SAYA tiba di bumi Madinah al-Munawwarah pada tahun 2003 tanpa hala tuju yang pasti. Saya masih kelam dengan destinasi dan peranan yang perlu saya mainkan di sana untuk tempoh beberapa tahun akan datang, apatah lagi dengan keadaan diri yang masih sangat cetek akan pendedahan tentang ilmu-ilmu agama dan belum lagi menguasai asas bahasa arab yang merupakan suatu tuntutan pelajaran di sana.

Tidak dinafikan saya sentiasa berdebar-debar tatkala memikirkan nasib saya di sana; Apakah yang saya inginkan? Adakah saya akan tersungkur di pertengahan jalan? Atau sesungguhnya ALLAH Yang Maha Mengetahui mempunyai perancangan baik buat diri yang tidak saya ketahui?

Saya mengakui keputusan saya untuk menerima tawaran menyambung pengajian ke Universiti Islam Madinah bukan dibuat atas kehendak diri saya asalnya. Saya lakukannya demi ibu bapa dan abang yang saya cintai, begitu jua demi sepotong hadis yang saya temui mengenai kelebihan bumi Madinah. Sepanjang tempoh saya memikirkan sama ada untuk menerima tawaran tersebut atau sebaliknya, saya dapat lihat di sebalik mata ibu bapa saya terdapat cahaya pengharapan supaya saya memilih bumi Rasulullah s.a.w sebagai destinasi pengajian saya walaupun mereka tidak menyatakannya secara lisan supaya saya mampu membuat keputusan tanpa tekanan.

Tukar haluan

Saya yang ketika itu mengimpikan karier sebagai seorang arkitek seni bina langsung tidak pernah terfikir untuk menukar hala tuju pengajian, apatah lagi dengan sikap saya yang skeptikal terhadap pelajar jurusan agama ketika itu. Justeru rakan-rakan agak terkejut apabila mengetahui saya bertindak mengubah kemudi pelayaran ke destinasi yang tidak dijangka masa hadapannya. Masakan tidak, saya telah berusaha keras supaya dapat mengambil jurusan seni bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), lalu setelah saya berhasil memulakan pengembaraan idaman tersebut, saya seolah-olah melemparkan impian tersebut begitu sahaja.

Di satu sudut lain, saya memikirkan hubungan saya dengan abang saya Alfisyahrin Jamilin yang sangat rapat. Beliau ketika itu terlebih dahulu telah bergelar pelajar Universiti Islam Madinah dua tahun sebelum saya. Berdekatan dengannya membuatkan saya bahagia kegembiraan, berjauhan pula membuat saya sedih kerinduan. Demi ALLAH, saya sangat menyayangi satu-satunya abang saya itu yang telah susah senang bersama saya sejak kecil lagi. Saya mengenali beliau sebagai seorang abang pemurah yang sentiasa memikirkan keluarganya mengatasi dirinya sendiri dan tidak pernah berkira walau 1 sen pun dengan kami, malah sanggup mengorbankan diri demi melindungi keluarga tercinta. Sikap mulia ini sememangnya telah terserlah dalam diri beliau sejak kecil lagi ketika kami belajar bersama sehinggalah kini. Banyak kisah suka dan duka yang telah kami lalui bersama. Semoga ALLAH mengurniakan beliau sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat serta menghimpunkan kami di syurga kelak.

Akhirnya demi insan-insan mulia ini, kaki ini dijejakkan jua di bumi barakah yang pernah didiami junjungan Nabi s.a.w dan para sahabatnya r.a yang tercinta. Masih lagi segar di ingatan ini akan perasaan diri tatkala buat pertama kalinya menghirup udara kering di sana. Alangkah pilunya perasaan ketika itu, apatah lagi bila wajah dan tubuh ini disapa dengan angin sepoi-sepoi panas yang membawa debu-debu padang pasir seolah-olah menyambut hambar kedatangan diri ini ke tanah suci yang mulia. Apakala rakan-rakan mampu bergurau jenaka tertawa sesama mereka, saya pula hanya mampu tersenyum menyembunyikan perasaan di hati yang penuh kecamuk dan kesedihan. Celaru kerana tidak tahu apa yang mahu digapai. Sedih kerana telah mengorbankan minat dan impian. Sepanjang lima tahun tempoh saya berulang-alik dari tanah air ke tanah suci, lima tahun jualah air mata saya sering menitis sendirian memikir dan memendam rasa yang pelbagai perisa. Bukan kerana masalah mental, namun barangkali saya hanya merupakan insan sentimental.

Setelah saya disaring oleh pihak universiti, saya disarankan untuk mengambil kursus bahasa Arab selama setahun sebelum ke mana-mana fakulti dan begitu jualah kehendak saya supaya tempoh tersebut digunakan untuk menambah penguasaan bahasa yang ketika itu saya kelihatan seperti tidak mengerti dan memahami apa-apa. Tempoh tersebut juga ingin saya gunakan untuk menerokai selok-belok pengajian agama di samping memikirkan jurusan takhassus yang perlu dipilih sebelum ke peringkat sarjana muda kelak.

Bahasa Arab

Ketika di peringkat awal pengajian bahasa, saya mendapati terdapat beberapa orang rakan yang sudah mahir berkomunikasi dalam bahasa Arab terutamanya dari beberapa negara Afrika, namun mereka sengaja tidak masuk ke peringkat fakulti lebih awal supaya dapat menambah tempoh pengajian mereka di sana. Tidak kurang juga ada yang kelihatan baik kemahiran bahasa mereka walaupun asalnya mereka juga masuk ke pusat tersebut tanpa bahasa Arab di dada. Lalu terlintaslah di benak ini: Mampukah saya bertutur baik seperti mereka? Berapa lamakah tempoh yang saya perlukan untuk menjadi seperti mereka? Apakah yang mereka lakukan untuk berbahasa Arab baik sebegitu? Maka saya bertekad untuk mengasah penguasaan bahasa Arab saya secepat dan sebaik mungkin sebelum saya melangkah ke fakulti kelak.

Saya bersyukur kerana berpeluang mendapat sahabat-sahabat rapat dari pelbagai negara seperti Basim al-Sayyid dari Arab Saudi, Gazi Magomedov dari Dagestan, Khalid dari China dan lain-lain. Mereka ini telah menjadi sahabat baik saya seawal saya berada di pusat pengajian bahasa Arab universiti lagi. Namun ketika bersama mereka pada awalnya, saya banyak mendiamkan diri kerana tidak memahami perbualan mereka dan tidak mampu untuk bertutur dengan mereka. Justeru langkah pertama yang saya perlu lakukan ialah menghimpunkan sebanyak mungkin perkataan baru. Kesemua perkataan baru yang saya lihat atau dengari akan saya catatkan dalam sebuah kertas atau buku catatan khas yang sentiasa ada di poket saya. Dari situ saya berusaha untuk berkomunikasi walaupun pada peringkat tersebut struktur ayat saya banyak yang tunggang-langgang. Namun saya bersyukur mereka bukan jenis rakan yang gemar mentertawakan atas kesilapan kita seperti yang boleh didapati pada kebanyakan masyarakat Melayu kita. Bahkan mereka sentiasa menyokong dan menggalakkan saya untuk terus memperbaiki diri.

Sepanjang tempoh pengajian bahasa tersebut, saya cuba menerokai asas-asas disiplin ilmu seperti: Hadis, Syariah, Usuluddin, Quran dan Bahasa Arab demi mendapatkan gambaran setiap bidang tersebut yang setiap satunya merupakan fakulti khas di Universiti Islam Madinah. Saya membeli beberapa buku ringkas dan mudah bagi setiap bidang tersebut. Saya juga berjumpa dengan penuntut-penuntut ilmu lain mengambil penjelasan mereka. Saya masih ingat lagi buku Mustalah al-Hadith karangan syeikh al-‘Uthaymin yang dibeli sebagai langkah pertama untuk mengenali bidang hadis, namun saya langsung tidak dapat memahaminya walaupun ia ringkas dan mudah bahasanya. Lalu saya diperkenalkan dengan ‘Abdul Hasib seorang pelajar tahun akhir dari India yang merupakan antara pelajar terbaik fakulti Hadis ketika itu. Beliau banyak membantu saya menterjemah serta memberi penerangan mengenai buku tersebut dan ilmu hadis umumnya.

Sejujurnya saya tidak bersikap malu-malu dalam mencari ilmu, dan saya tidak kisah untuk mengejar seseorang atau sesuatu demi mendapatkan apa yang dihajati hati. Jadi saya memohon bantuan ‘Abdul Hasib yang hampir selang sehari akan meluangkan masanya untuk mengajar saya asas-asas ilmu hadis. Kemudiannya saya mencari seorang pelajar yang melazimi syeikh al-Fallatah yang ketika itu mengajar Sahih Muslim di masjid Nabawi untuk membantu saya memahami Muqaddimah Sahih Muslim yang langsung tidak saya fahami. Selepas Isya’ lebih kurang sejam saya akan duduk belajar bersama beliau secara 1 on 1 di Haram.

Perasaan saya sangat resah dan berkecamuk ketika itu kerana memikirkan saya seakan tidak mampu untuk memahami setiap butir apa yang diterangkan atau dibaca mengenai ilmu hadis. Saya sangat kabur dan hampir membuat keputusan untuk mengambil jurusan lain, apatah lagi fakulti Hadis ketika itu digambarkan sebagai sangat sukar dan para pelajarnya sering gagal. Ditambah lagi tatkala melihat sikap kebanyakan pelajar-pelajar hadis ketika itu yang suka bertelagah dan gemar membidas pihak lain. Dalam istilah lain, mereka dilihat sebagai pelajar yang syadid (keras) oleh kebanyakan pihak. Isu-isu seperti kadar janggut, isbal, rakaat terawih sering dijadikan medan “panas” dengan pihak lain seolah-olah ia merupakan isu akidah yang tiada perselisihan mahupun toleransi padanya. Jika saya bertemu dengan mereka, kelihatan bebola mata mereka akan melirik menyoroti jasad saya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki seolah-olah pelik dengan penampilan saya yang kelihatan tidak mencerminkan identiti pelajar hadis sehingga membuatkan saya juga “panas” dengan mereka.

Namun saya bukan seorang yang suka mengambil kira pandangan pihak lain yang mungkin kurang senang dengan saya. Apa yang saya rasakan tiada salahnya dalam agama, saya akan lakukannya mengikut cara saya. Saya tidak kisah dicerca, kerana bukan keredaan manusia yang didamba, bahkan Tuhan Yang Maha Esa cuma. Saya tidak malu berbaju Melayu ke kelas walaupun rata-rata pelajar fakulti Hadis memakai jubah, kerana bagi saya walau di mana sahaja saya berada, saya tetap dan senang menjadi seorang Melayu Muslim, apatah lagi saya tidak melihat jubah itu sebagai sunnah yang disyariatkan.

Saya juga tidak kisah berisbal sekali-sekala kerana saya tidak berpandangan ia nya haram melainkan dengan kesombongan. Saya faham di fakulti Hadis sana, isu ini dianggap ramai penuntutnya sebagai sangat besar dan sensitif sehingga kadangkala boleh mencetuskan pergaduhan. Memandangkan pelakunya merupakan minoriti dan pendapat yang dipegangnya tidak popular di sana, mereka ini akan dipandang sinis oleh ramai rakan-rakan sekuliah.

Hal-hal seumpama ini membuatkan saya semakin jauh hati untuk memasuki fakulti Hadis. Namun ketika itu tidak ramai pelajar Malaysia yang menceburi bidang hadis, apatah lagi di tanah air tercinta yang masih sangat kekurangan pakar hadis. Saya sememangnya ingin mencuba sesuatu yang lain daripada kebanyakan dan ingin terjun ke tempat yang kurang pelajar Malaysia atas faktor-faktor peribadi. Bidang Syariah juga merupakan bidang yang paling menarik minat saya kerana bidang tersebut agak praktikal dan lebih “sederhana” suasananya. Namun abang saya terlebih dahulu telah mengambil bidang tersebut yang merupakan jurusan yang paling popular di sana, justeru saya ingin memilih jalan lain daripada beliau. Setelah beberapa pertimbangan dilakukan, akhirnya saya cenderung untuk meletakkan fakulti Hadis sebagai pilihan pertama sebagai cabaran buat diri tanpa mengetahui apa yang menanti!

Ketika itu saya masih lagi kabur: Apakah hala tuju bidang hadis? Apakah tabiat ilmu hadis dan objektifnya? Adakah ilmu hadis sekadar ilmu hafalan? Mengapakah ilmu hadis dikatakan begitu sukar untuk dikuasai? Apakah pula faedah dan natijah menekuni ilmu hadis?

Saya akui ketika itu minat saya belum lagi tercetus untuk mendalami bidang hadis. Yang wujud hanya persepsi, perasaan tertanya-tanya, dan sikap untuk meneroka semata-mata!