JAM di dinding menunjukkan tepat 5 petang. Kebanyakan pekerja sibuk bersiap untuk pulang meneruskan hal-ehwal peribadi, rumah tangga dan bersosial.

Namun, terdapat segelintir pekerja lain yang masih tekun meneruskan tugas sehingga lewat petang dan membawa ke malam.

Wah! Adakah mereka terlebih rajin? Atau adakah mereka sebenarnya gagal menyiapkan tugasan dalam tempoh yang diperuntukkan oleh organisasi?

Memperuntukkan masa bekerja di luar waktu pejabat sememangnya memberikan pelbagai konotasi berbeza kepada minda individu dan masyarakat.

Pekerja ini mungkin mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Mungkin juga pekerja ini tiada keluarga untuk diuruskan. Atau mungkin pekerja ini memang gemar bekerja sehingga lewat petang dan sanggup berkorban demi organisasi.

Melakukan kerja di luar waktu pejabat mungkin juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain seperti jarak tempat kediaman dengan tempat bekerja, jenis pekerjaan, budaya dan gaya hidup seseorang.

Asasnya, bekerja dalam tempoh masa yang panjang mungkin baik untuk pekerja dan organisasi. Bagi pekerja, tugas yang dapat diselesaikan lebih cepat menunjukkan beliau amat produktif. Organisasi pula tentunya berasa bangga kerana pekerja bertungkus-lumus menyelesaikan tugas walaupun di luar masa bekerja.

Kerja lebih masa

Ada kalanya seseorang pekerja tertidur di pejabat dan dianggap telah berusaha keras untuk organisasi. Perlu diingat bahawa mana-mana kerja yang dibuat selepas waktu bekerja yang biasa adalah dikira sebagai kerja lebih masa (over time, OT). Amalan OT menyebabkan peningkatan kos kepada organisasi dan ia juga boleh memberikan pelbagai implikasi kesihatan kepada pekerja.

Persoalannya, benarkah pekerja memerlukan tempoh masa bekerja yang panjang sehingga mengambil OT untuk menyelesaikan sesuatu tugas? Benarkah pekerja yang menggunakan tempoh masa bekerja yang panjang benar-benar cekap dan berkesan? Bagaimanakah pula dengan masa rehat yang diambil ketika bekerja?

Selain itu, apakah pula alasan pekerja yang ‘mencuri’ masa bekerja untuk melayan WhatsApp, Facebook Instagram dan YouTube? Segala persoalan ini perlu diambil kira dalam membuat justifikasi mengapa pekerja perlu bekerja melebihi tempoh yang diperlukan.

Seksyen 60A(1) Akta Pekerjaan 1955 memperuntukkan bahawa pekerja tidak boleh bekerja selama 5 jam secara berterusan tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit. Akta ini juga menetapkan pekerja tidak boleh bekerja lebih daripada 8 jam sehari atau melebihi 10 jam sehari termasuk waktu rehat dan tidak boleh bekerja melebihi 48 jam seminggu.

Secara purata, masa bekerja di Malaysia adalah antara 40 hingga 44 jam seminggu, hampir sama dengan negara-negara lain di dunia.

Kajian Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD), pekerja di Mexico menghabiskan masa paling lama di tempat kerja, iaitu 10 jam sehari walaupun undang-undang Mexico menetapkan waktu bekerja maksimum 8 jam sehari.

Korea Selatan pula berada pada kedudukan kedua dalam senarai ini. Tempoh masa bekerja yang panjang ini disebabkan budaya bekerja waktu malam yang diamalkan di Korea Selatan. Kerajaan Korea Selatan juga membenarkan setiap pekerja membuat kerja lebih masa sehingga 12 jam pada hari biasa dan 16 jam pada hujung minggu.

Greece berada di kedudukan ketiga dalam senarai tempoh masa bekerja yang panjang, namun Jerman mempunyai masa bekerja yang lebih pendek berbanding negara-negara lain di dunia. Secara puratanya, pekerja di Jerman bekerja 35 jam seminggu.

Jika kita membuat perbandingan antara Mexico dan Jerman, kita dapati bahawa Jerman adalah lebih maju ekonominya berbanding Mexico walaupun tempoh bekerja di sana lebih pendek. Hal ini membuktikan bahawa produktiviti boleh ditingkatkan tanpa memerlukan masa bekerja yang panjang.

Cekap dan berkesan

Dunia yang semakin mencabar dengan perubahan teknologi dalam kehadiran Industri 4.0 menjadikan tempoh masa bekerja sebagai suatu aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam pekerjaan dan kehidupan. Ia perlulah diberi perhatian oleh organisasi dalam memastikan sumber manusia mendapat rehat yang mencukupi.

Tempoh masa bekerja yang mementingkan waktu rehat mencukupi membolehkan tugas dilaksanakan secara cekap dan berkesan. Penemuan kajian menunjukkan bahawa bekerja dalam tempoh yang panjang secara berterusan tanpa rehat menyebabkan kelesuan/keletihan yang melampau. Kelesuan ini menambah ketegangan dan menyebabkan masalah stres pekerjaan menjadi semakin kronik.

Kajian juga menunjukkan tempoh masa bekerja yang panjang memberi kesan kepada kesihatan, manakala dalam jangka pendek, ia menyebabkan kemalangan. Menurut penyelidik psikologi industri, kelesuan/keletihan akibat masa bekerja yang panjang mengakibatkan kelalaian dan kecenderungan untuk terlibat dalam kemalangan di tempat kerja.

Hasil penyelidikan lain pula menunjukkan tempoh masa bekerja yang panjang pada cuti hujung minggu dan beban tugas yang tinggi menjadikan masalah stres pekerjaan bertambah kronik.

Stres pekerjaan masa kini lebih ketara berbanding dahulu kerana situasi pekerjaan semasa memerlukan pekerja berdiri lebih lama dalam satu tempoh masa yang panjang. Situasi ini sering berlaku dalam organisasi perkilangan yang pekerjanya bekerja secara syif dan sering melakukan kerja lebih masa.

Tren kerja terkini dan masa hadapan yang beralih kepada ekonomi perkhidmatan dan teknologi maklumat serta perkembangan drastik dalam penggunaan komputer dan pemprosesan data telah menyebabkan masa bekerja semakin panjang.

Pekerja kini boleh menyambung kerja di rumah bagi mana-mana tugas yang tidak sempat diselesaikan ketika di pejabat. Adakah amalan ini sihat dan patut diteruskan? Tepuk dada, tanya minda…

Realitinya, tempoh masa bekerja yang panjang tidak semestinya menunjukkan seseorang pekerja itu produktif. Kedapatan pekerja yang bekerja dalam tempoh ditetapkan masih mampu mengekalkan kecemerlangan dan produktiviti.

Ia mungkin disebabkan oleh pengurusan masa yang baik dan perancangan tugas yang tuntas.

Justeru, pekerja sebegini berupaya mengoptimumkan masa di luar waktu bekerja dengan aktiviti sosial dan kekeluargaan. Individu yang menjadikan setiap detik masa itu sebagai intan mampu berjaya menyeimbangkan kehidupan peribadi dan kehidupan berkerjaya. Kebahagiaan, kesihatan, ketenangan dan kasih sayang akan dapat menambah baik kesihatan mental dan seterusnya membantu meningkatkan produktiviti organisasi dan negara.  

* Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia