KUALA Lumpur Fabulous Food Hunt 2018 (KLFFH 2018), satu acara yang dinanti-nantikan anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dan Pejabat MOTAC Kuala Lumpur / Putrajaya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Acara ini telah dilancarkan pada 25 Oktober lalu oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Datuk Haslina Abdul Hamid, bersama-sama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

KLFFH 2018 telah menjadi salah satu acara penting dalam memperkukuhkan pelancongan makanan Malaysia, terutamanya di Kuala Lumpur, dan pada tahun ini telah menerima penyertaan tertinggi dari luar negara.

Acara menarik ini telah dianjurkan selama lebih dari 7 tahun untuk mempromosikan dan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat dan pelancong mengenai keunikan pelbagai jenis makanan istimewa Malaysia.

Jumlah penyertaan untuk KLFFH 2018 adalah seramai 1,200 orang, yang dibahagikan kepada 300 pasukan berlumba di sekitar Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam seperti teksi, bas, LRT, komuter, monorel, dan MRT.

Pemenang kali ini bagi kategori terbuka ialah kumpulan Pedas Meletop dengan membawa pulang tunai RM5,000. Kategori Wanita ialah kumpulan Box Babes, kategori antarabangsa kumpulan Gladieaters dan kategori tertutup dimenangi oleh Media Prima Digital, masing-masing memenangi hadiah tunai RM500 serta hadiah iringan bagi setiap kumpulan.

Mereka telah menyiapkan tugasan di semua 8 lokasi untuk mendapatkan setem ‘siap’ sebelum menamatkan perlumbaan. Setiap checkpoint mempunyai cabaran mereka sendiri seperti memakan hidangan popular, menjawab soalan yang berkaitan dengan pelancongan di Malaysia dan Kuala Lumpur serta mencari lokasi popular dan restoran terpilih dengan masa terpantas.

Mereka juga perlu mempromosikan hashtags acara seperti #SayangiMalaysiaku, #VisitKL, #KLFFH, dan #MalaysiaTrulyAsia dalam posting media sosial mereka sebagai salah satu peraturan dan salah satu usaha untuk mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi melalui media sosial.

Antara peserta antarabangsa adalah dari United Kingdom, Belanda, Singapura, Sudan, Amerika Syarikat, Syria, Maghribi, Nigeria, Iran, Palestina, Romania, India, Ireland, Mesir, Belgium, Indonesia, Filipina, Kanada, Lubnan, Jerman, Australia, Ukraine dan Rusia.

Tahun ini KLFFH 2018 mempersembahkan Kuala Lumpur sebagai “Hot Spot” untuk destinasi makanan popular dari restoran terkemuka yang mewakili pelbagai kebudayaan untuk hidangan antarabangsa pilihan makanan di Malaysia. Semasa menikmati pelbagai makanan Malaysia, para peserta juga berpeluang untuk meneroka Kuala Lumpur dan mengenali tempat makan popular dan restoran terkenal.

MOTAC berharap hubungan strategik dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), IPTA / IPTS, sektor swasta, NGO, penaja, pemilik restoran dan rakan media akan terus berkembang pada masa akan datang terutamanya dalam menyasarkan 36 juta pengunjung pada tahun 2020.