BIRU, hijau, merah atau putih. Kesemua ini adalah antara warna yang sering ditemukan dalam kehidupan dan menjadi ikon bagi mengungkap keindahan ciptaan Tuhan.

Warna membawa pelbagai makna tersurat mahupun tersirat. Sebagai contoh, kolar putih dikaitkan dengan aktiviti pemakainya yang amat terhad, tidak mudah berpeluh dan jika peluh berlebihan, kekotoran sukar untuk dibersihkan. Kolar biru mengizinkan pemakainya lebih aktif dan melindungi sebarang kekotoran.

Selain itu, jenayah kolar putih pula berkaitan dengan perbuatan salah laku seseorang yang berstatus tinggi seperti rasuah dan penggelapan wang. Perbezaan darjat antara dua kolar ini semakin mudah difahami apabila kita menghayati lagu ‘Kolar Biru’ dendangan M. Nasir.

Bukan warna kolar baju atau jenayah kolar putih mahupun lagu M.Nasir yang ingin diutarakan oleh penulis dalam kolum ini. Minggu ini penulis ingin mengungkapkan metafora pekerja kolar biru dan pekerja kolar putih dari perspektif keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pekerja kolar putih, biru

Telah menjadi stigma bahawa masyarakat memandang pekerja kolar putih sebagai berstatus tinggi dalam pekerjaan dan profesional. Pekerjaan kolar putih biasanya di pejabat berhawa dingin, melaksanakan tugasan pentadbiran dan pengurusan, berpakaian kemas dan mempunyai persekitaran kerja yang berbeza dengan pekerja kolar biru.  

Pekerjaan kolar biru sebaliknya menuntut sebahagian besar pekerjanya membanting tulang empat kerat bagi memenuhi keperluan dan kehendak kehidupan. Kebiasaannya, mereka melaksanakan kerja-kerja teknikal dan kemahiran di industri perlombongan, pembuatan, perkilangan, pembinaan, perniagaan, kerja mekanikal dan penyelenggaraan.

Boleh dikatakan pekerja kolar biru lebih menggunakan tenaga fizikal berbanding kolar putih yang banyak menggunakan kuasa otak dan pengetahuan. Walaupun nampak berbeza, perhubungan kedua-dua pekerjaan ini sebenarnya bagai aur dengan tebing. Kedua-duanya sama ada di sektor awam mahupun swasta sama-sama berperanan penting dalam pembangunan organisasi dan ekonomi negara.

Kemalangan industri

Dalam usaha menggembleng tenaga untuk kemajuan, pekerja kolar biru dan pekerja kolar putih terdedah kepada risiko kemalangan dan kesihatan yang berbeza. Kajian yang dijalankan menunjukkan kadar kemalangan pekerjaan sering melibatkan pekerja kolar biru berbanding kolar putih.

Statistik kemalangan pekerjaan mengikut sektor yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) 2017 menunjukkan sektor perkilangan masih mengekalkan kadar kemalangan dan kadar kematian tertinggi berbanding sektor lain. Mangsa sebahagian besar terdiri daripada pekerja kolar biru iaitu operator pengeluaran.

Dapatan kajian lain menunjukkan pekerja kolar biru lebih berpotensi terdedah kepada risiko atau bahaya pekerjaan. Antara isu utama yang melibatkan pekerja kolar biru adalah pendedahan kepada bahan kimia, habuk, tekanan psikologi di tempat kerja dan juga masalah ergonomik.

Kajian yang dilakukan oleh penyelidik lain turut menyokong fakta ini yang menyatakan bahawa pekerja kolar biru lebih terdedah kepada risiko kesihatan berkait dengan kerja yang dilakukan berbanding dengan pekerja kolar putih atau kumpulan profesional.  

Pengkaji bidang psikologi organisasi dan sains kelakuan terkemuka, Matteson dan Ivancevich mendedahkan bahawa pekerja kolar biru berisiko tinggi berdepan dengan kemalangan pekerjaan, bunyi bising, pencemaran udara, bebanan kerja fizikal, sistem kerja syif yang tidak memuaskan, tempoh masa bekerja yang panjang, kurangnya hubungan sosial dan hubungan yang buruk dengan penyelia.

Dalam kebanyakan kajian berkaitan stres pekerjaan, didapati bahawa pekerja kolar biru lebih cenderung mengalami stres berbanding dengan pekerja kolar putih. Antara dapatan satu kajian mendedahkan bahawa pengalaman stres lebih dihadapi oleh pekerja lini pemasangan dan pemandu kren. Ini berlaku kerana kemahiran dan kebolehan yang terhad, penglibatan pembuatan keputusan yang minimum, tahap kesukaran kerja yang rendah serta kekaburan peranan yang tinggi.

Penemuan ini selari dengan dapatan kajian lain yang dijalankan ke atas 6,000 pekerja berorientasikan mesin dan 6,000 lagi pekerjaan yang tidak berorientasikan mesin. Penemuan kajian menunjukkan operator mesin lebih terdedah kepada keperluan kerja yang tinggi, beban kerja yang banyak, stres pekerjaan melampau, tumpuan kerja yang maksimum dan kepuasan kerja yang minimum.  

Kajian ini juga menunjukkan pekerja berorientasikan mesin lebih banyak membuat aduan berkaitan dengan kesihatan, ketegangan penglihatan, lengan, leher serta gangguan perasaan termasuklah kesedihan dan kebimbangan.

Stres pekerjaan

Ada juga kajian yang menunjukkan bunyi bising atau isu akustik sering berlaku dalam persekitaran kerja kolar biru berbanding kolar putih. Bunyi bising yang berterusan boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka dan boleh menyebabkan stres pekerjaan.   

Berdasarkan penemuan-penemuan kajian ini, ia menunjukkan bahawa pekerja kolar biru lebih terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan berbanding pekerja kolar putih. Adakah ini bermakna pekerja kolar putih bebas daripada risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan? Sudah tentu tidak!

Hasil kajian mendapati pekerja kolar putih sering mengalami masalah kesihatan yang disebabkan oleh sakit dan sengal pada bahagian leher dan bahu. Mereka juga lebih cenderung mengalami tekanan psikologi. Masa bekerja dalam tempoh waktu yang terlalu panjang dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Ia menyebabkan masalah kesihatan sebegini semakin meruncing.

Pekerja kolar putih lebih cenderung membawa pekerjaan balik ke rumah dan sebarang masalah berkaitan kerja akan cuba diselesaikan sehingga larut malam. Fenomena sebegini jika terus dijadikan rutin harian boleh menyebabkan pelbagai penyakit pekerjaan seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan kemurungan.

Dapat disimpulkan daripada dapatan-dapatan kajian di atas bahawa kedua-dua sektor pekerja sama ada putih mahupun biru tetap terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Yang membezakan mereka adalah faktor penyebab kepada risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Hasil kajian menunjukkan bahawa melalui inisiatif pengubahsuaian yang ‘betul’ terhadap persekitaran stesen kerja, perhubungan pekerjaan, latihan dan pembangunan serta keseimbangan kehidupan dan kerja, ia boleh meminimumkan isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang melibatkan pekerja kolar biru dan kolar putih.

Isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah perkara dasar yang perlu diambil kira oleh organisasi dalam apa jua usahanya bagi meningkatkan produktiviti. Sebagai contoh, perubahan teknologi dan inovasi yang dilakukan oleh organisasi dalam mendepani cabaran Industri 4.0 perlulah diseimbangkan dengan impak terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang dihadapi oleh pekerja kolar biru dan kolar putih.

Keseimbangan ini membantu melahirkan sumber manusia yang sejahtera dan melancarkan peningkatan produktiviti individu dan organisasi.

* Profesor Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Universiti Kebangsaan Malaysia