APABILA bencana alam memalu Palu Sulawesi, Indonesia tersebar mesej dalam media sosial mengenai hukuman ALLAH kepada mereka akibat cubaan menghidupkan kembali upacara khurafat pemujaan pantai dan wujudnya beberapa kemungkaran lain.

Mesej itu seolah tahu “dengan pasti” bahawa ia adalah hukuman ALLAH pada mereka. Adakah benar itu kehendak ALLAH? Adakah penghukum itu mendapat wahyu sehingga betah mereka menuding jari kepada orang Palu seraya berkata – Nah, bencana ini bahana dosa kalian! Apa yang pasti hanya ALLAH Tahu yang ghaib:

 "Tuhan sahaja yang mengetahui yang ghaib, maka dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuinya itu kepada sesiapapun, "Melainkan kepada mana-mana rasul yang di redai-nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan) (al-Jinn 72:26-27).

Secara umumnya al-Quran menyebut banyak azab bencana menimpa manusia kerana tangan mereka sendiri, antaranya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) (al-Rum 30:41).

Sunnatullah ini berulang kali disebut ALLAH sepanjang sejarah manusia, antaranya bencana bertali arus menimpa bangsa Firaun kerana kejahatan mereka:

“Dan sesungguhnya Kami timpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran (al-A'raf 7:130).

Musyrikin Mekah zaman Rasulullah SAW juga turut diuji dengan kemarau yang mengundang asap jerebu kerana kedegilan mereka menentang Rasulullah SAW:

“Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat),Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: "Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan"(al-Dukhan 44:10).

Juga firman ALLAH yang lain: “Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) ALLAH memaafkan sebahagian besar daripada dosa kamu (al-Syura 42:30).

Dan firman-Nya lagi: “ Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) ALLAH berikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari setiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat ALLAH itu, maka ALLAH merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan (al-Nahl 16:112).

Milik Tuhan

Antara tujuan utama semua ayat ini diulang sebut al-Quran adalah untuk mengingatkan manusia betapa bumi yang mereka diami ini punyai Tuhan dan Pemilik mutlaknya. Kita wajib melihat langkah dan tingkah kita agar jangan sampai terpihak sempadan Murka ALLAH:

“Dan ALLAH perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada ALLAH jualah tempat kembali (Ali ‘Imran 3:28).

ALLAH juga mahu kita ambil peduli atau cakna dengan apa yang berlaku di sekeliling kerana apabila bencana murka ALLAH datang, ia tidak kenal alamat pendosa atau kaki ibadat. Rempuhan dan “paluannya” akan memukul satu negeri. Oleh itu, kaki ibadat tidak boleh bersikap seperti kera sumbang membiarkan sahaja kemungkaran berlaku. Gerunilah amaran ALLAH ini:

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa ALLAH Maha berat azab seksa-Nya (al-Anfal 8:25).

Berlapik kata

Cuma sedikit teguran yang penulis rasa perlu dibuat tentang cara kita mengulas perkara ini. Oleh kerana wahyu sudah putus dan tiada siapa pun tahu yang ghaib, usahlah kita menggunakan “AYAT PASTI” mengatakan bencana di Palu adalah “tanda murka ALLAH pada mereka.” Lapiklah kata anda dengan ayat sopan, boleh jadi bencana ini suatu teguran ALLAH untuk kita agar mencegah mungkar, atau mungkin ada hikmah di sebalik bencana ini yang perlu sama-sama kita teliti.

Musibah bencana mungkin teguran ALLAH kepada kita tapi ingatlah, ALLAH juga Tuhan Yang Maha Pengasih seperti firman-Nya ini:  Dan kalaulah ALLAH mengira kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan perbuatan jahat yang mereka kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Dia beri tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka ALLAH akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya ALLAH sentiasa Melihat keadaan para hamba-Nya (Fatir 35:45).

Kesimpulannya, jagalah diri agar tidak mengundang amarah ALLAH. Pada masa yang sama bantulah saudara kita yang dipalu bencana ini dengan nasihat penyejuk jiwa bukan sebagai wakil Tuhan penghukum kesalahan mereka. Jika kita jatuh tersungkur, lalu datang seseorang membantu yang lidahnya turut menutur kata, mana satu ayat pilihan anda? Seorang berkata “bencana ini mesti kerana dosamu!” Atau seorang yang berkata “sabar saudaraku, boleh jadi bencana ini ada hikmah dan teguran ALLAH untukmu.” Fikirkanlah!