SINAR FB Live Resolusi Keluarga 1440H Siri 2 bertajuk “Ayah tidak bisu lagi” mengajak golongan ayah untuk selalu berkomunikasi dengan anak dalam membentuk jati diri Muslim yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Perkongsian ilmu ini dibawa oleh Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein, Pakar Keluarga dan Kasih Sayang, Dr Rozita Shaari atau dikenali Ibu Rose, manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator.

Resolusi Keluarga 1440H di bawah kempen My Family #QuranHour dan #savingfamilies digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Rumah Ngaji sempena membawa visi “Masuk syurga sekeluarga”.

Ini selari dengan peranan ayah sebagai pemimpin masuk syurga sekeluarga, ibu pendamping masuk syurga sekeluarga, anak jambatan ke syurga, dan datuk serta nenek model ke syurga.

Fazrul berkata, kebiasaan dalam femomena keluarga, ayah dilihat kurang bercakap. Dari segi psikologi, golongan lelaki dikatakan kurang perkataan berbanding dengan wanita. Jadi apakah faktor ‘ayah bisu’?

Ibu Rose berkata, dari segi psikologi pemimpin dalam organisasi dan juga seorang lelaki yang memimpin keluarga, tidak perlu bercakap banyak. Dia akan bawa misi dan menerajui kepimpinan, manakala orang yang menjalankan tugas adalah pemimpin yang dilantik untuk membantu pelaksanaan.

Dalam keluarga, peranan isteri adalah membantu kepimpinan tersebut. Pada satu tahap, seorang isteri atau ibu lebih banyak bercakap. Namun ada kalangan suami dan ayah kurang bercakap kerana tidak mengambil berat hal keluarga.

“Ayah yang sedemikian sebenarnya mengundang keadaan merbahaya. Ia boleh menyebabkan satu corak kepimpinan yang tidak memberi kepada hala tuju yang jelas dalam sesebuah keluarga.

“Ada juga ayah lebih suka berdiam diri dan membiarkan ibu yang bercakap kepada anak. Apabila timbul perkara besar, barulah si ayah masuk campur. Hakikatnya, si ayah perlu rapat dengan anak sewaktu masih kecil agar terus akrab apabila anak semakin meningkat dewasa.

“Oleh itu, berkomunikasi yang baik dan sihat antara ayah dan anak perlu dibina sejak awal untuk membina hubungan yang rapat. Oleh itu, si ayah tidak boleh terus membisu untuk menjadi pembimbing masuk syurga sekeluarga,” katanya.  

 Peranan ibu

Safri berkata, dialog antara ayah, ibu dan anak ada 17 kali dalam al-Quran, dan 14 daripadanya adalah dialog antara ayah dan anak. Ini bermakna peranan ayah begitu penting dalam mendidik anak terutama dari segi komunikasi yang baik.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Maka ketika anak itu mencecah umur yang mampu bekerja bersamanya, (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Dia (Ismail) menajwab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang telah diperintahkan (ALLAH) kepada-mu, insya-ALLAH engkau akan mendapati aku termasuk orang yang sabar.” (Surah Al-Saffat: 102)

Berdasarkan ayat tersebut, kata Safri, Nabi Ibrahim AS memanggil anaknya, Nabi Ismail AS dengan panggilan ‘Ya bunaya’ (wahai anakku). Ia merupakan panggilan kasih sayang daripada seorang ayah kepada anak sebelum memulai perkataan lain.

“Nabi Ismail AS menjawab panggilan ayahnya, ‘ya abati’ yang bermaksud ‘ayah kesayanganku’. Anak yang dipanggil dengan rasa kasih sayang akan menjawab dengan baik.

“Kisah Nabi Ibrahim AS telah lama meninggalkan anaknya, Nabi Ismail AS berbelas tahun, namun mempunyai hubungan baik. Ini disebabkan peranan ibu yang hebat,  iaitu Siti Hajar yang mendidik dan selalu menceritakan perkara positif mengenai ayah kepada anaknya.”

Ibu Rose menyatakan kedua ibu bapa perlu sehaluan dalam mendidik dan mendekati anaka. Komunikasi adalah sangat penting dalam perhubungan keluarga. Oleh itu ayah perlu memberi kata-kata semangat dan kasih sayang dalam membina keluarga bahagia.

Dari segi memimpin, kata Safri, kita tidak boleh mempertikaikan bahawa tugas pemimpin diberikan oleh ALLAH kepada lelaki ke atas perempuan. Ini disebut dalam Surah Al-Nisa’ ayat 34.

Tambah beliau, lelaki yang berkahwin disebut rijal, iaitu boleh berdiri dengan tegas dan memayungi isteri serta anak. Seorang ayah sebagai pemimpin dan pelindung keluarga yang hebat tidak patut menjadi bisu.

 Menjadi pemimpin

Ayah yang hebat mampu menyampaikan mesej penting dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah, seterusnya menerapkan nilai-nilai yang mulia kepada anak seterusnya menjadi inspirasi apabila mereka membesar sebagai insan kamil .

“Berdasarkan Surah Al-Isra’ ayat 24, ALLAH SWT memerintahkan anak untuk berbakti dan melayan ayah dan ibu dengan kasih sayang sebagaimana mereka melayan masa dia kecil dahulu.

“Imam Malik berkata, sahsiah anak adalah cerminan ibu bapa. Oleh itu, anak perlu dididik dengan kasih sayang sayang. Apabila anak menjadi dewasa akan mengamalkan sebagaimana diajar oleh kedua orang tuanya sewaktu kecil.”

Hadis daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah! Masing-masing kamu adalah pemimpin, dan masing-masing kamu akan dimintai pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja yang memimpin rakyat adalah pemimpin, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin anggota keluarganya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri juga pemimpin bagi rumah tangga serta anak suaminya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang budak juga pemimpin atas harta tuannya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpinnya. Ingatlah! Masing-masing kamu adalah pemimpin dan masing-masing kamu akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari, Muslim)

Berpandukan kepada hadis tersebut, Ibu Rose menyatakan setiap daripada kita adalah pemimpin. Si isterAi boleh menunjukkan sifat kepimpinan apabila suami di luar rumah. Kepimpinan seseorang itu perlu ada sekurang-kurangnya untuk memimpin diri sendiri.

Safri menambah, bab memimpin rumah tangga harus diletakkan kepada lelaki. Sifat tegas ayah berbeza dengan ibu dalam mendidik anak. Kebiasaannya, si anak lebih mendengar cakap ayah berbanding dengan ibu.

“Ayah yang tidak tegas menjadi ‘bisu’ sebab tidak bercakap. Apa jadi kepada umat apabila tidak dipimpin oleh ayah yang hebat? Oleh itu lelaki yang ingin mendirikan rumah tangga perlu bersedia menjadi pemimpin yang mampu masuk syurga sekeluarga.”

Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat At-Tirmidzi)

Untuk maklumat lanjut, sila layari Sinar FB Live Resolusi Keluarga 'Ayah Tidak Bisu Lagi' di https://www.youtube.com/watch?v=YcqP92olP5M