BEBERAPA penduduk di Sabak Bernam, Selangor berkongsi pengalaman apabila mendakwa perkampungan mereka terkena tempias tsunami selepas gempa bumi berskala besar melanda Acheh pada 26 Disember 2004.

Biar pun sudah 14 tahun berlalu Tan Choon Hui, 62, misalnya masih ingat  dia baru sahaja hendak minum air kopi di sebuah warung  berhampiran rumahnya di Kampung Sungai Burong apabila secara tiba-tiba tiang di warung kopi itu dilihat bergoyang.

"Saya dan pelanggan lain terus lari keluar (warung) sebab terkejut. Walaupun keadaan dah tenang, saya tak jadi minum air kopi dan terus ke pantai," katanya yang sedang berehat mengambil angin petang bersama teman-temannya di sebuah pondok tidak jauh dari pantai.

Menurut nelayan itu, dia meninjau keadaan pantai kerana khuatir kalau  ada berlaku kejadian aneh di kampung mereka. 

"Dari jauh saya nampak air laut naik tinggi, kemudian rendah secara berulang-ulang.

"Saya tak  fikir pula itu tsunami, tapi orang kampung sini beritahu, itu tanda tsunami," kata warga emas tersebut.

Bagaimanapun selepas kejadian itu, penduduk kampung turun ke laut untuk menangkap ikan.

"Apa nak takut. Dah biasa dengan ombak. Kalau nak mati, di mana-mana pun boleh mati," katanya.

Seorang rakannya Chia Bak Hee, 56 juga berkongsi cerita pada hari itu dia dan keluarganya sedang bersiap-siap untuk makan tengah hari ketika tiba-tiba merasakan tubuhnya bergoyang serta pandangannya berpusing.

"Masa tu kira-kira 12 tengah hari, kepala saya tiba-tiba rasa bergoyang-goyang. Tapi sekejap saja, cuma beberapa saat," katanya sedikit pelat namun masih boleh memahami pertanyaan Wartawan Sinar Siasat dengan baik. 

131!/image/image.jpg
BAK HEE.

Menurutnya, seperti Choon Hui dia juga memberanikan diri  meninjau keadaan pantai untuk melihat sekiranya ada sebarang kejadian luar biasa  berlaku.

"Saya pun  fikir kejadian  'goyang' itu ada kaitan dengan pergerakan air laut dan ramai orang kata itulah tsunami," katanya.

Turut berkongsi detik itu ialah seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah yang terletak tidak jauh dari kawasan laut.

Sharudin Mohd Ali, 56, mendakwa, dia sedang bertugas shif siang pada hari Ahad  ketika tiba-tiba pondok pengawal terasa seperti  bergoyang.

"Saya pegang kepala sangka pening, tetapi saya tidak pula pening kepala. Sambil itu saya tertanya-tanya mengapa pondok ini bergoyang.

"Saya terus keluar dari pondok,  tengok air dalam parit (tepi sekolah). Saya terkejut sebab tengok air dalam parit pun bergoyang," katanya.

Tambah Sharudin, menyedari gegaran itu adalah fenomena alam dia kembali masuk ke pondok pengawal sambil mengingati kuasa ALLAH SWT serta bertenang dengan sebarang kemungkinan yang terjadi.  

Sharudin menceritakan pengalaman dengan menunjukkan kawasan perparitan yang berkocak ketika terkena tempias tsunami dulu.