APAKAH yang dimaksudkan dengan Maqasid Syariah?

JAWAPAN    : Perkataan maqasid dari sudut bahasa merupakan jamak kepada perkataan maqsad yang diambil dari kata kerja yang membawa maksud; pegangan, punca, sasaran, kelurusan, keadilan dan kesederhanaan. Selain itu, istilah ini juga boleh merujuk kepada maksud ‘objektif’ yang membawa erti berasaskan kenyataan atau fakta sebenar.

Manakala Syariah berasal daripada perkataan syarak yang bermaksud sumber air yang tidak pernah putus dan terus mengalir, memulai sesuatu pekerjaan dan menjelaskan, menerangkan serta menunjukkan jalan. Dari segi istilah, ia merangkumi keseluruhan apa yang diturunkan oleh ALLAH SWT kepada umat manusia melalui Rasul-Nya nabi Muhammad SAW.

Secara umum maqasid syariah seperti yang diterangkan oleh ulama usul fiqh ianya merupakan makna dan tujuan yang dikehendaki syarak dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan umat manusia.

Maqasid syariah juga mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam mengukur dan mempertimbangkan sesuatu perkara demi menjamin kemaslahatan dan menolak keburukan. Pertimbangan yang menjadi kayu pengukur ini semestinya berlandaskan nilai-nilai al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi asas bagi memastikan ianya berada di dalam kerangka syariat.

Apakah pembahagian Maqasid Syariah?

JAWAPAN : AL-DARURIYAT

Al-daruriyat merupakan objektif yang mana kehidupan agama dan keduniaan manusia tertegak dengannya, jika sekiranya ia tidak ada nescaya hidup manusia di dunia ini akan menghadapi kesukaran baik di dunia mahupun akhirat.

Al-daruriyat yang asasi ini ada lima iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta benda. Setiap urusan agama dibina atas perkara-perkara ini dan hanya memeliharanya sahajalah segala urusan individu dan masyarakat berjalan dengan baik.

Para ulama Islam telah membuat ketetapan, wujudnya tertib antara lima jenis keutamaan tersebut, iaitu kepentingan agama diletak pada kedudukan tertinggi dan lebih utama dari kepentingan nyawa, sementara kepentingan nyawa mestilah diutamakan dari kepentingan akal, kepentingan akal mestilah diutamakan dari kepentingan keturunan dan kepentingan keturunan pula diutamakan dari kepentingan harta.

Sebagai contoh, ALLAH telah mewajibkan pelaksanaan rukun Islam yang lima untuk menjaga agama. Islam telah mewajibkan jihad dan mengenakan seksa ke atas mereka yang murtad. Oleh demikian, terpeliharalah konsep beragama dan umat Islam dari kerosakan.

Bagi memelihara kesinambungan generasi dan kewujudan keturunan yang baik maka Islam mensyariatkan perkahwinan. Bagi memelihara diri manusia pula, maka ALLAH SWT mengharuskan untuk makan dan minum sesuatu yang asal hukumnya adalah haram. Ini dalam keadaan yang darurat demi untuk menjamin keselamatan nyawa tersebut.

Demikian pula halnya dalam situasi pembunuhan, ALLAH telah mewajibkan hukuman qisas atau diat atau kaffarat terhadap pembunuh.

AL-HAJIYAT

Al-hajiyat ialah kepentingan yang diperlukan oleh manusia bagi memberi kemudahan kepada mereka dan menghilangkan kesempitan yang membawa kepada kesulitan dan kesukaran dengan ketiadaannya.

Manakala ketiadaannya pula tidaklah sehingga membawa kepincangan dalam hidup manusia sebagaimana ketiadaan al-daruriyat, tetapi ia akan membawa kepada kesukaran dalam kehidupan mereka.

Sebagai contoh, disyariatkan beberapa kemudahan (rukhsah) seperti solat qasar dan jama’ bagi orang yang musafir, diharuskan tidak berpuasa Ramadan bagi orang yang sakit atau musafir, menunaikan solat dalam keadaan duduk bagi orang yang tidak mampu berdiri,menyapu khuf sebagai ganti basuh kaki ketika berwuduk, bermusafir dan lain-lain lagi.

AL-TAHSINIYAT

Al-tahsiniyat merupakan kepentingan yang menghendaki seseorang berpegang dengan adab-adab yang baik dan budi pekerti mulia. Ketiadaan al-Tahsiniyat tidaklah membawa kepada kesukaran hidup manusia sebagaimana ketiadaan al-Daruriyat dan tidak pula membawa ketenangan hidup sebagaimana jika ketiadaan al-Hajiyat, tetapi ia hanya membawa kepada kehidupan yang tidak elok pada pandangan orang yang berakal.Contohnya, Islam mensyariatkan bersuci dan menutup aurat di dalam solat, memakai bau-bauan semasa berada di dalam masjid dan di tempat perhimpunan orang ramai dan sebagainya. Dalam urusan muamalat, Islam mengharamkan sebarang urusan jual beli yang mendatangkan mudarat seperti dadah, najis, bangkai dan sebagainya. Demikian juga, Islam mengharamkan jual-beli atas jual-beli orang lain dan juga pinangan atas pinangan orang lain.

Dalam adat pula, Islam mengajar adab- adab makan dan minum, mengharamkan memakan makanan yang keji dan memudaratkan, sebagaimana Islam melarang melampaui batas dalam makan minum dan berpakaian dan sebagainya.

Apakah implikasi jika tidak memahami Maqasid Syariah?

JAWAPAN:  Implikasi tidak memahami Maqasid Syariah adalah seperti berikut:

a) Akan berlaku kesalahan dalam mendahulukan maqasid yang sepatutnya dikemudiankan dan begitulah sebaliknya;

b)  Kesilapan dalam menentukan hukum, apabila menjadikan maqasid syariah sebagai sumber rujukan utama; dan

c)  Hilang kesempurnaan serta hikmah dalam syariat Islam.