SOALAN: Bagaimana Baitulmal Mewarisi Harta Pusaka Si Mati?

JAWAPAN: Baitulmal boleh mewarisi dan menerima harta pusaka dalam tiga keadaan:

i.          Sekiranya si mati tidak mempunyai waris yang berhak mewarisi harta pusaka mengikut hukum faraid. Maka semua harta si mati dikembalikan kepada Baitulmal.

Contoh:

a.     Sekiranya si mati sebatang kara. Tidak mempunyai suami atau isteri dan tidak pula mempunyai saudara mara. Maka semua harta pusakanya jatuh kepada Baitulmal.

b.    Si mati asalnya ada waris, seperti isteri, anak-anak, ibu dan bapa. Tetapi kesemuanya telah meninggal dunia terlebih dahulu. Maka semua harta si mati akan jatuh kepada Baitulmal.

c.    Si mati seorang muallaf. Namun tidak berkahwin. Tiada dalam kalangan ibu bapa dan saudara maranya yang memeluk agama Islam. Oleh itu semua harta pusakanya dikembalikan kepada Baitulmal kerana berlainan agama menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka.

d.    Si mati hanya meninggalkan seorang atau beberapa orang anak angkat. Waris lain berdasarkan perkahwinan atau keturunan tidak ada. Anak angkat tidak mewarisi kerana bukan keturunan hakiki atau darah daging kepada si mati. Oleh itu kesemua harta si mati diserahkan kepada Baitulmal.

Waris Dzawil Arham

iii.         Sekiranya si mati meninggalkan waris, tetapi mereka tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka atau terhalang daripada menerima pusaka seperti waris dzawil arham, maka kesemua harta pusaka itu diserahkan kepada Baitulmal.

Contoh:

a.    Si mati semasa hayatnya mempunyai seorang anak perempuan tetapi anak itu telah mati dahulu daripadanya. Anak perempuan itu ada meninggalkan beberapa orang anak. Mereka ini dinamakan cucu daripada anak perempuan yang mati dahulu. Mengikut hukum faraid mazhab Syafi’e, mereka tidak mewarisi. Oleh kerana waris lain tidak ada,  kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

b.    Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki seibu sebapa yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dzawil arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

c.    Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara lelaki daripada adik beradik seibu sebapa perempuan yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dzawil arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diwariskan kepada Baitulmal.

d.    Si mati belum berkahwin. Tiada waris lain kecuali datuk sebelah ibu (bapa kepada ibu). Datuk ini tidak mewarisi kerana tergolong dalam kategori waris dzawil-arham. Oleh itu kesemua harta pusakanya diserahkan kepada Baitulmal.

Sebahagian harta

ii.        Sekiranya si mati meninggalkan waris yang berhak menerima pusaka, namun mereka hanya mewarisi sebahagian sahaja daripada harta pusaka itu. Maka bakinya diserahkan kepada Baitulmal.

Contoh:

a.    Si mati seorang muallaf dan meninggalkan seorang isteri tanpa anak. Waris lain seperti ibu bapa dan adik beradik tidak beragama Islam. Dalam kes ini, isteri hanya layak mewarisi sebanyak 1/4 bahagian sahaja manakala bakinya 3/4  bahagian diserahkan kepada Baitulmal.

b.    Si mati hanya meninggalkan seorang anak perempuan sahaja. Waris lain seperti ibu bapa, adik beradik, bapa saudara dan lain-lain lagi waris asabah tidak ada. Seorang anak perempuan layak mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian sahaja manakala bakinya 1/2 bahagian lagi diserahkan kepada Baitulmal.

c.    Si mati meninggalkan suami dan ibu. Lain-lain waris tidak ada. Suami mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian manakala ibu si mati juga mewarisi secara fardu sebanyak 1/3 bahagian. Bakinya sebanyak 1/6 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.

d.    Si mati meninggalkan ibu, isteri dan seorang anak perempuan. Ibu mendapat 1/6 bahagian, isteri 1/8 bahagian dan anak perempuan pula mendapat 1/2 bahagian. Setelah pengiraan faraid dibuat ternyata terdapat lebihan sebanyak 5/24 bahagian. Baki ini diserahkan kepada Baitulmal.

e.    Si mati hanya meninggalkan suami dan tiga orang anak perempuan. Suami layak mewarisi 1/4 bahagian manakala tiga orang anak perempuan pula diperuntukkan sebanyak 2/3 bahagian. Selepas pengiraan, ternyata berbaki sebanyak 1/12 bahagian. Baki ini diserahkan kepada Baitulmal.

f.    Si mati hanya meninggalkan seorang saudara seibu lelaki tanpa waris lain. Hukum faraid menentukan bahagian saudara seibu walaupun beliau seorang lelaki bahagiannya hanya setakat 1/6 bahagian sahaja. Bakinya 5/6 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.