NAMPAKNYA peranan Pihak  Berkuasa Tempatan (PBT) supaya membanteras secara besar-besaran ke atas warung atau gerai di Malaysia yang masih kotor  perlu dilakukan secara tuntas bukan sekadar menunggu aduan.

Ini kerana isu premis makanan yang menjijikkan bukan perkara baharu bahkan banyak didedahkan oleh media arus perdana mahupun  media sosial termasuk  hasil tinjauan Wartawan Sinar Siasat, baru-baru ini  turut menemukan masih ada warung mahu pun gerai yang kotor serta jijik.

Pakar makanan, Prof Madya Dr Shahrim Karim mempersoalkan, mengapa kes warung kotor masih banyak didedahkan, seolah-olah isu tersebut tidak diselesaikan oleh PBT.

"PBT perlu kerja keras dengan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal memastikan perkhidmatan mereka dari segi kebersihan premis, supaya kes keracunan makanan boleh dielakkan.

"Itu dari segi persekitaran premis. Begitu juga keadaan atau amalan pekerja warung ketika penyediaan makanan yang gagal memastikan kebersihan hingga makanan mungkin tidak selamat dimakan. PBT perlu mengambil berat soal ini," tegas beliau.

Shahrim berpandangan, sebagai pakar makanan tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa kebanyakan pengusaha warung tidak memiliki pendidikan tinggi dalam ilmu penyediaan makanan.

Apatah lagi kebanyakan mereka sekarang ini, gemar menggunakan khidmat pekerja warga asing yang juga kurang pengetahuan dalam aspek penyediaan makanan yang betul.

"Harga makanan di warung memang murah tetapi perlu kita fikir, tawaran murah itu kerana peniaga warung mungkin sahaja menggunakan bahan-bahan tidak berkualiti seperti lauk pauk, sos mahupun bahan perasa tidak berkualiti. Dibimbangi pengusaha warung guna bahan perasa mengandungi bahan kimia yang banyak hingga boleh menjejaskan kesihatan jika dimakan berterusan.

"Saya juga fikir, tidak mungkin sesebuah warung mempunyai fasiliti penyimpanan bahan mentah yang lengkap untuk menyimpan daging, ayam atau makanan laut. Jadi, potensi untuk berlaku pencemaran seterusnya kes keracunan makanan itu tinggi," kata beliau.

Tambah Shahrim, makanan warung atau 'street food' sudah menjadi fenomena di negara ini. Tapi dalam keadaan negara kita sudah seperti tahun 2018 ini, mengapa kes warung kotor masih banyak berlaku.

Kebanyakan warung tidak diuruskan dengan betul dari aspek kebersihannya dan dari segi menu dihidangkan.