“ANAK-ANAK saya diberi kaca mata dengan preskripsi yang lebih tinggi setiap lawatan ke pusat optometri. Bagaimanakah saya harus menguruskannya? Sebagai ibu bapa, saya bimbang tetapi apa yang perlu saya lakukan?”

Ini mungkin sentimen yang biasa dialami dalam kalangan ibu bapa pada zaman ini.

Tidak dinafikan, terdapat tekanan pada penglihatan kanak-kanak kita hari ini. Mereka lebih menggunakan teknologi secara digital dan menghabiskan kebanyakan masa melihat skrin. Kebanyakan juga mengabaikan aktiviti di luar rumah yang turut memberi manfaat kepada penglihatan serta kesihatan.

Jadi, bagaimana kita membantu kanak-kanak dalam isu rabun jauh yang semakin meningkat? Adakah terdapat penyelesaian masalah yang kukuh?

Tafsiran rabun jauh

Rabun jauh adalah keadaan apabila cahaya memasuki mata, imej yang terhasil difokuskan pada hadapan retina, yang menyebabkan sesuatu yang berada pada jarak jauh menjadi kabur. Dalam keadaan normal, imej difokuskan di retina.

Fakta perkembangan rabun jauh

Peningkatan rabun jauh adalah isu global! Kajian terkini mengatakan bahawa secara purata, 30% populasi dunia menghadapi masalah rabun jauh. Angka ini dijangka meningkat ke 50% atau lebih 5 bilion orang (hampir 1 bilionnya dengan rabun jauh tinggi) menjelang tahun 2050.

Di Asia, 70-87% daripada kanak-kanak di sekolah dan golongan belia dilaporkan mengalami rabun jauh. Dalam kalangan kanak-kanak Asia Timur, kadar peningkatan rabun jauh adalah tinggi dan anggaran 24% daripada populasi rabun jauh ini akan mengalami rabun jauh yang lebih serius sewaktu dewasa.

Apa kata pakar mata

Menurut sesi perbincangan berkenaan isu rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak, Pakar Konsultan Oftalmologi, Katarak & Refraktif VISTA Eye Specialist, Dr Vienne Tai Pih Yih, berkata terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan rabun jauh kanak-kanak.

“Kanak-kanak hari ini menghabiskan masa di rumah pada gajet elektronik mereka. Mereka tidak menyedari bahawa ini akan memudaratkan penglihatan kerana mata mereka akan menjadi letih dengan fokus jarak dekat untuk jangka masa panjang.

"Ramai juga tidak menekankan kepentingan aktiviti luar rumah seperti bermain sukan atau senaman luaran di bawah cahaya matahari yang boleh memberi manfaat kepada mata dan kesihatan keseluruhannya. Postur membaca yang kurang baik dan kekurangan waktu tidur juga turut menyumbang kepada faktor tersebut,” katanya.

Dr Tai mengesyorkan 10 perkara boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengurangkan kadar peningkatan rabun jauh rabun jauh kanak-kanak.

1. Kegiatan Luaran: Luangkan 2 jam aktiviti luar harian (atau sekurang-kurangnya 10 jam seminggu) kerana cahaya matahari merangsang penghasilan dopamin yang boleh mencegah pemanjangan bola mata. Ini adalah langkah yang paling penting untuk mengurangkan kadar peningkatan rabun jauh kanak-kanak.

2. Hadkan Penggunaan Gajet: Masa yang panjang dan penggunaan gajet yang berlebihan boleh menyebabkan kepada keletihan mata yang juga menyebabkan pemanjangan bola mata (perkembangan rabun jauh).

3. Majik 20-20-20: Untuk setiap 20 minit di hadapan skrin, dinasihatkan untuk memandang pada jarak 20 kaki jauh selama 20 saat. - masuk pic di sini -

4. Jarak Pemandangan dan Postur Membaca Yang Baik: Memastikan gajet atau bahan bacaan pada jarak 25cm-30cm (panjang satu lengan). Duduk tegak dan elak berbaring atau menyengetkan kepala secara abnormal. - masuk pic di sini -

5. Pencahayaan Sekeliling yang Terang: Elak menggunakan gajet atau membaca di ruang yang kurang terang. Ia akan memberi lebih tekanan kepada penglihatan.

6. Elakkan Menggosok Mata: Kekerapan menggosok mata akan menyebabkan masalah silau.

7. Elak Memakai Kaca mata tidak mencukupi: Ini akan menjejaskan fokus pada retina dan akan sebaliknya mempercepatkan kadar peningkatan rabun jauh, dan juga boleh menimbulkan masalah dalam pembelajaran dan keselamatan.

8. Tidur yang Mencukupi: Kanak-kanak memerlukan purata 7 hingga 9 jam waktu tidur setiap hari, untuk perkembangan mata dan keupayaan pembelajaran yang optimum.

9. Nutrisi Pemakanan: Diet yang seimbang mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan yang memberikan nutrien yang bermanfaat untuk perkembangan penglihatan anak anda.

10. Program Kawalan Rabun Jauh: Program yang berstruktur dengan bantuan teknologi optik moden dan pengubahsuaian gaya hidup dapat mengurangkan kadar peningkatan rabun jauh kanak-kanak.

Sementara itu, Pakar Konsultan Oftalmologi, Katarak & Refraktif VISTA Eye Specialist, Dr Calvin Lim Chung Yee, menjelaskan bahawa Program Kawalan Rabun Jauh Kanak-kanak telah direka khas untuk membantu mengawal perkembangan pesat rabun jauh.

Ia adalah satu program komprehensif yang diawasi dengan teliti oleh pakar mata dan optometris klinikal selama setahun untuk memastikan fungsi mata yang optimum, bersama-sama dengan rawatan lain dan pengubahsuaian gaya hidup yang penting untuk melewatkan perkembangan rabun jauh.

“Program ini dimulakan dengan pemeriksaan mata komprehensif untuk kanak-kanak, diikuti oleh penggunaan ubat mata Atropine setiap malam sebelum tidur. Ubat mata Atropine bertujuan melewatkan perkembangan pesat rabun jauh sehingga 50% dengan kesan sampingan minimum pada penglihatan dan kemampuan fokus kanak-kanak.

“Ahli oftalmologi kami juga akan memberikan preskripsi untuk kanta kaca mata kawalan rabun jauh atau kanta sentuh Ortho-K yang direka untuk dipakai semasa tidur dengan tujuan meratakan dan membentuk semula kornea, dan dipercayai boleh melewatkan perkembangan rabun jauh sehingga 40%. Kanak-kanak juga perlu menjalani semakan susulan yang kerap untuk memantau keadaan mereka," katanya.

Sebagai langkah amalan yang baik, ibu bapa dinasihatkan supaya memerhatikan tingkah laku penggunaan mata kanak-kanak seawal enam bulan dan menjalankan pemeriksaan mata secara rutin dari usia tiga tahun untuk menyaring sebarang masalah mata atau masalah refraktif secara awal.

Kekerapan pemeriksaan mata yang disyorkan untuk kanak-kanak dan orang dewasa adalah:

1. Kanak-kanak (3 - 12 tahun): Setiap tahun

2. Remaja (13 - 18 tahun): Setiap tahun atau seperti yang disyorkan oleh pakar mata anda

3. Dewasa (18 - 60 tahun): Setiap 2 tahun atau setahun seperti yang disyorkan oleh pakar mata anda

4. Dewasa (61 tahun dan ke atas): Setiap tahun atau seperti yang disyorkan oleh pakar mata anda