TAHUN ini penuh dengan keterujaan dan kemeriahan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Hot Wheels. Kemuncak ulang tahun itu diraikan menerusi Jelajah Ulang Tahun ke-50 SEA. Acara itu juga berhasil menjelmakan angan-angan Eaden Lim Sze Han dan Muhammad Harith Iqbal Shahril, dua anak muda yang mengungguli saingan peringkat Malaysia.

Susulan kejayaan itu, secara automatik mereka melayakkan diri untuk mewakili Malaysia di pusingan akhir di Jakarta pada 16 Disember ini.

Pertandingan akhir peringkat kebangsaan bersempena Jelajah Ulang Tahun ke-50 SEA Hot Wheels Malaysia telah diadakan di Sunway Pyramid. Ia merupakan antara 50 lokasi sambutan merentasi 5 negara Asia Tenggara. Dalam tempoh lebih sebulan, ratusan pasukan bersaing bagi mewakili Malaysia dalam ujian kelajuan, ketepatan dan penyelesaian masalah. Hanya 10 pasukan terbaik yang berjaya melayakkan diri dan pasti menjadi hari yang mengujakan dengan semangat pelumba Hot Wheels sejati.

“Di Mattel, kami percaya bahawa waktu bermain bukanlah sesuatu perbuatan yang membazir masa. Dengan Hot Wheels, kami menggalakkan mereka mendepani cabaran dan mengasah keyakinan diri yang merupakan kemahiran hidup bermanfaat untuk dipraktikkan dalam kehidupan,” ujar Pengurus Cawangan Mattel Asia Tenggara, Ivan Franco.

Saingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori: Pasukan berusia 5-8 tahun (Kategori A) dan 9-12 tahun (Kategori B). Suasana menjadi meriah dengan sorakan penonton menyokong pasukan pilihan masing-masing yang turut meraikan bersama mereka yang berjaya.

Turut hadir ialah figura terkenal tempatan, Dynas Mokhtar dan Shaine Wong. Kedua-duanya berkongsi apresiasi terhadap Hot Wheels yang selama ini banyak membantu pembentukan kemahiran berfikir kritis dan keyakinan anak-anak mereka.

Keputusan akhirnya berpihak kepada Eaden Lim Sze Han dan ibunya, Low Teng Teng untuk Kategori A, manakala pasangan anak dan ibu, Muhammad Harith Iqbal Shahril dan Nur Shatila Zulkifli menjuarai Kategori B. Kedua-dua duo itu akan mewakili Malaysia di pusingan akhir Jelajah Ulang Tahun ke-50 SEA Hot Wheels yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia, nanti.