SEBUAH rakaman video yang ditularkan suatu masa dahulu, pasti memberikan inspirasi buat kita semua. Seekor beruang dewasa bersama anaknya sedang mendaki gunung yang diliputi salji. Beruang dewasa membiarkan sahaja beruang kecil berusaha sendiri mendaki gunung tersebut tanpa memberikan sebarang bantuan.

Beberapa kali si beruang kecil itu menggelungsur jatuh ke bawah dan kembali memanjat semula ke atas. Malah ketika si beruang kecil berhempas pulas dan hampir tiba di puncak, si beruang besar itu seolah-olah sengaja memberikan tekanan kepada beruang kecil itu sehinggalah sekali lagi beruang kecil tersebut menggelongsor jatuh jauh ke bawah. Namun dengan pantas beruang kecil tadi bangkit dari jatuh dan terus memanjat laju ke atas sehinggalah sampai ke puncak.

Seandainya kita menyaksikan sendiri video yang berdurasi hampir tiga minit itu, pasti kita temui sebuah hikmah yang boleh kita jadikannya sebagai pedoman dalam hidup kita seharian. Sabda Nabi SAW, “Hikmah itu adalah barang yang hilang milik orang yang beriman. Di mana sahaja ia menemukannya, maka ambillah.” (Riwayat Tirmizi)

Apa yang kita pelajari daripada dua ekor beruang ini adalah jangan pernah berputus asa. Dalam kita ingin menuju sesuatu kejayaan pasti banyak cabaran, halangan dan ujian.

Kadang kala kita merasakan yang kita telah hampir dengan kejayaan, setelah kita sudah berusaha sehabis baik, namun kita masih lagi diuji dengan kegagalan. Malah kita mungkin diuji dengan kegagalan yang lebih teruk daripada sebelum ini. Lalu kita merasakan kejayaan adalah mustahil untuk kita dan akhirnya kita terus mengalah.

Adakah si beruang kecil tadi mengalah setelah jatuh jauh ke bawah? Pastinya tidak! Malah langkah beruang kecil itu memanjat lebih laju daripada sebelumnya sehinggalah ia berjaya sampai ke puncak gunung. Begitulah kehidupan ini, kita akan sentiasa diuji oleh ALLAH SWT. Kerana daripada ujian inilah kita belajar sesuatu dalam hidup dan kita dapat menyedari kesilapan yang kita telah lakukan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Orang Mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh ALLAH SWT, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap ALLAH SWT tanpa dia membawa dosa sedikitpun.” (Riwayat Tirmizi).

Dan Firman ALLAH SWT;

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Az-Zumar:53).

Berani Berubah

Perubahan adalah sesuatu kemestian dalam kehidupan. Alam ini sentiasa berubah termasuk jugalah manusia. Perubahan dalam alam ini adalah seperti sebuah kitaran. Sebagai contoh mansia yang diciptakan oleh ALLAH SWT dilahirkan dalam keadaan lemah, kemudian membesar dan menjadi kuat dan akhirnya dikembalikan menjadi lemah kembali. Firman ALLAH SWT;

ALLAH yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Surah Ar-Rum:54).

Itulah perubahan yang bersifat alami. Namun ALLAH SWT tidak menjadikan manusia itu tidak mempunyai pilihan dalam hidup. ALLAH telah menjadikan manusia sebaik-baik makhluk di muka bumi. Diberikan akal kepada manusia supaya berfikir dan menjadi khalifah di bumi ini. Menurut akidah ahli sunnah wal jammah manusia diberikan jalan pilihan dan usaha. Namun yang memberi sesuatu manfaat atau mudarat hanyalah ALLAH SWT sahaja. Tidak pada makhluk. Firman ALLAH SWT;

Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (Surah Al-Insan: 3).

Di dalam Islam kita dituntut untuk sentiasa melakukan perubahan yang membawa kepada kebaikan. Kita diajar untuk memastikan hari ini lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Namun hakikatnya, bukan mudah untuk melakukan sesuatu perubahan.

Perubahan kepada sesuatu yang lebih baik adalah perkara yang kebiasaannya tidak menyeronokkan, tidak disenangi, menyusahkan dan seringkali bercanggah dengan keinginan sesetengah orang. Kerana itu kita dapat lihat sebahagian orang dapat mengubah diri mereka, sebahagian lain tidak berjaya. Namun bila ditanyakan mereka yang tidak berjaya ini, rata-ratanya semuanya inginkan perubahan.

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah ALLAH. Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila ALLAH menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Surah Ar-Ra’d 13:11).

Kajian mengatakan sesuatu kejayaan itu terhasil daripada niat yang betul. Kerana niat yang betul itu akan memandu manusia untuk memilih dan melakukan perkara yang betul sekalipun perkara tersebut tidak disukai. Firman ALLAH SWT;

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al-Baqarah:216).

Maka permulaan sesuatu perubahan itu adalah dengan mengubah cara pemikiran kita. Tetapkan matlamat yang ingin kita capai dan sentiasa menghubungkannya dengan keredaan ALLAH SWT. Kemudian terus melakukan segala usaha yang dapat membawa kepada matlamat yang ingin dituju. Seandainya usaha yang dilakukan menemui kegagalan, ataupun halangan janganlah kita berputus asa. Sebaliknya jadikan kegagalan dan halangan tersebut sebagai satu proses pembelajaran untuk mencapai matlamat yang dituju.

Minda kita juga perlu sentiasa bersedia untuk melakukan perubahan kerana halangan terbesar untuk sebuah perubahan yang kecil adalah alasan yang kita sendiri ciptakan. Berusahalah untuk berubah, dan hanya kepada ALLAH kita berserah.