ADA banyak sebab yang menjadikan seseorang berasa bangga. Ada yang bangga dengan kejayaan diri sendiri. Ada yang berbangga dengan kejayaan orang lain. Suami bangga dengan pencapaian isteri. Isteri bangga dengan kehebatan suami. Ibu bapa bangga dengan potensi anak-anak. Ketua bangga dengan prestasi orang-orang di bawahnya. Kerajaan bangga dengan sokongan rakyatnya. Begitulah pelbagai sebab yang membuatkan seseorang berasa bangga.

Rasa bangga akan tercetus apabila seseorang berjaya mencapai sesuatu impian yang diharapkan. Atau berjaya mengharungi suatu keperitan, kesusahan dan ujian dengan penuh sabar dan tabah. Namun, adakah kita hanya boleh berasa bangga apabila mengecapi suatu kejayaan sahaja? Bagaimana  jika tidak ada apa-apa pencapaian? Adakah masih ada sebab untuk berasa bangga?

Boleh!

Sebenarnya kita masih boleh berbangga dan terus berbangga kerana kita ada satu sebab yang terus kekal selama-lamanya. Tanpa perlu menunggu apa-apa kejayaan.

Bangga dengan agama kita. Bangga dengan Islam. Bangga sebagai seorang Muslim. Bangga dengan gelaran yang dikurniakan oleh Raja segala raja, ALLAH Azza wa Jalla. FirmanNya:  

“Dan berjihadlah kamu pada jalan ALLAH dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia (ALLAH) menamakan kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).. (Surah al-Hajj:78).

Syukur

Bangga dengan Islam seharusnya membawa diri kita menjadi hamba yang bersyukur. Syukur kerana hidup di atas petunjuk hidayah. Syukur kerana dapat mengecapi nikmat agama yang  benar. Samaada secara warisan keturunan mahu pun hasil usaha pencarian. Manusia yang tahu bersyukur tidak akan mudah lupa diri. Lebih penting dia tidak akan lupa Sang Pencipta Azza wa Jalla.

Bukan sombong

Bangga sebagai Muslim bukan menjadikan kita sombong lalu memperlekehkan kepercayaan dan anutan agama lain. Apa yang dipercayai oleh agama lain, perlu diikhtiraf kewujudannnya dan diraikan perbezaan. Tetapi, perlu diingat, mengiktiraf kewujudan bukan bererti kita mengakui kebenaran. Kita tetap yakin hanya Islam agama yang benar di sisi ALLAH selama-lamanya.

Perisai diri

Rasa bangga sebagai Muslim sentiasa akan mengingatkan kita agar berperilaku sebagai muslim. Bermula dari amalan dan ibadah harian seterusnya dizahirkan dalam cara bercakap, interaksi sesama manusia dan cara bekerja. Rasa bangga ini menjadi perisai buat diri dari terjebak melakukan kesalahan. Apa maknanya jika berasa bangga sebagai Muslim tetapi tidak berasa apa-apa dikala melanggari perintah agama?

Lebih malang, mahu berasa bangga sebagai  Muslim, tetapi dalam masa yang sama cara hidupnya tidak melambangkan rasa bangga tersebut. Menjadi Muslim yang mencemarkan keindahan Islam sendiri. Bercakap kasar, memaki hamun, mencarut, pengotor, tidak berintegriti dalam kerja dan sebagainya. Lebih parah, terlibat dengan kesalahan-kesalahan yang besar seperti rasuah dan penyelewengan.

Tonjol keindahan Islam

Bangga sebagai Muslim juga sepatutnya mendorong kita untuk menonjolkan keindahan Islam kepada orang lain, terutamanya kepada bukan Muslim.  Menonjolkan Islam sebagai agama kasih sayang. Islam sebagai agama menyeru kedamaian. Islam sebagai agama toleransi. Islam sebagai agama yang saling menghormati sesama kaum. Islam sebagai agama yang menolak diskriminasi bangsa mahu pun jantina. Islam yang memelihara alam sekitar. Islam yang berdiri di atas prinsip “rahmatan lil ‘alamin”.

Tegas dengan prinsip

Rasa bangga sebagai Muslim menjadikan kita seorang yang berprinsip. Tidak mudah diperkotak katikkan sehingga mengabaikan tuntutan agama. Bekerja mencari nafkah, menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, namun dalam masa yang sama tidak sekali menggadaikan prinsip agama. Hanya yang halal diraih. Haram tetap haram.

Walau mungkin kita tidak dikenali di kalangan masyarakat. Belum ada apa-apa sumbangan besar kepada negara. Pencapaian kejayaan pun sekadar biasa-biasa sahaja. Usah berasa lemah dan berjiwa kecil. Kita ada satu sebab yang sangat besar untuk kita berasa bangga. Zahirkan rasa bangga kita sebagai Muslim.