JANGAN jadi suami dayus, membiarkan isteri keluar bekerja, bercampur antara lelaki dan perempuan.”

Ini antara pandangan dan kata-kata yang dilemparkan sesetengah pihak terhadap suami yang merelakan isterinya keluar mencari nafkah. Sepertinya sudah diletakkan hukum keharaman seorang isteri itu untuk keluar bekerja membantu suaminya.

Namun, menurut Imam Muda Mohamad Hafiz Abdul Kadir, Dr Sheikh Yusuf al-Qadrawi menjelaskan, seorang wanita itu dibolehkan untuk keluar bekerja, dengan syarat seorang suami itu perlu menasihati isterinya agar tidak terlalu berhias dan bersolek sehingga boleh menarik perhatian lelaki lain.

Dayus dari segi bahasa, merujuk kepada orang yang tiada sifat kecemburuan. Bahkan, ulama turut memberikan definisi kepada makna dayus, iaitu lelaki terutamanya suami yang tiada perasaan cemburu terhadap isteri atau mahramnya. Termasuk ibu, anak perempuan, saudara perempuan, dan seumpamanya.

Dalam kalangan ilmuwan pula berpendapat, dayus itu bermakna meredai sesuatu tindakan yang keji, terkutuk, dan bermaksiat yang dilakukan oleh isteri atau mahram perempuannya.

Menurut Imam Muda Hafiz, asal tuntutan untuk memberikan nafkah itu adalah di atas bahu suami. Lelaki itu diberikan kekuatan untuk memimpin, membimbing dan memberikan nafkah kepada isteri.

 Islam pula meletakkan kaum wanita itu dalam kelompok golongan yang perlukan perhatian, dijaga, dan dipelihara.

“Sungguhpun pada asalnya tanggungjawab dan tanggungan mencari nafkah itu terletak di tangan lelaki, namun tidak lah salah sekiranya seorang wanita atau isteri membantu mengurangkan bebanan si suami. Namun dengan syarat, mendapat izin suami, menjaga batas pergaulan, dan isteri itu sendiri rela untuk keluar bekerja,”katanya.

Memahami matlamat

Persoalannya, selain membantu mencari nafkah keluarga, apakah yang perlu ditanamkan dalam diri setiap isteri itu?

Ujar beliau, seorang isteri itu perlu memahami matlamat dan tujuan utamanya keluar bekerja, iaitu membantu meringankan beban suaminya. Bukannya untuk mencuri atau memikat hati seseorang yang lain.

Justeru perlu diletakkan limit ketika berhubung dan berurusan. Tidak terlalu berhias, dan elakkan daripada berlaku ikhtilat, iaitu percampuran dalam keadaan berdua-duaan. Sehingga melahirkan keintiman seterusnya mencetuskan perasaan di dalam hati.

“Selain itu jauhi situasi duduk berduaan di dalam bilik yang tertutup. Melainkan berurusan dalam keadaan pintu yang terbuka, diawasi cctv, atau pintu cermin yang tidak terlindung.

Sungguhpun ada di antara suami itu reda dan memahami situasi kerjaya pasangannya. Juga percaya isterinya itu tidak akan melangkaui dan menjangkaui batasan yang ditetapkan.

Namun menjadi tanggungjawab untuk seorang suami itu mengambil tahu, selain memberikan teguran juga nasihat.

“Seorang isteri perlu menutup ruang fitnah daripada terjadi, serta memelihara, dan menjaga maruah sebagai seorang isteri,”jelasnya.

Tanggungjawab

Sebagai lelaki yang bergelar bapa pula, mereka bertanggungjawab terhadap anak dan saudara perempuannya. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan adab dan nilai agama Islam.

Walau bagaimanapun, si bapa tidak boleh dikatakan dayus, kerana  dalam Islam dosa itu ditanggung oleh pelakunya. Seseorang itu tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain.

“Berbeza dengan anak-anak yang belum akhil baligh, tanggungan,pendidikan dan tanggungjawab masih sepenuhnya ke atas bapa.

Sungguhpun demikian, seorang bapa itu wajar memberikan nasihat dan teguran sekiranya di dapati anaknya itu melakukan dosa dan sudah tersasar jauh dari nilai-nilai yang digariskan oleh Islam,”katanya.

INFO! Suami yang sudah menasihati dan menegur itu tidak akan dikira sebagai dayus.

Kenali ciri lelaki dayus

1) Membenarkan atau mengarahkan agar kecantikan aurat, bentuk tubuh isteri@anak perempuannya terdedah, atau berpakaian yang menghairahkan yang menarik perhatian lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2) Membiarkan isterinya balik lewat hingga larut malam tanpa tujuan kerja dengan tidak mempedulikan bersama siapa isterinya berteman selepas daripada urusan kerja terutama dengan lelaki lain.

3)Membiarkan isterinya dan anak perempuannya yang dewasa mengenakan wangian yang melampau hingga boleh memperdayakan kelompok lelaki di tempat kerjanya atau tidak mengendahkan penekanan aurat isteri terutama ketika menunggang motorsikal atau kenderaan lain sehingga terselak kain hingga menampakkan aurat tanpa disedari.

Melainkan dalam urusan yang tidak dapat dielakkan yang termasuk dalam perkara daruriyyat (perkara dengan tiadanya tidak dapat diteruskan hidup) atau hajiyyat (keperluan) seperti para doktor medik atau juru rawat jika terlihat sedikit dari aurat yang ringan ketika menguruskan nyawa pesakit seperti kelihatan sedikit pergelangan tangan lengan dan buku lali kaki.

4) Membiarkan anak perempuannya ber’dating’ dan bebas bersentuhan dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya ke mana sahaja.

5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa ‘sporting’ dan memahami.

6) Membelikan pakaian atau memberi wang untuk membeli pakaian atau bahan solekan secara berlebihan hingga sampai kepada tabarruj jahiliyyah yang berlebihan seperti hingga mengubah ciptaan ALLAH SWT umpama mencukur kening, memakai bulu mata dan lain-lain.

7) Tidak memperingati agar anak perempuan atau isteri berswafoto di laman media atau sosial secara bebas tanpa mematuhi batas-batas syarak.

8) Membiarkan isteri pergi kerja dengan menumpang teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu serta tanpa sebarang mahram atau kumpulan wanita yang thiqah (dipercayai).

9) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki (driver untuk urusan kerja) tanpa sebarang pemerhatian atau sekurangnya cuba untuk menjauhi dari fitnah.

10) Membiarkan si isteri atau anak perempuan berwechat atau merakamkan live video utk tatapan umum tanpa mengikut nilai adab dan kemurniaan batasan syarak.