AMSTERDAM merupakan ibu kota Belanda dan dikenali sebagai salah satu kota kecil yang ‘terbesar’ di dunia. Terletak di tepi dua sungai - Amstel dan IJ, kota ini terkenal dengan alur sungainya atau canal. Kota yang terkenal dengan pelbagai muzium dan tempat tarikan sejarah, Amsterdam juga telah lama dikenali sebagai salah sebuah kota paling romantis dan indah di benua Eropah.

Namun, apakah yang dapat dilakukan sekiranya anda mempunyai 72 jam sahaja di Amsterdam? Dengan 44 muzium untuk dilawati, yang mana satu bakal menjadi pilihan anda? Adakah anda ingin berbasikal di sekitar kota Amsterdam atau menggunakan pengangkutan awam kota tersebut seperti tram atau keretapi? Terlalu banyak pilihan dan aktiviti yang boleh dilakukan tetapi masa amat mencemburui.

Apa yang anda boleh lakukan ialah membeli I Amsterdam City Card di cawangan-cawangan Visitor Centre yang terletak di sekitar kota Amsterdam. Bergantung kepada masa yang ingin anda habiskan di kota tersebut, anda boleh memilih untuk membeli I Amsterdam City Card untuk tempoh 24, 48, 72 atau 96 jam.

Kad ini memberikan anda akses secara percuma atau diskaun ke 44 muzium di sekitar kota Amsterdam, tempat-tempat pelancongan, menaiki bot persiaran secara percuma, menggunakan semua jenis pengangkutan awam serta diskaun di restoran dan kafe terpilih.

Pembelian I Amsterdam Card mungkin merupakan antara tindakan bijak yang boleh anda lakukan ketika berada di kota ini kerana anda tidak perlu lagi beratur bagi mendapatkan tiket untuk ke muzium, antaranya Muzium Van Gogh dan Muzium Rijsk yang sentiasa sesak dengan pelancong.

Dengan menggunakan kad yang sama anda juga boleh menaiki semua pengangkutan awam di kota tersebut dan menjimatkan kos pembelian tiket bas, tram dan keretapi.

Lima yang jarang diterokai

Eksplorasi anda tidak perlu dihadkan di pusat kota Amsterdam sahaja. Jika anda inginkan sedikit kelainan, terdapat lima lokasi berhampiran di luar pusat kota yang masih jarang diterokai di kalangan pengunjung.

Lima lokasi tersebut ialah NDSM, Noord, Oostelijke, Einlanden, Oost dan De Plantage. Setiap lokasi ini membawa konsep yang unik bagi menggambarkan identiti tempat masing-masing. Jika anda peminat karya seni dan muzik maka tempat yang anda harus kunjungi ialah NDSM.

NDSM dahulunya merupakan salah sebuah limbungan kapal terbesar di dunia dimiliki oleh Dutch Dock and Shipbuilding Company. Syarikat tersebut muflis di sekitar tahun 1980-an dan limbungan kapal tersebut telah ditinggalkan tanpa sebarang pembangunan.

Kini, lokasi tersebut telah diberi nafas baharu. Menjejakkan kaki ke lokasi ini anda akan merasakan seolah-olah berada di Brooklyn ataupun Berlin.

NDSM kini merupakan pusat industri kreatif buat pameran seni serta tumpuan orang ramai untuk ke festival muzik. Di sini juga terdapat 250 bengkel seni kreatif bagi penggiat seni untuk menghasilkan produk mereka. Selain itu terdapat juga muzium seni jalanan, restoran serta pasar hasil seni dan barangan antik untuk dikunjungi.

Bagaimanakah caranya untuk ke NDSM dari pusat kota Amsterdam? Anda hanya perlu menaiki feri GVB yang disediakan secara percuma berhampiran Central Station yang terletak di pusat kota. Perjalanan mengambil masa hanya 15 minit. Sepanjang perjalanan anda boleh menikmati pelbagai pemandangan pembangunan serta seni bina moden.

Tidak kira berapa lama anda berada di Amsterdam 24, 48 mahupun 72 jam pastikan anda membeli I Amsterdam City Card bagi melancarkan kunjungan anda agar dapat menikmati sepenuhnya budaya, sejarah serta gaya hidup kota ini.

Luaskan juga pemandangan dengan menjelajah ke lokasi-lokasi berhampiran kota Amsterdam yang tidak kurang hebatnya.

Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang iamsterdam.com atau iamsterdam.com/citycard.