SEORANG pekerja katering antara 10 pemenang peraduan kumpul dan menang percutian di atas kapal pelayaran, SuperStar Gemini selama empat hari tiga malam.

Norhidayah Azni, 22, berkata, pelayaran dari Pelabuhan Klang ke Phuket, Thailand itu memberi pengalaman bermakna, apatah lagi berpeluang membawa ibunya, Zaleha Idris, 61.

Menurut Norhidayah, percutian itu hadiah terindah buat ibunya yang selama ini menyimpan 'angan-angan' menikmati percutian atas kapal persiaran berkenaan.

"Dah lama mak luah hasrat nak berlayar bersama Star Cruises dan keinginannya itu bukan lagi fantasi tapi realiti mengujakan," katanya.

Bekas penuntut Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang itu berkata, biarpun perjalanan mengambil masa panjang, pelbagai program menarik diatur dalam kapal yang mempunyai 12 tingkat itu.

"Kami rasa puas dan seronok sebab dapat rasai percutian mewah yang tentunya menjadi kenangan terindah," katanya yang menetap di Selayang.

Peraduan kumpul dan menang itu memberi peluang kepada pembaca akhbar Sinar Harian menikmati percutian pelayaran bersama Star Cruises.

Peraduan itu anjuran Star Cruises, ahli kumpulan Genting Cruise Lines dan Sinar Harian sempena kedatangan SuperStar Gemini ke negara ini untuk kembali berpengkalan di Pelabuhan Klang dari 5 November lalu hingga 28 April tahun depan.

Pelayaran kapal mewah yang dikemudi, Kapten Cristian Westergen dari Sweden itu membawa penumpang ke dua destinasi utama iaitu Phuket dan Pulau Pinang

Seorang suri rumah, Suhana Ahamat Dasuri, 35, berkata, penyertaannya dalam peraduan itu ibarat mimpi menjadi kenyataan.

Suhana berkata, peluang itu hadir selepas suaminya memberi keizinan kepadanya bercuti dengan pengalaman berbeza bersama seorang rakan baiknya, Ilyana Abu Bakar, 38.

"Ini hadiah bermakna kepada saya sepanjang lapan tahun usia perkahwinan kami.

"Suami beritahu, lupakan seketika urusan di rumah dan pergilah berehat sambil bercuti dengan ditemani rakan," katanya.

Ibu seorang anak itu memberitahu, dia mengakui seronok dan kagum dengan dekorasi serba mewah yang disediakan sebaik menjejak kaki di atas kapal itu.

"Saya rasa terpegun kerana terdapat banyak kemudahan disediakan dalam kapal ini termasuk mutu perkhidmatan dan layanan mesra anak kapal dari pelbagai negara," katanya.

Seorang lagi pemenang peraduan, Muhammad Shahfarid Sahbudin, 34, pula berkata, percutian bersama isterinya, Nor Amira Mohamad Khodori 32, sesuatu yang menarik dan kekal menjadi kenangan terindah.

Muhammad Shahfarid berkata, peluang berlayar bersama kapal itu adalah hadiah paling bermakna sepanjang menyertai pelbagai peraduan yang dianjurkan pelbagai pihak sebelum ini.

"Terima kasih kepada pihak penganjur dan berharap peraduan ini diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Katanya, terdapat banyak kemudahan disediakan hingga penumpang tidak berasa lama di dalam kapal meskipun perjalanan merentas Selat Melaka dan Laut Andaman memakan masa lebih sehari.

"Pelbagai kemudahan ada di atas kapal seperti spa, dandanan rambut, gim, karaoke terbuka dan membeli belah di kedai bebas cukai.

"Paling seronok, di sini, penumpang boleh menjamu selera di restoran yang terdapat di dalam kapal yang tentunya menghidangkan pelbagai jenis makanan," katanya.

Katanya, penumpang diberi masa tertentu untuk membeli-belah sebaik kapal berlabuh di destinasi yang ditetapkan.

"Penumpang dibenarkan turun dari kapal dan boleh melakukan aktiviti bebas bersama keluarga seperti membeli-belah dan melawat tempat bersejarah," katanya.

Ujarnya, pengalaman itu pastinya dikongsi dengan ahli keluarga lain dan berhasrat untuk menyertai pelayaran ke destinasi berbeza buat kali kedua.

"Insya-ALLAH, jika ada rezeki mungkin kami ingin merasai sekali lagi pemandangan dan menghirup udara segar di tengah laut di atas kapal serba canggih ini," katanya.