AIRBNB, syarikat hospitaliti terkemuka di dunia, menyediakan peluang eksklusif kepada pasangan ibu-anak untuk meluangkan malam penuh keajaiban di kedai buku terbesar di Malaysia sebagai sebahagian daripada peraduan Once Upon a Sleepover, sekali gus memberikan mereka satu kenangan indah untuk diceritakan.

Airbnb mengubah ruang di BookXcess, Tamarind Square menjadi kediaman eksklusif hanya untuk satu malam, di mana Shila, dan anak perempuannya, Alyssa, merealisasikan impian mereka bermalam dikelilingi dengan setengah juta buah buku.

Mereka juga dapat mempelajari selok-belok cara mengusahakan kedai buku, serta menghadiri sesi kelab buku dengan individu yang mempunyai minat yang sama, selain membawa pulang sebakul buku percuma!

Peraduan ini bertujuan untuk memupuk minat membaca dan menanamkan idea bahawa buku boleh membawa kita mengembara ke dunia yang berbeza, dan peserta hanya perlu menjawab soalan mudah: Apakah buku kegemaran anda untuk dibawa mengembara bersama dan mengapa? Shila mengalahkan lebih 80 penyertaan dengan jawapannya The Little Prince oleh Antoine De Saint-Exupery.

“Sejak kecil lagi, buku ini mengajar saya bahawa apabila mengembara ke tempat tinggal orang lain – sama ada negara mahupun planet – segalanya mungkin berbeza dan asing bagi kita, namun itu tidak semestinya satu pengalaman yang buruk selagi kita mempunyai hati dan fikiran yang terbuka.

"Saya gembira dapat bawa anak perempuan bersama untuk mengalami pengalaman ini kerana ia adalah peluang sekali seumur hidup. Pengalaman ini benar-benar mimpi yang menjadi kenyataan untuk pencinta buku seperti kami," katanya.

Pengarah Serantau Airbnb, Asia Pasifik, Siew Kum Hong, berkata mengembara dan membaca adalah serupa kerana ia boleh membantu anda melupakan kebimbangan harian, dan melihat keindahan dunia di sekeliling.

“Walaupun peraduan Once Upon a Sleepover telah berakhir, Airbnb akan terus menggembirakan pencinta buku di seluruh dunia – kami membolehkan pengembara meminjam buku daripada rak buku hos mereka, menerima cadangan daripada hos mengenai kedai buku tempatan untuk diterokai, malah mereka juga boleh menginap di kediaman lama yang dimiliki oleh penulis legenda, dan merasai pengalaman yang berkaitan dengan sastera,” katanya.