewasiat itu mati.

Justeru, waris yang bukan Islam boleh menerima wasiat daripada pewarisnya yang beragama Islam, dengan syarat tidak melebihi daripada satu pertiga harta melainkan mendapat persetujuan daripada waris yang lain.