PELAKON  Wan Maimunah, 64, tampil meluahkan perasaan kecewa apabila mendakwa selalu ditipu pengurus produksi selama lebih 40 tahun bekerja  dalam industri seni tanah air.

Bahkan pelakon terkenal dengan watak 'air mata' mesra membahasakan diri sebagai ibu itu mendakwa, baru-baru ini pun dia masih  dipermainkan sebuah syarikat produksi yang memberi kata-kata manis  konon mahu menawarkan watak dalam sebuah drama namun janji tinggal janji.

"Banyak kali ibu kena tipu dan terbaharu pun ada. Dia  hubungi ibu ajak 'shooting' tapi  janji tinggal janji.

"Dia janji nak hantar skrip tapi  sampai hari ini dia tak hantar dan langsung tak cakap apa-apa," katanya memulakan bicara.

Pemilik nama sebenar Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, itu berkata, tawaran lakonan adalah punca rezeki anak seni sepertinya dan individu dari mana-mana syarikat penerbit janganlah sewenang-wenangnya memberikan janji palsu bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada artis-artis veteran yang lain.

"Kalau tak jadi cakap tak jadi jangan beri janji atau harapan palsu kepada artis lama macam ibu ni," katanya.

Siapa tidak kenal Wan Maimunah yang  merupakan pemenang Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama lima tahun berturut-turut pada edisi 1992 - 1996/1997. Pengalaman dan kredibilitinya dalam lakonan bukan calang-calang anak seni  dari watak gelak ketawa hingga bercucuran air mata.

Namun katanya, pengalaman mahal itu cuma dipandang sepi apabila ada pihak tidak jujur menyebabkan dia adakala  rasa tawar hati.

Pada masa sama, dia merasa terkilan dengan khabar angin mengatakan dia sakit dan tidak mahu berlakon.

"Sebenarnya ibu tak pernah cakap pun dah tak nak berlakon. Ibu masih berminat nak berlakon. Tapi kalau ada tawaran, ibu kena fikir sebab kadang-kadang mereka (production manager) tak bayar. Ibu pernah tak dibayar, bukan sekali dua, tapi dah banyak kali.

"Kalau dikumpul semua, ibu rasa sudah cecah ratus ribu ringgit. Ibu jenis suka tunggu habis 'shooting' drama baru minta bayaran. Mungkin sebab itu, ibu selalu kena tipu," katanya.

Melontarkan pandangan mengenai perjalanan  industri ketika ini, Wan Maimunah berkata, artis-artis lama sepertinya seperti  diketepikan walaupun hebat beraksi di kaca TV apabila ramai artis baharu muncul.

"Mereka tak pandang kebolehan dan bakat. Bila semakin tua kita semakin terpinggir, bukan seperti artis di luar negara makin tua mereka makin dibayar dengan harga mahal.

"Ibu tak tahu nak salahkan siapa sama ada penulis skrip, penerbit atau stesen TV. Ibu dah dua tahun tidak menerima tawaran berlakon," ujar Wan Maimunah.

Menurutnya, dia pernah menyuarakan persoalan  itu kepada penulis skrip namun diberitahu stesen TV kini cuma memilih pelakon mempunyai nilai komersil, tak mahu ambil pelakon lama kerana hendak jual iklan.

Sayu Wan Maimunah menyambung bicara, kelangsungan pendapatan sebagai pelakon terputus  akibat tiada lagi tawaran namun dia terus tabah mengharungi kehidupan bersama anak-anaknya.

Sudahlah merasa terpinggir dengan permainan industri hiburan, Wan Maimunah juga  berharap Kerajaan Negeri Selangor  dapat menunaikan janji untuk memberinya sebuah rumah seperti dijanjikan seorang Exco Selangor ketika menemuinya  pada 31 Ogos lalu.

"Ibu minta apa dijanjikan Kerajaan Selangor untuk beri ibu rumah bukan sekadar janji tinggal janji. Besar harapan ibu agar mereka dapat beri rumah di kawasan Kuala Lumpur kerana banyak kemudahan  pengangkutan.

"Ibu tak ada kenderaan sendiri dan selalu bergantung kepada rakan-rakan dalam persatuan artis veteran  untuk ambil ibu sama ada ke kelas agama mahupun aktiviti bersama persatuan," katanya.

Pada masa sama, Wan Maimunah meminta supaya dia diberi bantuan perniagaan iaitu tapak berniaga untuk dia mencari rezeki sekiranya tiada lagi tawaran berlakon.