BUKANLAH satu misteri lagi bahawa air kosong mempunyai banyak manfaat. Dengan harga yang lebih murah berbanding air lain yang bergula, ia sememangnya harus menjadi minuman utama bagi setiap orang. Ingin tahu mengapa anda perlu menjadikan air kosong minuman utama?

1. Air bantu kekalkan keseimbangan cecair dalam badan

Kira-kira 60% daripada badan manusia terdiri daripada air. Ia memainkan pelbagai peranan termasuk membantu penghadaman, penyerapan nutrisi, peredaran darah, penghasilan air liur dan mengawal suhu badan. Apabila badan anda mengalami kekurangan air, otak akan menghantar isyarat haus. Jika terlebih pula, air tersebut dibuang melalui air kencing, peluh dan pernafasan.

Tanpa air yang mencukupi, fungsi badan secara amnya boleh terganggu. Ini membuatkan anda kurang cergas dan aktif serta tidak boleh memaksimumkan tenaga sepanjang hari.

2. Mengawal kalori

Tahukah anda berapa bilangan kalori bagi segelas air kosong? Jawapannya adalah kosong. Sebanyak mana pun gelas yang anda ambil, kalori yang anda ambil tetap kosong. Apa yang menariknya apabila banyak minum, ia akan memberikan rasa kenyang tanpa menambah pengambilan kalori. Bahkan ia membantu anda mengurangkan pengambilan kalori daripada sumber yang lain.

3. Memberikan otot yang sihat

Sel-sel otot yang tidak mengandungi kandungan air yang mencukupi akan mengecut. Ia membuatkan otot lebih cepat letih seterusnya mengganggu fungsi serta prestasinya. Oleh sebab itu, anda perlu mengambil air yang cukup semasa melakukan aktiviti fizikal untuk memastikan kecergasan otot kekal pada tahap maksimum.

4. Kulit kelihatan lebih segar

Kulit mengandungi banyak air, memberikan kesegaran dan membuatkan kulit kelihatan muda. Namun, jangan harapkan segala kedutan pada kulit anda akan hilang serta-merta selepas minum 5 botol air. Anda juga boleh gunakan pelembap untuk mengekalkan air pada kulit.

5. Membantu buah pinggang membuang toksin

Bahan toksin dibuang daripada badan melalui beberapa cara. Antaranya oleh buah pinggang melalui air kencing. Cecair badan yang mencukupi membantu buah pinggang membuang toksin dengan lebih efisien. Bila air kencing berwarna cerah dan tidak berbau, ia adalah petanda anda mendapatkan air yang cukup. Sebaliknya jika kurang, air kencing akan berwarna lebih gelap dan berbau. Pengambilan air yang kurang juga mendedahkan anda kepada pembentukan batu karang dalam buah pinggang.

Jadikan air kosong sebagai tabiat anda hari ini!

Berapa banyak air perlu diminum?    

Setiap hari kita kehilangan air melalui nafas, peluh, air kencing dan pergerakan usus. Jadi, anda perlu mengembalikan semula keseimbangan bekalan air dalam badan melalui makanan dan minuman mengandungi air. Dr Robert Young, seorang pengarang buku-buku perubatan alternatif, mencadangkan kita harus minum 1 liter air untuk setiap berat badan 50lb atau 22.7kg. Air di sini ialah air putih / kosong, bukan minuman bergula!

Andaikan berat badan anda 55kg (atau 120 paun), perlu mengambil kira-kira 2.4 liter air setiap hari. Jika kita mengukur 2.4 liter dalam cawan 250ml, maka kita perlu minum sekurang-kurangnya 10 cawan air dalam satu hari. Bagi yang berat 100kg atau 220paun, anda kena minum 4.4 liter air! - Sumber: Geng Detox

5 cara mudah minum lebih air

Masa untuk minum tidak bermakna ada masa tertentu. Minum hanya lebih segelas air sehari kedengaran lebih mudah bukan? Tetapi sekiranya anda sukar untuk mengambil air (H20) yang mencukupi, gunakan tip ini.

1. Tambahkan perasa

Seperti diketahui, air kosong sememangnya membosankan. Tetapi sebaliknya penggunaan perasa yang ada iaitu dengan memilih sesuatu yang lebih semula jadi seperti tembikai dan pudina atau hirisan oren. Bagi membuatkan ia lebih terasa, biarkan beberapa jam di dalam peti ais anda.

2. Pesan sesuatu yang pedas

Menambah potongan cili dalam hidangan mendorong anda untuk mendapatkan lebih banyak air semasa makan. Selain itu, kajian menunjukkan cili yang pedas boleh meningkatkan metabolisme anda.

3. Jadikan sebahagian minuman malam

Jadikan minum air sekurang-kurangnya lebih satu gelas air sebelum tidur. Ini kerana ia secara tidak langsung membantu tubuh anda anda rehidrasi.

4. Anggap ia pembuka selera.

Berdasarkan kajian 2010 dalam jurnal Obesiti, meminum 16oz iaitu jumlah biasa bagi sebotol air sebelum makan boleh membantu anda mengurangkan berat badan. Ia juga membantu anda kurangkan makan dan ia sepatutnya menjadi pendorong untuk mendapatkannya segelas sebelum makan.

5. Pastikan ia dekat

Sekiranya anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang melibatkan perjalanan beberapa jam, menjadi keutamaan bagi anda untuk mendapatkan air. Jadi, pastikan ia sentiasa bersama anda supaya boleh mendapatkannya pada bila-bila masa.

Kredit: https://hellodoktor.com/ms/