KEKECOHAN besar berlaku apabila satu kes melibatkan seorang kanak-kanak bawah umur dinikahi oleh seorang lelaki yang jauh lebih berumur. Beberapa telahan berlaku ke atas situasi ini sehingga ke tahap yang tidak sepatutnya. Rata-rata menuding jari kepada Islam, penganut Islam, orang Melayu, tokoh agama termasuk kumpulan politik Islam dan sistem serta status berkaitan hal ehwal Islam.

Hulubalang kepada gagasan kasih sayang, kecaknaan dan hak asasi manusia membuat ulasan. Lupakah mereka, sebenarnya di luar sana ada kanak-kanak perempuan yang terjebak menjadi pelacur kepada lelaki hidung belang dan gila seks. Lelaki yang punya agama tetapi tidak berhukum dengan agama. Lelaki yang punya anak-anak tapi dalam masa yang sama melanggan pelacur yang sebaya dengan anaknya sendiri?

Sedarkah kita semua bahawa wujud lelaki yang menganggap berbuat seks dengan perempuan-perempuan hanya bagai membuang air kecil di mangkuk-mangkuk tandas awam.   Ke mana perginya suara-suara pejuang yang lantang mengkritik samada di dada-dada akhbar dan sebagainya, untuk mempertahankan hak kanak-kanak ini?

Mengapa ligat berbicara, melatah tanpa ilmu, bila timbul isu-isu yang berkaitan dan melibatkan mana-mana individu Muslim dan institusi Islam?

Islam adalah agama yang menjadikan agenda amar maaruf nahi mungkar sebagai perkara yang asasi. Ketiadaan agenda ini iaitu amar maaruf dan nahi mungkar, ia akan menyebabkan syariat Islam itu dilihat tidak menaungi umatnya. Akhirnya umat Islam dilihat sama sahaja dengan penganut-penganut kepercayaan lainnya.

Umat akan menjadi huru-hara serta kacau bilau dan dalam masa yang sama akan hilanglah hikmah pensyariatan (Maqasid Syariah) kepada perkara agama yang diikat dengan hukum wajib dan haram. Ketika amar maaruf nahi mungkar berjalan, timbullah seolah-olah tindakan itu suatu tindakan bersifat social policing yang dikatakan mengganggu hak dan kebebasan individu.

Keprihatinan agensi agama yang dipertanggungjawabkan dalam mengurus hal ini dan beberapa agensi lain yang berkaitan menyebabkan pelbagai angka, data dan statistik dibahas secara terbuka, sehingga telah memberikan bayangan bahawa umat Islam ini terlalu teruk. Berbeza dengan individu di bawah sistem kepercayaan lain yang tidak melihat perkara ini atau angka-angka berkaitan sebagai satu perkara yang merungsingkan. Inilah perbezaan nilai yang harus diambil kira sebelum membuat kesimpulan. Nilai bersosial dalam Islam adalah bersifat mutlak manakala nilai bersosial dalam sistem kepercayaan lain pula bersifat relatif.

Tindakan

Selangor dipuji kerana mengambil tindakan awal meminda status atau tahap umur minima sedia ada perempuan yang dibolehkan berkahwin dari 16 tahun kepada 18 tahun. Biar pun langkah ini suatu yang sangat proaktif, masyarakat di luar perlu mengetahui beberapa perkara yang berkaitan khususnya bila perkara melibatkan permohonan perkahwinan bawah umur dikemukakan kepada mahkamah dan kuasa-kuasa mahkamah dalam berijtihad atau mengeluarkan hukum dan keputusan.   

Mahkamah boleh sahaja memberi keizinan berkahwin kepada kanak-kanak perempuan bawah umur 18 tahun atau mungkin lebih rendah dari had umur asal iaitu 16 tahun berdasarkan maslahah yang bakal dicapai, pertimbangan di antara dua kemudaratan atau mana yang lebih ringan dan hikmah pensyariatan itu sendiri secara umumnya.

Sebagai contoh, apakah yang patut diputuskan oleh seorang Hakim Mahkamah Syariah apabila seorang kanak-kanak perempuan berumur 15 tahun memohon kebenaran untuk bernikah?. Di hadapan hakim adalah fakta dan alasan bahawa si pemohon telah ditangkap oleh ayahnya sendiri berdua-duaan dengan seorang lelaki sekelasnya yang juga berusia 15 tahun dalam keadaan yang sangat mencurigakan.

Kedua-dua pihak lelaki dan perempuan bersepakat untuk menghalalkan hubungan keduanya dengan pernikahan yang sah. Dalam pengetahuan hakim juga bahawa rezeki mereka pasti ada. Hakim juga tidak mahu hubungan mereka akan membawa kepada perlakuan yang lebih mudarat dan teruk. Hakim juga mahu mengutamakan hikmah pensyariatan perkahwinan itu sendiri bagi menjaga keturunan (nasab).

Selayaknya hakim akan berijtihad dan membuat keputusan berdasarkan ilmunya, bahawa cadangan kepada perkahwinan itu perlu diteruskan dan kelulusan perkahwinan bawah umur ditetapkan kepada pihak perempuan perlu diluluskan. Begitu juga kelulusan perlu diberikan kepada pihak lelaki kerana masih berumur 15 tahun.

    Huraian contoh di atas menjelaskan bahawa agama Islam adalah agama fitrah. Menyediakan wahana kehidupan sebagai seorang muslim mengikut kesesuaian di setiap zaman, tempat, masa dan keadaan. Sebahagiannya menyediakan prinsip fleksibiliti yang dipandu oleh mereka yang layak dan berwibawa dalam merealisasikannya. Harus diingat bahawa ada perbezaan antara hukum, status atau undang-undang bertulis yang dikuatkuasakan.

Status akan mengambil ruang kepada persoalan undang-undang semata-mata dengan syarat tidak menyanggahi Perlembagaan Malaysia. Manakala hukum atau hukum syarak adalah satu perkara yang boleh digunakan sepenuhnya dalam soal nikah cerai dan rujuk orang Islam bagi hakim mengeluarkan ijtihadnya mengikut empat mazhab dan mengutamakan mazhab Syafi’e serta pandangan ulama-ulama dalam mazhab Syafi’e .

Persoalan    

Suatu yang amat mendukacitakan, apabila kes seperti di atas diheret dengan beberapa persoalan yang boleh menggugat keyakinan kepada ALLAH SWT. Perkara ini dilihat berlaku apabila terdapat di kalangan orang-orang Islam sendiri yang menggunapakai pandangan atau hujah akliah (akal) yang menjangkau persoalan rezeki, jodoh, ajal dan maut sebagai alasan kenapa perkahwinan bawah umur perlu disekat.

Selain ungkapan-ungkapan ini tidak berteraskan tauhid, ungkapan sebegini melakar suatu sikap mengatur Islam, sedangkan Islam adalah peraturan atau cara hidup yang sudah sempurna sejak 1400 tahun lalu. Sesiapa pun boleh bersetuju atau boleh tidak bersetuju dalam soal perlaksanaan, selagi tidak menjejaskan prinsip syariah dan hikmah pensyariatan.

 Justeru, dalam menghadapi perbezaan pendapat ada beberapa langkah bagi menghadapinya secara hikmah dan berakhlak. Salah satu akhlak dalam menghadapi perbezaan pendapat ialah sikap akur terhadap perkara yang haq dan mutlak ketetapannya di sisi ALLAH SWT. Sesungguhnya, pendapat yang terbaik itu adalah hak ALLAH dan Rasul berdasarkan prinsip Shahadah al-Tawhid iaitu al-Quran dan Shahadah al-Risalah iaitu As-Sunnah (peraturan atau adat yang berdasarkan perbuatan dan perkataan Nabi Muhammad SAW).

    Dalam Islam wujud fleksibiliti dan ianya perlu merujuk kepada prinsip al-Quran, al-Hadith dan berdasarkan pandangan ulama muktabar yang menguasai pelbagai cabang ilmu. Ulama yang diberi ALLAH SWT gelaran ‘orang yang hanya takut kepada ALLAH’ dan Ulul Albab yang mempunyai pandangan atau penelitian yang sifatnya sangat halus. Sebagai contoh, seorang ulama telah menimbulkan satu permasalahan iaitu seseorang telah tertelan cincin dan apakah hukum cincin itu dipakai semula setelah bercampur dengan najis? Ulama berkenaan membuat ketetapan bahawa cincin itu boleh dipakai dengan syarat najis hendaklah dibuang terlebih dahulu. Begitulah kehebatan ulama pewaris nabi. Mereka telah mengandaikan masalah yang mendatang dan pandangan mereka bagaikan buah yang sudah masak dan hanya perlu dijolok.  

Berkiaskan masalah cincin yang keluar bersama najis dari perut seseorang boleh dipakai dengan syarat menghilangkan ain najis,  maka fatwa telah menetapkan keharusan menggunakan enzim yang berada di dalam najis perut anak lembu digunakan untuk membuat Yogurt dengan syarat najis dalam perut anak lembu dapat dipisahkan dengan sempurna. Sesuai juga dengan keupayaan masa kini dengan teknologi pemisahan yang lebih efisien termasuk item dan zarah yang sangat halus.

Fleksibiliti dalam Islam turut mencakupi persoalan islamisasi ilmu, budaya, pemikiran kreatif, inovasi, teknologi, IT, adat menjadi hukum, pengurusan dunia, pengurusan sumber guna tenaga, metodologi, hasil kajian, kepakaran seseorang, takzir dan perubatan. Bahan-bahan asli anugerah ALLAH SWT dicanai menjadi logam getah dalam pelbagai fungsi boleh guna menunjukkan fleksibiliti yang lebih luas tanpa sekatan. Emas hitam di bumi umat Islam adalah tertakluk kepada fleksibiliti output dan outcome yang pelbagai dalam bentuk material juga dikuasai nilai fleksibilitinya oleh orang lain.

Malangnya, ini semuanya tidak disedari sama sekali oleh umat Islam itu sendiri. Akhirnya, fleksibiliti yang faedahnya adalah hak dan kebanggaan orang Islam telah menjadi sumber kekayaan orang bukan Islam. Umat Islam menjadi pengguna bahkan material tersebut dieksploitasi untuk kehancuran sesama umat Islam.

Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu merenung soal fleksibiliti hukum, manfaat bahan asas dan pelbagai perkara lagi, kemudian mengambil faedah darinya agar umat Islam nantinya akan lebih mengenali ALLAH SWT, mencintai Rasulullah SAW dan mendapat keuntungan akhirat yang tiada taranya.