ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran ALLAH bagi kaum yang berfikir.” (Surah Al-Rum: 21)

Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein berkata, “Mengikut konteks ayat al-Quran tersebut, sesebuah perkahwinan dibina atas mawaddah wa rahmah dan sakinah.

“Kekadang mawaddah bermaksud kebendaan (fizikal). Dahulu kita kenal pasangan cantik atau kacak dan berduit. Hubungan tersebut bukan sahaja dilapisi mawaddah, tetapi diimbangi dengan rahmat, iaitu kasih sayang.

“Perhubungan yang berasaskan mawaddah mungkin berpanjangan untuk tempoh tertentu, seolah-olah ‘kaulah bintang, kaulah bulan’. Apabila usia semakin meningkat, kecantikan semakin pudar, kekacakan menghilang, wang yang tinggi membukit terus menyusut, maka hilang tarikan dalam perhubungan.

“Jika perhubungan suami isteri dibina dengan rahmah atau kasih sayang, ia mampu berkekalan hingga ke akhir ayat. Dalam isu ‘ayah hilang’ mungkin disebabkan semakin kurang kasih sayang antara pasangan, seterusnya hilang fokus dalam membina rumahtangga.”

Beliau berkata demikian dalam Sinar Live Resolusi Keluarga 1440H Siri 2 bertajuk “Peranan ibu bila ayah ‘hilang’ 2.0” bersama Pakar Keluarga dan Kasih Sayang, Dr Rozita Shaari atau dikenali Ibu Rose pada 23 November 2018.

Ibu Rose berpendapat ayah hilang berlaku apabila dia tidak dapat memberi sumbangan kepada keluarga. Contohnya, ayah hilang pekerjaan atau sumber pendapatan. Maka si ayah lari ke dalam gua dirinya kerana berputus asa.

“Sikap isteri yang terlalu “Queen control” boleh menyebabkan si suami hilang keupayaan memimpin dan dilihat ‘tiada jiwa’ bersama keluarganya,” katanya.

Ch: Persediaan berumahtangga

Safri berpendapat, lelaki harus sedar mengenai tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga. Dia perlu mempunyai asas yang kuat dalam fekah perkahwinan sebelum mendirikan rumahtangga.

Umumnya, kita belajar bertahun-tahun dari sekolah rendah, menengah hingga ke menara gading untuk berjaya. Tetapi untuk membina keluarga, kita hanya mengikuti kursus perkahwinan dalam masa dua hari. Ini tidak memadai sebagai persediaan membina keluarga masuk ke syurga.

“Persediaan menjadi pemimpin keluarga perlu bermula sejak anak mula membesar.
Kita patut menjadikan Rasulullah SAW contoh terbaik bersama isteri dan keluarga.

“Ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian, adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan Aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku”.

Safri menambah, fitrah wanita mempunyai emosi yang tinggi. Oleh itu wanita memerlukan sentuhan suami yang disayangi. Kebiasaannya, isteri yang diabaikan perasaan oleh suami akan melepaskan kemarahan kepada anak dan tidak fokus dengan tanggungjawabnya.

“Isteri akan berasa lega, tenang dan aman apabila si suami memberi belaian kasih sayang serta membantu kerja rumah. Keluarga yang dibina dengan rahmat kasih sayang, suami tidak akan hilang,” jelasnya.

Ibu Rose berkongsi pengalaman sebilangan ibu yang berhadapan dengan suami yang hilang fungsi ketua keluarga untuk memberi nafkah, tetapi mereka tidak sanggup kehilangan orang yang disayangi.

“Pesan saya kepada isteri tersebut agar bersabar dengan ujian suami yang mengalami tekanan dan kasihi suami kerana ALLAH SWT. Pada masa sama, anak juga perlu memahami keadaan ayah yang mengalami kemurungan,” ujarnya.  

Safri memberitahu isteri yang ditinggalkan suami lebih empat bulan tanpa diberi nafkah zahir dan batin, boleh menuntut cerai taklik di mahkamah syariah.

“Wahai ayah, jadilah ketua keluarga yang dituntut ALLAH iaitu lelaki yang sentiasa membimbing keluarga. Ini disebut dalam Surah Al-Nisa’ ayat 34, “Al-rijal qawwamun 'ala al-nisa”. ALLAH SWT meletakkan lelaki sebagai pemimpin, manakala perempuan untuk dipimpin.
 
“Lelaki yang bertanggungjawab tidak akan hilang daripada keluarga. Apabila dia sentiasa menyayangi keluarga, maka ALLAH SWT meredai keluarga tersebut.”

Ch: Sistem sokongan

Safri berkata, isteri yang berhadapan masalah suami hilang secara fizikal atau tidak,  boleh menasihati. Kedua, mengadu kepada wali, iaitu orang yang berhak untuk kita mengadu. Ketiga, memberitahu kepada keluarga suami.  

“Jika suami sudah tiada, keluarga suami perlu mengambil berat mengenai isteri dan anaknya. Ini menunjukkan ukhuwah dan persaudaraan sesama umat Islam terutama orang terdekat.

“Kita perlu bantu isteri dan anak yang kehilangan suami dan ayah untuk mengharmonikan keluarga sebagai sistem sokongan. Ini termasuk keluarga dan jiran dan memberi sokongan emosi mahupun rezeki,” katanya.

Isu ayah hilang adakalanya memberi cabaran kepada anak perempuan yang ingin mendirikan rumah tangga. Ayah sebagai wali mujbir berhak untuk mewalikan anak, kecuali diwakilkan kepada orang lain.

Ibu Rose berkata, ayah berasa hebat apabila mengijabkabulkan anak yang mungkin 20 tahun tidak berjumpa. Inilah peluang untuk memperbetulkan masalah silam dan kembali mengeratkan perhubungan antara anak dan ayah kerana ALLAH SWT.

Safri menegaskan semua ayat al-Quran adalah kunci kehidupan kita yang boleh mengharmonikan keluarga. Betapa indahnya jika sesebuah keluarga diisi dengan solat berjemaah, bacaan al-Quran dan bercakap dengan kata-kata yang positif. Ini membangkitkan ketenangan dan kebahagian rumah tangga.   

Menyentuh perkara berkaitan anak yatim, ia adalah adalah tanggungjawab seluruh umat Islam. Anak yatim adalah rahmat ALLAH SWT. Dengan adanya anak yatim seperti Rasulullah SAW dapat pahala besar kepada ALLAH. Orang yang tidak meraikan atau mensia-sia anak yatim adalah termasuk orang yang mendustakan agama. Ini disebutkan dalam Surah Al-Ma’un.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari Sinar Live Resolusi Keluarga 1440H, “Peranan ibu bila ayah ‘hilang’ 2.0” di https://www.youtube.com/watch?v=8Tjj2ejhiwg. Anda juga boleh layari Facebook/savingfamilies2017, WorldQuranHour, dan RumahNgajiOfficial.