PENULIS pernah mengutarakan isu masa bekerja yang panjang dalam kolum ini pada minggu sebelumnya. Inti pati nukilan tersebut adalah bekerja dalam masa yang panjang tidak semestinya membuahkan hasil terbaik. Pada masa sama, masa bekerja yang pendek pula tidak bermakna menyebabkan matlamat dan produktiviti gagal dicapai.

Inilah harga sebuah masa. Masa walaupun pendek, jika dimanfaatkan sepenuhnya, pasti tugas berjaya dilangsaikan dan kita menjadi lebih produktif. Tulisan tersebut juga menyajikan pembaca bagaimana negara Jerman yang mempunyai masa bekerja antara terpendek di dunia tetapi terus kekal produktif.

Berada di kedudukan ke lima masa bekerja paling pendek di dunia mengikuti Itali, Perancis, Belgium dan Poland, terdapat satu kelebihan amalan negara Jerman yang menjentik hati penulis untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia.

Pada minggu ini, penulis ingin mengajak pembaca menelusuri keistimewaan yang ada dalam budaya kerja Jerman yang mungkin boleh kita guna pakai di Malaysia. Untuk meniru 100 peratus amalan negara Jerman adalah keterlaluan dan mustahil kerana kita berbeza dalam faktor persekitaran kerja, budaya dan ekonomi. Walaupun begitu, pada hemat penulis Malaysia masih boleh mengambil teladan daripada pendekatan Jerman dalam mengurus sumber manusianya.

Berbanding dengan negara-negara besar lain seperti Perancis, Amerika Syarikat dan China, pekerja di Jerman sangat produktif walaupun bekerja dalam tempoh kerja yang lebih pendek. Dalam kalangan negara-negara Eropah, Jerman merupakan peneraju utama ekonomi Eropah dan pengeluar terbesar barangan yang dieksport ke rantau Asia.

Bukan itu sahaja, dalam dunia automotif, Jerman amat terkenal dengan kepakarannya. Jenama Volkswagen, Mercedez dan BMW sudah cukup menunjukkan betapa gahnya Jerman menerajui industri automotif dunia.

Jika diteliti waktu bekerja di Jerman, secara puratanya mereka hanya bekerja 35 jam seminggu atau maksimum 7 jam sehari. Tiada istilah kerja lebih masa di sana. Kita di Malaysia pula bekerja antara 8 hingga 9 jam sehari. Ini tidak termasuk keperluan bekerja lebih masa atau hujung minggu yang diamalkan oleh sesetengah organisasi di Malaysia.

Berdasarkan perbandingan waktu bekerja sahaja, kita boleh berhipotesis bahawa pekerja Malaysia lebih produktif daripada pekerja Jerman. Namun, hakikat dan angka menunjukkan sebaliknya. Mari kita tinjau rahsia amalan pekerja di Jerman yang kekal produktif sepanjang waktu bekerja.

Budaya kerja Jerman

1. Waktu bekerja digunakan sepenuhnya untuk bekerja. Budaya kerja di Jerman menunjukkan masa bekerja adalah masa untuk melakukan kerja semata-mata. Pekerja juga dituntut untuk menyiapkan kerja dalam waktu bekerja yang ditetapkan. Pekerja di Jerman tidak punya waktu untuk bergosip, menonton video di Youtube sambil bekerja, melayari internet, makan dan minum sambil berbual atau melepak ketika waktu bekerja serta membuka Facebook dan lain-lain media sosial.

Mereka juga tidak melakukan kerja-kerja sampingan seperti berniaga dalam talian pada waktu bekerja. Di negara Jerman, pekerja yang didapati melakukan kerja selain tugas hakikinya pada waktu bekerja boleh dikenakan hukuman berat. Malah, mereka juga ditegah daripada membuka emel peribadi pada waktu bekerja.

Budaya ini bermula dengan larangan dan undang-undang yang lama kelamaan menjadi budaya kerja. Ia sudah sebati dalam budaya kerja Jerman yang turut menggalakkan kerjasama berpasukan.

2. Budaya kerja Jerman menumpu kepada pencapaian matlamat kerja dan semua warga organisasi berkomunikasi secara langsung. Mereka juga lebih cenderung berbincang secara langsung dengan pengurus tentang sebarang masalah yang dihadapi. Mereka berterus-terang dalam komunikasi dan tidak bercakap di belakang tanpa tindakan.

Komunikasi secara jelas dan berterus terang tanpa ayat berbunga-bunga merupakan antara ciri dalam budaya kerja di Jerman.

Hal ini amat berlawanan dengan cara komunikasi di negara-negara Asia yang lebih gemar berkias dan cakap berlapik supaya dilihat lebih santun, sopan, dan bernilai kemanusiaan. Budaya berterus terang dalam komunikasi di Jerman mungkin dilihat sebagai tidak sopan bagi kita di Malaysia, namun bagi mereka ia amat perlu selagi tidak menyebabkan pihak lain ‘sentap’.

3. Pekerja berehat sepenuhnya selepas waktu bekerja yang ditetapkan berakhir. Kerajaan Jerman juga kini sedang mempertimbangkan penguatkuasaan larangan terhadap majikan supaya tidak menghubungi pekerja mereka selepas tamat waktu pejabat dan semasa pekerja bercuti.

Cuba bayangkan apa yang akan terjadi apabila perkara sama dilakukan di Malaysia? Pengurus menghantar arahan kerja selepas waktu pejabat melalui WhatsApp dan arahan ini tidak diendahkan. Pastinya jiwa pekerja akan berasa tertekan kerana mungkin dianggap ingkar akan arahan dan mungkin dimarahi oleh pengurus keesokan harinya apabila tidak melakukan kerja atau arahan yang diberikan melalui WhatsApp.

Menghubungi pekerja dan memberi arahan selepas waktu pejabat atau sewaktu pekerja bercuti bukan suatu kesalahan di kebanyakan negara termasuk Malaysia. Kita di Malaysia mengguna pakai konsep kerja 24/7, iaitu kerja sepanjang masa, seperti kata M. Zain dalam filem Si Labu Labi, “Selagi belum tutup mata, kerja, kerja, kerja…” Perkara ini sebenarnya mengganggu waktu senggang pekerja dan sangat dipandang serius di Jerman kerana ia menyebabkan tekanan mental dan stres pekerjaan.

4. Negara Jerman merupakan antara negara yang memberikan pekerjanya cuti tahunan tertinggi di dunia. Undang-undang negara tersebut mewajibkan majikan memberikan cuti tahunan minimum 20 hari kepada pekerja. Secara purata, kebanyakan majikan memberikan 25 hingga 30 hari cuti tahunan kepada setiap pekerja.

Hal ini memberi peluang pekerja merehatkan fizikal, minda dan emosi mereka yang akhirnya membolehkan mereka kekal produktif dan fokus semula apabila kembali bertugas. Selain itu, para pekerja di Jerman mendapat pelbagai bentuk perlindungan dari segi hak dan kebajikan yang jarang dinikmati oleh pekerja di negara lain.

Memperkasa modal insan Malaysia

Membanding-bandingkan prestasi pekerja Jerman dengan pekerja Malaysia bukanlah titik tumpu penulis. Idea pokok adalah beberapa amalan baik pengurusan sumber manusia di Jerman yang boleh kita cedok.

Sebenarnya, acuan budaya kerja Malaysia tiada cacat celanya. Namun, pengaruh faktor persekitaran seperti teknologi, ekonomi, sosial dan politik mengganggu dan memesongkan tumpuan hakiki pekerja. Kekuatan ekonomi dan produktiviti negara Jerman lebih berteraskan pembangunan sumber manusia yang dominan sehingga mampu menjana pemulihan semula ekonomi hampir keseluruhan benua Eropah.

Oleh itu, amalan memperkasa modal insan melalui program pembangunan sumber manusia yang berteraskan kekuatan modal insan perlu diteruskan di Malaysia bagi mendepani cabaran masa hadapan. Diharapkan melalui usaha ini, Malaysia akan bangkit menjadi Harimau Asia semula…

* Profesor Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia