SUATU HARI seorang kaya menaiki kereta mewahnya, melewati kawasan sawah padi yang sedang menghijau. Dia terpandang sebuah pondok kecil di tengah sawah. Ada seorang petani sedang menunggu isterinya menghidangkan makanan untuknya. Setelah penat bekerja di bawah terik mentari. Lantas berkata si kaya “Alangkah bahagianya si petani. Tenang dikelilingi pemandangan sawah yang cantik. Di kala letih dan lapar pula, ada isteri dan keluarga di sisi makan bersama-sama. Bahagianya menjadi seperti petani itu.”

Ketika si kaya merasai dirinya tidak bahagia, petani tersebut memandang kereta mewah yang melalui di hadapannya. Dan berkata “Alangkah bahagianya dia dapat menaiki kereta besar dan mewah. Sedangkan diriku hanya ada sebuah motosikal lama dan tinggal di rumah yang kecil. Bahagianya kalau aku menjadi kaya sepertinya.”

Si kaya menyangka petani itu sangat bahagia, dan si petani pula menyangka yang kaya itu sedang bahagia. Akan tetapi kedua-dua mereka tidak dapat merasai kebahagiaan yang diinginkan.

Dari Mana Datangnya Bahagia

Ada yang berfikir bahagia itu apabila memiliki harta yang banyak. Tetapi harta yang banyak menjadi tidak bernilai bagi orang yang sedang terlantar sakit, kerana yang diharapkan adalah dikembalikan kesihatan berbanding wang. Ramai yang menyangka bahawa bahagia apabila memiliki sesuatu yang diinginkan. Walaubagaimanapun setelah mereka sudah memilikinya, mereka tetap merasakan dirinya belum bahagia.

Salah faham tentang maksud bahagia yang sebenar membuatkan manusia mencari-cari perkara yang membuatkan dirinya bahagia. Ada yang meletakkan kekayaan, gelaran, pangkat dan pengaruh menjadikan dia lebih bahagia. Dan ada yang menganggap dengan berhibur sepuas-puasnya itulah bahagia. Ya, barangkali saat dia mengecapi apa yang diidamkan itu membuatnya rasa gembira. Akan tetapi semuanya bersifat sementara. Selepas itu perasaan tersebut akan lenyap dan mereka akan mencarinya semula. Kerana itu tidak hairanlah jika kita melihat ada beberapa nama-nama hebat dalam dunia ini yang memiliki kejayaan, kekayaan, dan pengikut yang ramai. Akhirnya memilih jalan membunuh diri kerana masalah tekanan jiwa dan kemurungan yang melampau.

Bahagia adalah apabila hati seseorang itu dalam keadaan lapang dan tenang. Tenang dalam apa jua situasi yang mendatang. Kalaulah petani tadi yang tinggal di rumah yang kecil itu hatinya lapang, maka pastilah dia bahagia. Begitu juga jika si kaya yang menaiki kenderaan mewah itu hatinya lapang, dia pasti bahagia. Bahagia juga adalah apabila kita lebih memandang dan menghargai apa yang ALLAH telah beri berbanding memandang dan menyesali atas apa yang ALLAH ambil daripada kita.

Apabila kita memahami bahawa bahagia itu adalah perasaan lapang dan tenang di dalam hati, pastilah memudahkan kita untuk memilih jalan yang membawa kepada ketenangan di hati.

Hati Yang Lapang

Hati menjadi lapang dan tenang apabila seseorang itu percaya dan yakin. Walaupun dalam apa jua keadaan yang mendatangi, dia  tetap yakin bahawa apa sahaja kesusahan yang sedang dihadapi semuanya adalah sementara. Kerana ALLAH berfirman: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(Surah As-Syarh : 5-6).

Orang yang bahagia, saat dia susah, dia mengingati ALLAH. Begitu juga saat senang dia juga mengingati ALLAH. Kerana dia meyakini bahawa segala susah dan senang, manfaat dan mudarat itu semuanya daripada Tuhan.

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati ALLAH". Ketahuilah dengan mengingati ALLAH itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Surah Ar-Ra’d : 28).

Mereka tidak meletakkan bahagia mereka pada makhluk atau benda yang mereka miliki. Kerana segalanya yang dimiliki itu tidak selamanya kekal. Sedangkan ALLAH SWT Maha Hidup dan kekal selama-lamanya.

Zakat Menenangkan Jiwa

Manusia mudah tewas dengan kesenangan dunia dan kemewahannya. Kerana itu ramai yang menyangka bahawa mereka akan bahagia apabila memiliki kemewahan dan kekayaan. Mereka mengejar dan mengumpulnya sehingga mereka terlalai daripada mengingati Tuhan dan perintahNya.

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh) (Surah At-Takaathur: 1).

Penawar bagi penyakit lalai dan leka disebabkan harta adalah dengan menunaikan zakat.

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.( Surah At-Taubah :103).

Zakat disamping menyuburkan dan memberkati harta, ia juga dapat menjadi penyebab diberi ketenangan di dalam jiwa muzakki. ALLAH SWT akan merahmati dan melindungi harta dan diri orang yang menunaikan zakat daripada sebarang kemudaratan. Orang yang beriman pasti merasa bahagia saat memberikan sesuatu kerana cinta kepadaNya.

Kebahagiaan adalah kurniaan daripada Tuhan. Maka untuk memilikinya, pohonlah daripadaNya dan tunaikan segala perintahNya.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); (Surah Al-Mukminun : 1-4 ).