JIKA ditanya, pilih syurga atau neraka? Semua orang pasti hendak ke syurga. Tetapi adakah gaya hidup kita sekarang seperti ahli syurga? Apakah kita ingin mahu seorang diri masuk syurga? Tentu kita mahukan orang tersayang turut masuk ke syurga.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Maha Suci (ALLAH) yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka sendiri, mahupun daripada apa yang tidak mereka ketahui” (Surah Yassin: 36)

Penasihat Modul Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein berkata, ALLAH SWT memulakan hidup seseorang dengan mensucikan ALLAH SWT. Hidup berpasangan itu sunnatullah. Tujuan utama ikatan suami isteri dalam berumahtangga adalah untuk mencapai nilai takwa yang tinggi kepada ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH Maha Mengetahui dan Maha Teliti.” (Surah Al-Hujurat: 13)

Menurut Safri, lelaki yang belum berkahwin disebut “syabab” atau pemuda. Bagi lelaki yang bernikah dipanggil ar-rijal. Ayat 34 dalam Surah Al-Nisa menyebut “Lelaki (suami) itu pelindung kepada perempuan (isteri), kerana ALLAH telah melebihkan sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah daripada hartanya...”.

“Berdasarkan ayat tersebut, ALLAH SWT meninggikan darjat ar-rijal dengan ada makmum di rumah. Apabila ALLAH melantik suami sebagai pemimpin keluarga, ini bermakna dia tidak bersendirian kerana ada isteri dan anak yang hendak dipimpin untuk masuk syurga.

“Sebagai pemimpin keluarga disarankan membaca doa sebagaimana disebut dalam Surah Al-Furqan, ayat 24: “ Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebgai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

 Mawaddah warahmah

Safri berkata, tanda kekuasaan dan rahmat ALLAH dalam menciptakan kaum Adam dan Hawa berpasangan adalah berkasih sayang dan rahmah atau mawaddah warahmah. Apabila ada rahmah ALLAH dalam berkasih sayang, maka suami isteri akan hidup bahagia biarpun sekian lama mendirikan rumah tangga.

Ini bermakna, mawadah warrahmah terhimpun dalam keluarga. Rasa indah apabila si suami dapat memegang tangan isteri dan anak-anak untuk masuk ke syurga serta berkumpul bersama. Namun sebelum masuk syurga, manusia tidak dapat lari daripada ujian dan cabaran.

“Dalam mencapai matlamat untuk ke syurga, kita perlu membina syurga di rumah yang diredai ALLAH SWT. Antara ciri-cirinya, kita berasa tenang, indah dan damai apabila berada di rumah. Bagaimanakah membina rumahku syurgaku atau baiti jannati?

“Antara faktor membina syurga di rumah dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bersolat berjemaah. Dengan membudayakan al-Quran dalam keluarga, ALLAH memberi ganjaran ketenangan dan kedamaian di rumah. Itulah yang diinginkan oleh setiap keluarga.”

Untuk membina budaya ahli syurga antaranya menjaga perkataan bila bercakap. Mereka tidak menyebut perkataan yang sia-sia mahupun menimbulkan dosa, bahkan mereka mendengar salam atau kata-kata yang baik.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Di sana mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa. Tetapi mereka mendengar ucapan salam.” (Surah Al-Waqiah: 25-26)

Safri berkata, “Untuk menjadikan rumah kita baiti jannati, kita perlu melatih diri untuk menjaga adab bercakap dengan keluarga. Ahli syurga tidak mendengar perkataan laghah, caci maki dan membawa dosa, melainkan perkataan yang sejahtera dan menyenangkan hati, indah, dan tenang,” katanya.

Panduan masuk syurga

Safri menambah, setiap daripada kita perlu bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita membina rumah di syurga. Namun diharapkan jangan setakat cita-cita, tetapi ada amalan yang dituntut oleh Rasulullah SAW dalam hadis.

Antara amalan untuk membangunkan rumah di syurga adalah membangunkan masjid; menjaga solat Duha empat rakaat; menjaga solat sunat Rawatib 12 rakaat (iaitu qabliyah Subuh dua rakaat, qabliyah Zohor empat rakaat dan ba’diyah Zohor dua rakaat, ba’diyah Maghrib dua rakaat, dan ba’diyah Isyak dua rakaat; membaca Surah Al-Ikhlas 10 kali; setiap hari berzikir dengan mengucap Alhamdulillah dan berakhlak mulia.

Rasulullah SAW memberi panduan untuk golongan wanita untuk mudah masuk syurga sebagaimana sabda Baginda SAW: “Apabila seorang wanita (isteri) itu sudah melakukan empat perkara ini; solat fardu lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatan diri dan mentaati perintah suami, maka dia bebas masuk ke syurga melalui mana-mana pintu yang dipilihnya.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani).

Safri menegaskan kita perlu berjuang untuk masuk syurga sekeluarga dan menjauhi daripada bakaran api neraka.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dari batu (berhala)…” (Surah Al-Tahrim: 6)

Safri menjelaskan ini bermakna perjuangan dan penjagaan masuk syurga sekeluarga merupakan tanggungjawab hakiki bagi lelaki yang menjadi pemimpin keluarga.