MASAKAN Minang atau lebih dikenali dengan masakan Padang merupakan makanan popular yang turut menjadi pilihan rakyat Malaysia, tidak hanya komuniti atau mereka yang berdarah Minangkabau semata.

Malah ada di antara penggemar masakan ini sanggup terbang jauh ke Indonesia semata-mata nak menikmati masakan Minang asli yang tiada tolok bandingnya.

Tetapi kini dengan kewujudan restoran masakan Minang yang diberi nama Natrabu Xpress di Presint 15, Putrajaya, penggemar masakan ini boleh menikmati masakan Minang asli di sini.

Natrabu adalah singkatan daripada National Travel Bureau dengan penubuhan awalnya pada 1967 di Jakarta, dan kini sudah ada lapan Restoran Natrabu di Indonesia dengan tiga cawangannya di Malaysia, iaitu di Bangsar, EcoSky Jalan Kuching dan terbaharu Natrabu Xpress Presint 15, Putrajaya.

Keaslian sejati

Kewujudan cawangan ketiga di Putrajaya ini pastinya memberikan banyak pilihan buat warga Putrajaya, Bangi, Kajang dan sekitarnya untuk merasai keenakan, keaslian masakan yang disajikan.

Pelbagai hidangan enak disediakan seperti nasi, ayam Pop, ayam gulai, dendeng balado cabe merah kering, rendang daging lembu, sambal hijau, gulai sayur daun singkong (pucuk ubi), udang kentang pete balado (petai berlada) dan banyak lagi.

Bagi pelanggan yang gemarkan pelbagai jenis lauk pastinya Natrabu Xpress jadi keutamaan. Tidak terlalu pedas, ada yang berkuah dan kering.

Pilihan utama pelanggan pastinya ayam gulai dan rendang daging lembu, cukup lembut untuk dinikmati bersama nasi putih. Harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Ruang yang selesa, kemas dan bersih, boleh duduk di bahagian luar atau di dalam atau dengan kata lain mengikut keselesaan sendiri. Terasa santai saja bila menikmati hidangan di sini. Ada akan berpuas hati dengan bayaran setanding kualiti dan cita rasa asli Minang.

Pemilik Natrabu Xpress Putrajaya, Tengku Daud Shah Tengku Adnan berkata, pembukaan cawangan ini lanjutan daripada sambutan menggalakkan yang diterima daripada dua cawangan sebelum ini di Bangsar dan Jalan Kuching.

“Putrajaya adalah lokasi ketiga yang dilancarkan pada tahun ini dan kami mengharapkan pelanggan, khususnya di Putrajaya dan sekitarnya dapat merasai keenakan masakan asli Minang ini,” katanya.

Info:

Natrabu Xpress Putrajaya

Nadi 15, Jalan Perak, Presint 15

Operasi: 12 tengah hari - 10 malam

Natrabu Xpress EcoSky

Jalan Kuching, Taman Tasik Indah, Kuala Lumpur

Operasi: 11 pagi - 10 malam

Natrabu Fine Dining

Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur

Operasi: 11 pagi hingga 10 malam

Tutup: 3 - 5 petang