BAYANGKAN situasi ketika kita berada di sebuah stesen bas. Anda pasti terbayang bunyi bising, udara busuk dan tidak segar, suasana sesak dengan orang ramai dan pelbagai situasi yang kurang menyenangkan.

Dalam coretan minggu ini, penulis bukanlah ingin menulis tentang hiruk-pikuk di stesen bas tetapi suasana di sebuah stesen kerja (iaitu ruang kerja di mana kita melaksanakan tugasan). Metafora suasana stesen bas mungkin terjadi kepada stesen kerja jika pekerja dan organisasi mengabaikan kepentingan sebuah stesen kerja yang selesa, menyedapkan pandangan mata, sihat dan selamat.

Prestasi kerja yang baik dalam kalangan pekerja sentiasa diharapkan oleh organisasi agar ia mampu mencapai matlamat penubuhannya. Prestasi yang kurang memuaskan pula membawa seribu persoalan kepada pengurusan organisasi tentang penyebab kepada masalah ini.

Secara umum, kemudahan dan peralatan yang lengkap berserta latihan dan pembangunan yang berterusan akan menghasilkan prestasi tinggi dalam kalangan pekerja. Sebaliknya, persekitaran kerja yang tidak memuaskan ditambah dengan peralatan yang tidak menyokong kecekapan dan keberkesanan dalam pelaksanaan tugas akan menyebabkan kemerosotan prestasi.

Persekitaran kerja seharusnya menjadi perhatian utama organisasi dan kajian berterusan diperlukan untuk memastikan pekerja berasa selesa semasa melaksanakan tugas. Persekitaran kerja, khususnya stesen kerja memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi kerja seseorang.

Stesen kerja yang selesa dan ringkas akan mempercepatkan pelaksanaan tugas dan menyejahterakan psikologi. Pekerja akan berasa tenang melihat ruang kerja yang selesa dan terus bermotivasi menyempurnakan tugas. Perasaan positif terhadap stesen kerja ini dapat meningkatkan produktiviti kerja yang akhirnya meningkatkan produktiviti organisasi.

Teori Kesesuaian

Persekitaran-Individu (P-E fit) menyatakan bahawa kesepadanan ciri-ciri individu dengan persekitaran stesen kerja akan menghasilkan kerja terbaik. Teori ini turut meramalkan bahawa gangguan psikologi (contoh: ketidakpuasan kerja) atau ketegangan fisiologi (contoh: tekanan darah tinggi) akan berlaku jika organisasi gagal memadankan ciri-ciri individu dengan persekitaran stesen kerjanya.

Susun atur stesen kerja yang bersifat tradisional tidak lagi sesuai dengan persekitaran kerja semasa. Perubahan ini sejajar dengan perkembangan teknologi dan kesan perubahan persepsi pekerja terhadap kerja serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Apa yang perlu dipastikan adalah sebuah stesen kerja yang cekap dan berkesan perlu menjadi stesen kerja yang selesa.

Ia meliputi meja yang kemas dan semua peralatan yang diperlukan untuk melancarkan tugas perlu diletakkan di atas meja. Sebagai contoh, untuk seseorang kerani menyempurnakan tugasnya, dia memerlukan meja sudut yang ergonomik di mana menempatkan komputer dan ruang untuk menulis. Di atas mejanya pula perlu tersedia segala peralatan yang disusun rapi seperti pembuka surat, pemadam, pen, stapler, kertas dan seumpamanya.  

Sebuah kajian yang membandingkan kesan stesen kerja ergonomik dan stesen kerja tidak ergonomik terhadap produktiviti pekerja mendapati produktiviti pekerja lebih tinggi apabila mereka diletakkan di stesen kerja ergonomik.

Penyelidik juga telah mencadangkan beberapa perubahan yang perlu dilakukan kepada stesen kerja bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pekerjaan. Ia termasuklah pergerakan yang dapat meningkatkan kecekapan dan prestasi, pengubahsuaian kerusi yang selesa, pengubahsuaian ketinggian tempat duduk selaras dengan stesen kerja, serta mereka bentuk semula meja dan peralatan di stesen kerja.

Bagi memastikan sebuah stesen kerja itu selesa, ia mesti:

1. Mempunyai bakul sampah khas bagi sampah kering. Ia perlu dikosongkan setiap hari sebelum pekerja meninggalkan pejabat.

2. Terdapat notis larangan makan dan minum di stesen kerja. Makanan atau minuman bakal mengundang kehadiran serangga seperti semut, lipas dan makhluk perosak lain.

3. Menyediakan dan memastikan pekerja menggunakan alas tetikus yang direka khas bagi menjaga kesihatan terowong karpal (carpal tunnel). Ia juga akan menambah keselesaan dan kecekapan bekerja apabila pekerja menggunakan tetikus.

4. Memastikan suhu stesen kerja adalah bersesuaian dan memberi keselesaan.

5. Memastikan ruang penyimpanan kabel atau wayar tersusun rapi. Kabel atau wayar yang berselirat dan bersepah di atas lantai boleh menyebabkan kecederaan dan kemalangan.

6. Menyediakan ruangan penyimpanan dokumen sulit. Ruangan ini diperlukan agar dokumen sulit tidak mudah dilihat atau diambil oleh individu yang tidak berkenaan.  

7. Memastikan pencahayaan yang bersesuaian dengan jenis kerja dan demi menjaga kesihatan mata. Hindari pancaran cahaya yang datang dari belakang monitor komputer. Ia akan menyebabkan silau dan skrin paparan monitor tidak dapat dilihat dengan jelas.

8. Menyediakan sistem pengudaraan yang baik terutamanya bagi stesen kerja berhawa dingin. Udara yang terperangkap dalam ruang berhawa dingin tanpa aliran keluar masuk yang baik adalah tidak menyihatkan. Selain itu, pengudaraan yang sempurna boleh menghindari bau yang tidak menyenangkan di stesen kerja.

Meminimumkan stres

Kajian menunjukkan reka bentuk stesen kerja yang selesa dan ergonomik boleh meminimumkan stres pekerjaan di samping meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja. Kajian dalam psikologi sosial pula menunjukkan bahawa kesesakan dan kepadatan stesen kerja memberi impak negatif terhadap tumpuan, privasi dan prestasi kerja individu.

Kajian lain pula menunjukkan persekitaran stesen kerja yang tidak selesa dan sesak boleh menyebabkan peningkatan isu seperti aduan berkenaan tubuh badan (somatic complaints), kelesuan / kepenatan, sakit belakang dan sakit leher dalam kalangan pekerja.

Kemerosotan tahap kesihatan pekerja nanti tentunya meningkatkan kos organisasi dan menjejaskan daya saing. Situasi ini perlu dihindari dalam era globalisasi di mana persaingan menjadi semakin agresif.

Berdasarkan penjelasan di atas, kita seharusnya jelas bahawa perubahan stesen kerja tidak semestinya melibatkan kos pelaburan yang besar, sebaliknya ada penambahbaikan terhadap stesen kerja yang tidak melibatkan sebarang penambahan kos.

Perubahan ke arah stesen kerja yang lebih selesa membawa makna yang cukup besar kepada kesihatan dan kesejahteraan pekerja organisasi. Ia memberi impak tidak langsung kepada produktiviti organisasi dan boleh digunakan sebagai strategi mempertahankan kelebihan daya saing.

Dari sudut pengurusan pula, sumber manusia yang sihat fizikal serta sejahtera emosinya mampu membantu negara mencapai matlamat memperkasakan pembangunan modal insan.

* Penulis Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia